Oleh Prof. Eur Ing Ir Ts. Dr. Shahiron Shahidan, Ts. Dr. Mohamad Azim Mohammad Azmi, Nurhuda Khamis

PUTRAJAYA, 7 Nov 2025 – Keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah ke Festival Idea Putrajaya (FOI) 2025 menyemarakkan lagi kemeriahan Pameran Imersif Inovasi Sarjana Muslim, yang menampilkan Pavilion ‘Kapal Ilmu’ hasil sentuhan kreatif Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

Pameran berprestij itu dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melalui Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) sebagai ilham Diraja bagi mengangkat kembali kegemilangan tamadun Islam melalui pendekatan sains, seni dan teknologi moden.

Pameran itu diinspirasikan daripada karya antarabangsa “1001 Inventions: The Enduring Legacy of Muslim Civilisation,” yang menonjolkan sumbangan besar ilmuan Islam dalam bidang sains, astronomi, kejuruteraan, perubatan dan budaya.

Ia menghimpunkan kepakaran universiti awam sebagai usaha memperkukuh kefahaman masyarakat terhadap warisan intelektual Islam melalui pendekatan interaktif dan teknologi imersif.

Menurut Pengarah Pusat Inovasi dan Pengkomersialan, Prof. Eur Ing. Ir. Ts. Dr. Shahiron Shahidan, UTHM diberi tanggungjawab membangunkan Pavilion Kapal Ilmu, berkonsepkan pelayaran ilmuan Islam yang membawa sinar ilmu dari timur ke barat.

“Pavilion ini menggabungkan seni bina Islam dengan elemen moden, menampilkan pencahayaan dinamik, paparan digital interaktif dan naratif sejarah yang menghidupkan semula semangat keilmuan tamadun Islam,” katanya.

Dalam lawatan Diraja itu, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Ts. Dr. Rabiah Ahmad telah mengiringi keberangkatan Seri Paduka Baginda, sementara Dr. Nur Zainatul Nadra Zainol, Ketua Jabatan Penyelidikan dan Penerbitan, Institut Ahli Sunnah Wal Jamaah (iSWAJ) UTHM, selaku penyelidik mempersembahkan naratif khas berkaitan zon “Market & Town.”

Hadir sama, Naib Canselor UTHM, Prof. Dr. Mas Fawzi Mohd Ali bersama pengurusan tertinggi UTHM bagi memberi sokongan terhadap pameran dan usaha pengiktirafan warisan Islam yang berfokuskan bidang tujah UTHM iaitu pengangkutan dengan simbolik replika kapal.

Dalam persembahannya, Dr. Nur Zainatul mengiringi Seri Paduka Baginda menelusuri pelayaran Laksamana Cheng Ho dalam zon yang dinamakan “Market & Town.”

Zon tersebut memperlihatkan denyut nadi kehidupan bandar dalam tamadun Islam, ketika pasar yang sibuk, pelabuhan makmur dan pertukangan halus menjadi asas kemajuan ekonomi dan sosial umat Islam.

Zon itu mengetengahkan kisah pelayaran Laksamana Cheng Ho, yang pernah berlabuh di Melaka dan membina hubungan diplomatik serta perdagangan antara China dan dunia Islam, lambang keterbukaan dan perpaduan antara bangsa.

Lebih manis lagi, Pavilion Kapal Ilmu turut menerima lebih 10,000 pengunjung, termasuk Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Profesor Dr. Azlinda Azman, wakil pengurusan tertinggi KPT, Naib Canselor dan Timbalan Naib Canselor Universiti Awam.

Penyertaan UTHM dalam pameran itu turut membuka peluang kolaborasi dengan pelbagai agensi kerajaan, institusi dan industri dalam bidang pembangunan kandungan digital, pameran interaktif serta pengajaran berasaskan warisan Islam.

Sementara itu, UTHM turut menyerlah sebagai universiti peneraju Pavilion TVET Inovatif sempena FOI 2025 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) dari 4 hingga 8 November 2025.

Tambah Prof. Shahiron, pavilion tersebut menjadi tumpuan ribuan pengunjung apabila menampilkan kepakaran teknikal serta inovasi terkini daripada universiti dan institusi TVET seluruh negara.

Ia turut memperlihatkan bagaimana TVET berperanan sebagai pemacu utama pembangunan ekonomi dan teknologi masa depan Malaysia.

“Sebagai universiti peneraju, UTHM menyelaras reka bentuk, pembangunan konsep serta pengisian Pavilion TVET Inovatif.

“Pelbagai hasil penyelidikan dan teknologi universiti dipersembahkan secara interaktif melalui demonstrasi teknologi, paparan digital serta sesi libat urus bersama pengunjung dan pihak industri.

“Usaha tersebut mencerminkan komitmen UTHM dalam memperkasa ekosistem TVET seiring dengan aspirasi Malaysia MADANI,” katanya.