Pulau ilmu di tengah launtan pusat membeli belah? Pelik tapi benar. Di tengah-tengah kesibukan pusat membeli-belah, di antara deretan butik, pawagam dan aroma kopi yang harum, wujud satu sudut kecil yang membawa nafas ilmu dan ketenangan digelar mini perpustakaan komuniti. Konsep yang semakin mendapat tempat di negara maju seperti Australia, Jepun dan Kanada ini, kini mula menjadi inspirasi kepada universiti tempatan, termasuk Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), dalam memperkukuh budaya literasi masyarakat.

Bayangkan sebuah universiti yang bukan sahaja menabur ilmu di kampus, tetapi turut menyemai benih membaca di tengah denyut nadi bandar. Seperti kata pepatah Melayu, “melentur buluh biarlah dari rebungnya”, minat membaca perlu dibentuk sedari awal dan disuburkan dalam kehidupan seharian.

Di Melbourne dan Brisbane, mini library atau street library telah menjadi simbol masyarakat berpengetahuan. Di Broadmeadows dan Glenroy misalnya, Little Free Library berdiri megah di hadapan rumah, taman dan pusat beli-belah. Kotak kayu kecil yang dicat berwarna cerah itu dipenuhi pelbagai jenis buku daripada novel, majalah, sehinggalah buku kanak-kanak. Ia menjadi tempat tumpuan pelajar, warga emas dan pekerja yang singgah sebentar untuk membaca atau menyumbangkan buku. Di Brisbane Square, perpustakaan mini hasil kerjasama University of Queensland dan Brisbane City Council menjadi platform aktiviti komuniti seperti sesi bercerita mingguan dan pertukaran buku rentas budaya. Inilah contoh terbaik masyarakat maju yang menjadikan ilmu sebahagian daripada gaya hidup harian.

Mengambil inspirasi daripada kejayaan ini, UTHM kini mula mengorak langkah kecil tetapi bermakna dengan memperkenalkan inisiatif ‘Perpustakaan Mini UTHM untuk Komuniti’ di beberapa pusat membeli-belah terpilih di Johor. Antara lokasi cadangan termasuk Kluang Mall, BP Mall Batu Pahat, Angsana Johor Bahru, dan Paradigm Mall Skudai. Setiap perpustakaan mini ini akan menampilkan identiti UTHM dengan rekaan mesra pengguna, ruang bacaan santai, dan koleksi buku yang pelbagai daripada karya akademik, buku motivasi, hingga komik pendidikan.

Inisiatif ini juga membuka peluang kepada pelajar universiti menjadi sukarelawan penjaga buku dan penganjur aktiviti membaca hujung minggu. Sebagai contoh Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan, dan Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional boleh berganding bahu dalam menghasilkan reka bentuk interaktif, menggunakan bahan lestari seperti kayu terpakai dan panel solar mini untuk pencahayaan. Setiap buku akan dilengkapi dengan kod QR bagi membolehkan pengunjung membaca sinopsis atau meninggalkan ulasan secara dalam talian. Pendekatan ini bukan sahaja moden dan inklusif, tetapi juga selaras dengan aspirasi Smart Campus dan Digital Johor 2030.

Selain memperkasa komuniti setempat, projek ini menyokong aspirasi negeri di bawah slogan Maju Johor. UTHM sebagai universiti berteraskan teknologi dan kemasyarakatan memainkan peranan penting dalam menyumbang kepada pembangunan insan negeri Johor yang berilmu dan progresif. Dengan kehadiran perpustakaan mini ini, pusat beli-belah bukan lagi sekadar tempat membeli-belah, tetapi menjadi ruang santai keluarga menimba ilmu. Seperti kata pepatah, “sedikit-sedikit lama-lama jadi bukit”, yang mana langkah kecil universiti boleh membina gunung budaya ilmu yang menjulang tinggi dalam masyarakat.

Tambahan daripada itu juga, konsep perpustakaan mini UTHM di pusat beli-belah ini juga menjadi platform memperkukuh hubungan university-community engagement. Ia membawa universiti lebih dekat kepada rakyat, memupuk rasa cinta terhadap ilmu dalam suasana santai. Bayangkan seorang pelajar sekolah rendah membaca buku sains di sudut bacaan mini di BP Mall, sementara seorang ibu menunggu anaknya membeli-belah di Kluang Mall lalu membaca novel motivasi. Buku menjadi jambatan emosi yang menghubungkan generasi, dan juga mewujudkan komuniti pembaca tanpa sempadan.

Apa yang menarik, inisiatif ini turut menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG 4: Pendidikan Berkualiti dan SDG 11: Bandar Lestari). Setiap sumbangan buku daripada pensyarah, alumni dan masyarakat menjadi tanda kebersamaan dalam menjayakan literasi sejagat. Ia menunjukkan bahawa kemajuan tidak hanya diukur melalui bangunan tinggi dan ekonomi yang rancak, tetapi juga oleh minda yang berfikir dan hati yang cinta ilmu.

Malahan, usaha murni ini juga menyokong inisiatif Kerangka ESG (Alam Sekitar, Sosial dan Governance) yang mana setiap perpustakaan mini direka bentuk dengan elemen kelestarian menggunakan bahan kitar semula, kayu terpakai, pencahayaan tenaga suria dan konsep mesra alam. Bukan itu sahaja, tetapi ruang bacaan ini menjadi platform interaksi sosial yang menyemai empati, tanggungjawab dan semangat komuniti. Manakala dari aspek governance, projek ini dikawal selia secara telus oleh universiti dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan dan syarikat swasta. Ia boleh dijadikan model tadbir urus sosial universiti yang berasaskan nilai kebertanggungjawaban dan kejujuran.  

Jika Melbourne dan Brisbane boleh menjadikan perpustakaan mini sebagai nadi kota mereka, mengapa tidak Johor Bahru, Batu Pahat atau Kluang? Dengan semangat Maju Johor dan iltizam universiti seperti UTHM, kita mampu membina masyarakat yang lebih berpengetahuan, berbudaya dan sejahtera. Sebagaimana kata bijak pandai, “Ilmu tidak akan habis dibahagi, bahkan semakin bertambah bila dikongsi.” Perpustakaan mini mungkin kecil pada pandangan mata, namun besar ertinya kepada generasi yang dahagakan ilmu dan inspirasi. Dengan inisiatif ini juga, ia mampu membentuk mahasiswa yang lebih prihatin dan mempunyai nilai empati yang tinggi._Foto: Kosmo

 

 

 

Profesor Madya Dr. Md. Asrul Nasid Masrom

Dekan Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

Profesor Ts. Dr. Rabiah Ahmad, FASc

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi)

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)