Dewasa ini, kemajuan teknologi berkembang pesat. Dunia mempersiap modal insan yang berupaya membangunkan negara. Pendek kata, melahirkan penyelidik atau saintis yang berupaya menghasilkan sesuatu yang bernilai, digunakan dan menjadi sumber rujukan dunia. Hal ini sekali gus membangga dan memajukan negara, menjadi kuasa dalam menyedia pembangun teknologi dan sebagai pusat penghasilan kajian ilmiah serta produk demi kemaslahatan dunia. Malahan itu juga, ia menyokong Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021-2030. Pembangunan dasar ini bagi membudayakan inovasi, meningkatkan serta merancakkan ekonomi. Dalam konteks pendidikan, antara elemen penting adalah memastikan kemenjadian pelajar. Aspek berkebolehan dan berkeupayaan dalam berinovasi dan berkreativiti dalam pelbagai bidang antara elemen kemenjadian pelajar. Mereka perlu dilengkapi dan digilap dengan kemahiran dan pengetahuan yang mencukupi bagi menghadapi era yang serba rencam kini.
Pengukuhan konsep nilai dapat membentuk modal insan yang mempunyai daya inovasi dan kreativiti yang baik. Nilai adalah merujuk kepada prinsip atau sesuatu yang berharga dalam kehidupan. Pengukuhan konsep nilai dapat memastikan penghasilan sesuatu, sama ada berbentuk produk atau sebaliknya memberi makna dan manfaat yang besar kepada kumpulan sasar. Konsep nilai dapat memberi arah dan matlamat kepada hasil inovasi dan kreativiti produk. Malahan itu, konsep nilai dapat memberi motivasi dalam penghasilan sesuatu produk. Mempertimbangkan kepelbagaian dalam keperluan, kegunaan dan lapisan masyarakat berbeza, penerapan konsep nilai dapat menghasilkan produk dan ciptaan yang beretika dan lestari, sekali gus selamat. Gabungan konsep nilai dapat mencetuskan idea dalam membantu dan memudahkan kehidupan seharian manusia, terutamanya golongan yang memerlukan peralatan atau produk bantuan.
Sikap bertanggungjawab dapat memastikan ciptaan yang dihasilkan mempunyai kualiti yang baik, memenuhi keperluan pengguna dan jangka hayat yang ditingkatkan. Konsep nilai memberi nilai tambah kepada pencipta dalam memastikan penghasilan ciptaan akan memberikan sesuatu yang bermakna kepada pengguna, sama ada dalam penggunaan bahan, reka cipta, fungsi dan sebagainya. Tambahan itu, ia dapat memastikan pencipta menghasilkan sesuatu ciptaan yang bersesuaian dan tidak memberikan kesan kepada kehidupan dan kelestarian sejagat. Inovasi dan kreativiti berteraskan konsep nilai, membantu pencipta dalam bijak mencipta, memilih, menilai dan menghasilkan ciptaan yang relevan pada zaman berkaitan.
Selain itu, ciptaan yang berpandukan Matlamat Pembangunan Mampan atau SDG (Sustainable Development Goals) dapat meningkatkan nilai hasil ciptaan, sekali gus menepati keperluan dan kehendak semasa dunia. Rujukan kepada Matlamat Pembangunan Mampan membantu usaha-usaha dalam memupuk budaya kelestarian dalam pelbagai kategori dan penghasilan ciptaan membantu mencapai objektif SDG. Malahan itu, ia dapat membantu pemupukan nilai dalam ciptaan, yang mana ia memberi faedah kepada kehidupan secara keseluruhannya, sama ada melibatkan manusia dan bumi umumnya. Inovasi dan kreativiti dalam ciptaan seharusnya menyumbang kepada penghasilan penyelesaian baharu, meningkatkan kecekapan dan memastikan kemampanan keseluruhan ekosistem dunia.
Ciptaan berasaskan nilai juga mempunyai hubung kait antara sejarah dan warisan. Dengan erti kata lain, ia dapat mengukuhkan jati diri dan juga sebagai panduan dalam penciptaan atau pembangunan ciptaan masa depan. Pembangunan ciptaan masa kini, boleh diinspirasikan dari ciptaan masa lampau. Reka bentuk dan mekanisme yang berbeza, tetapi mempunyai fungsi yang sama dengan peningkatan kecekapan yang lebih baik. Secara umumnya, perbandingan dengan penggunaan teknologi secara automatik pada masa kini berbanding manual pada masa dahulu. Hal ini memberikan interpretasi pengukuhan konsep nilai dalam ciptaan dapat memastikan kelestarian warisan dalam penciptaan. Tambahan itu juga, konsep nilai dapat menyumbang kepada pewarisan pengetahuan dan kemahiran turun-temurun. Sikap tanggungjawab kepada keperluan ilmu yang diwarisi agar dapat diperturunkan kepada generasi penerus. Ia dapat memberi pendedahan dan peluang kepada pelajar dalam mengayakan kemahiran yang diwarisi mengikut inovasi dan kreativiti bersesuaian dengan faktor zaman.
Konsep nilai juga dapat memperkukuhkan elemen sahsiah pelajar seterusnya membina budaya inovasi dan kreativiti pelajar. Elemen integriti penting untuk dipupuk seawal usia pelajar. Ia membantu dalam melahirkan modal insan yang jujur dan beretika dalam menghasilkan ciptaan atau idea. Di samping itu, ia dapat mendidik pelajar terhadap elemen keprihatinan sosial. Elemen ini membantu pelajar untuk berfikir di luar kotak dalam menyelesaikan permasalahan yang berlaku di sekeliling, dan dapat menyumbang kepada komuniti sekeliling melalui ciptaan yang dihasilkan.
Umumnya, konsep nilai amat penting untuk diperkasakan dalam mendidik pelajar-pelajar untuk berinovasi dan berkreativiti. Melalui konsep nilai, ia dapat membimbing pelajar untuk berfikir secara baik, bertindak mengikut aturan dan membangunkan ciptaan yang memberikan manfaat kepada manusia dan bumi, secara mampan dan relevan untuk kesejahteraan secara keseluruhannya. Dengan erti kata lain, konsep nilai dalam berinovasi dan berkreativiti dapat membentuk keseimbangan bagi kecemerlangan pembangunan modal insan negara dan pembangunan bakat pembangun teknologi pada masa depan.

Profesor Madya Ts. Dr. Ahmad Mubarak bin Tajul Arifin
Ketua Jabatan,
Keusahawanan, Daya Usaha dan Inovasi dan Sastera Liberal,
Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum,
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)
Rencana ini juga diterbitkan di:
1. Bernama (bernama.com), 5 November 2025: Pemupukan Nilai Asas Penting Bentuk Pelajar Inovatif
