BATU PAHAT, 24 Nov 2025 – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) sekali lagi mencatat kejayaan membanggakan apabila kumpulan Noktah Studio dari Pusat Pengajian Diploma (PPD) berjaya meraih tempat ketiga dalam National Micro Enterprise Pitching Competition (NMEPC) 3.0 yang berlangsung pada 23 hingga 24 November 2025.

Pertandingan anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) itu menjadi medan penting untuk melonjakkan ekosistem keusahawanan negara berasaskan teknologi dan inovasi, terutamanya dalam kalangan pelajar institusi pengajian tinggi.

Melalui sesi pitching di hadapan pelabur, pelajar berpeluang membentangkan idea perniagaan kreatif serta mendapat maklum balas secara langsung daripada panel industri.

Pada penyertaan kali ini, UTHM telah menghantar dua pasukan dari PPD iaitu Noktah Studio dan R.E.A.C.T.

Kumpulan Noktah Studio yang terdiri daripada Muhammad Akif Syahir Mohd Amram dan Ainin Sofiya Saharuddin di bawah bimbingan mentor, Mokhtar Yahya, telah memenangi tempat ketiga bagi kategori ‘Industri Seni & Kreatif.’

Mereka membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM1,500 hasil idea inovatif yang diketengahkan.

Manakala kumpulan R.E.A.C.T yang dianggotai oleh Izzat Izzudin Zainal dan Wan Syahmi Wan Rohadzad di bawah bimbingan mentor Ts. Inv. Dr. Shelena a/p Soosay Nathan, turut menunjukkan prestasi yang memberangsangkan dalam pertandingan tersebut.

Kejayaan itu membuktikan daya saing, kreativiti dan semangat inovatif pelajar UTHM dalam bidang teknousahawan, selaras dengan aspirasi universiti untuk melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik tetapi juga bersedia menjadi usahawan teknologi masa depan.

Pihak universiti turut merakamkan penghargaan kepada Pusat Teknousahawan Universiti (PTU) atas sokongan berterusan dalam membina budaya keusahawanan dalam kalangan pelajar.