Setiap masyarakat membentuk naratif kolektif yang menjadi cerminan kepada nilai, kepercayaan dan harapan bersama. Naratif ini bukan sekadar kisah yang diulang dalam perbualan harian, tetapi juga membentuk cara individu melihat diri sendiri dan orang lain. Dalam keadaan tertentu, ia cuba menentukan siapa yang dianggap berjaya, yang patut dihormati dan yang perlu “dibetulkan”. Harapan sosial dilihat memainkan peranan sebagai penapis kepada kisah yang boleh atau tidak boleh diterima, mahupun kisah yang perlu disenyapkan dalam perjalanan hidup ini.
Kuasa harapan sosial
Naratif kolektif lahir daripada sejarah, budaya dan pengalaman. Ia boleh menjadi sumber kekuatan apabila menyatukan masyarakat dan memberi arah kepada tindakan bersama. Namun, apabila naratif ini terlalu dikawal oleh harapan sosial dan stigma yang jumud, ia menindas suara-suara berbeza dan mengekang potensi individu untuk menjadi diri sendiri. Individu yang tidak menepati naratif dominan akan dianggap tidak sehaluan, walaupun mereka hanya menjalani kehidupan mengikut keperluan dan pilihan sendiri.
Ironinya, dalam masyarakat yang mengangkat pencapaian akademik sebagai penanda aras kejayaan, pelajar cemerlang dalam bidang seni, vokasional dan teknikal mungkin terpinggir daripada pengiktirafan setara. Naratif kolektif seolah menetapkan kejayaan perlu melalui status profesional, gaji tinggi dan gaya hidup yang memenuhi piawaian sosial tertentu. Akibatnya, pelajar yang memilih laluan kreatif atau kemahiran dianggap “kurang berjaya,” walaupun memiliki bakat hebat dan menyumbang secara signifikan kepada masyarakat. Penilaian ini bukan sahaja mengecilkan potensi individu, tetapi juga mengekang perkembangan sektor kreatif dan teknikal yang penting dalam pembangunan negara. Pelajar berbakat bidang kemahiran akhirnya memendam rasa rendah diri, mengubah haluan demi memenuhi harapan sosial, dan kehilangan kilauan potensi untuk berkembang dalam bidang yang dicintai.
Persepsi menjadi stigma
Naratif kolektif juga mempengaruhi cara melihat peranan gender, usia dan status sosial. Wanita yang memilih tidak berkahwin atau menangguhkan perkahwinan demi kerjaya dilabel sebagai “tidak lengkap, terlalu memilih, tiada masa hadapan,” walaupun keputusan mereka berasaskan pertimbangan rasional dan keperluan peribadi. Ibu yang bekerja sepenuh masa dipersoalkan keupayaan menguruskan anak dan dianggap “terlalu gila kerja,” sedangkan mereka berusaha memenuhi tanggungjawab ekonomi dan keluarga secara serentak. Warga emas yang aktif mengembara atau menyertai program komuniti dilihat sebagai “tidak tahu duduk diam, tidak sesuai dengan usia, memudaratkan kesihatan,” walaupun mereka sebenarnya juga menyumbang khidmat dengan pengalaman dan kebijaksanaan dimiliki. Individu dewasa yang tidak membeli rumah dikecam “tiada wawasan, gagal merancang, tiada simpanan.” Sedangkan keputusan tidak mahu berhutang dalam konteks pengurusan risiko adalah bagi mencapai kelestarian kewangan jangka masa panjang.
Harapan sosial yang sempit bukan sahaja membentuk jangkaan yang tidak realistik, tetapi juga menetapkan sempadan kepada apa yang hanya dianggap selari dan kongruen. Kesannya ada individu memilih menyembunyikan aspirasi dan kisah sebenar mereka demi mengelakkan penolakan sosial, sehingga menjejaskan kesejahteraan emosi serta hubungan sosial yang autentik. Fenomena ini merujuk kecenderungan individu menyesuaikan diri dengan harapan sosial demi penerimaan masyarakat. Walaupun ia membentuk identiti bersama dan rasa kekitaan, ia juga boleh menimbulkan tekanan dalaman apabila terpaksa menyembunyikan sisi diri yang tidak selari, lalu tercetusnya konflik identiti, tekanan emosi dan rasa terasing.
Ketakutan terhadap perbezaan
Naratif kolektif melebar apabila wujud sikap masyarakat yang seolah-olah takut pada perbezaan. Ketika seseorang memilih cara hidup yang tidak konvensional, seperti menolak laluan kerjaya arus perdana, memilih gaya hidup minimalis, atau mengekspresikan pandangan yang tidak selari dengan harapan sosial, mereka dilabel “pelik, melawan adat, tidak matang.” Dalam masyarakat yang terbiasa dengan struktur dan peranan sosial yang tetap, kelainan dianggap sebagai gangguan kepada kestabilan. Ketakutan ini bukan semata-mata terhadap individu, tetapi terhadap perubahan yang dibawa oleh kelainan tersebut. Ia mencetuskan rasa tidak selesa kerana mencabar kepercayaan yang telah lama diterima sebagai “betul, normal dan biasa.”
Masyarakat cenderung menolak atau menekan suara-suara yang tidak selari dengan naratif dominan. Penolakan ini berlaku secara halus melalui sindiran, pengasingan sosial, atau penafian peluang dan terang-terangan melalui kecaman bersifat prejudis. Individu yang berani bersuara atau bertindak di luar stigma akan berdepan dengan tekanan untuk kembali “menyesuaikan diri.” Tindakan ini sebenarnya menafikan hak individu untuk menjadi lebih nyata dan jujur terhadap diri sendiri. Keharmonian yang dibina atas penyeragaman bukanlah dinamika sosial yang sejati, kerana ia bersifat rapuh dan bergantung kepada penganiayaan perbezaan.
Penulis skrip hidup
Setiap individu mempunyai pilihan untuk melakar kanvas dan skrip terbaik untuk hidup masing-masing menggunakan fizikal, akal fikiran dan jiwa yang dikurniakan oleh Tuhan. Kita seharusnya bukan pelakon dalam kisah masyarakat, kita adalah penulis kepada alur kehidupan yang kita pilih dan jalani. Pilihan untuk jadi berbeza, adalah satu bentuk keberanian yang lahir daripada kesedaran diri. Ia bukan tindakan melawan, tetapi usaha untuk hidup dengan jujur terhadap nilai dan keyakinan peribadi. Dalam konteks ini, kebebasan memilih bukan bermakna menolak naratif masyarakat dan harapan sosial, akan tetapi menuntut hak untuk menyumbang kepada masyarakat dengan cara yang tersendiri dan bermakna.
Untuk membina masyarakat yang lebih inklusif, matang minda dan emosi, kita boleh mula mempersoalkan naratif kolektif yang klasik, sempit dan tidak mencerminkan kepelbagaian realiti manusia. Ini bukan penolakan terhadap harapan bersama, tetapi seruan membuka ruang kepada pelbagai bentuk kehidupan dan pengalaman yang selari dengan nilai, etika, adab dan pegangan agama. Kita perlu menerima bahawa kejayaan manusia tidak semestinya bermaksud pangkat tinggi atau kekayaan material semata-mata, dan makna hidup tidak semestinya ditentukan oleh pencapaian luaran kerana setiap standard individu adalah berbeza. Kita berhak untuk mewarnai kisah kita sendiri dengan warna yang paling kita suka, dengan jalan yang dipilih, dengan nilai yang dipegang, dan kesedaran bahawa perubahan bermula daripada diri sendiri, dengan tanpa perlu tunduk sepenuhnya kepada skrip yang ditentukan oleh orang lain.
Fungsi masyarakat sejahtera
Pendidikan memainkan peranan penting dalam membentuk naratif yang lebih terbuka. Di sekolah, pelajar perlu didedahkan kepada pelbagai bentuk pencapaian dan nilai sejagat. Mereka perlu belajar bahawa menjadi berbeza bukanlah satu kelemahan, tetapi satu kekuatan. Kita membawa arah mereka menjadi generasi yang tidak perlu ikut ‘trend,’ tetapi perlu menjadi modal insan yang berprinsip. Di universiti, wacana kritis tentang nilai dan naratif sosial perlu digalakkan agar generasi muda dapat membina pemikiran yang lebih reflektif dan empatik, serta memahami perbezaan dalam senario yang lebih fleksibel bagi mengelakkan konflik.
Media juga mempunyai kuasa besar dalam membentuk naratif kolektif. Apa yang dipaparkan di televisyen, akhbar, dan media sosial akan mempengaruhi cara masyarakat melihat dunia. Media perlu memainkan peranan sebagai agen perubahan dengan mengetengahkan variasi plot dan cerita yang pelbagai, merangkumi suara-suara yang selama ini terpinggir, kisah orang kurang upaya, komuniti minoriti, dan individu yang memilih cara hidup sederhana dan tidak materialistik, tetapi tetap tenang dan damai.
Menghormati kepelbagaian kisah hidup
Melihat jauh ke hadapan, naratif kolektif yang lebih inklusif berupaya membawa masyarakat ke era lebih sejahtera dan berdaya tahan. Individu akan merasa lebih terbuka untuk menjadi diri sendiri, berkongsi pengalaman dan bersedia menerima perbezaan dengan ikhlas. Ini bukan sahaja meningkatkan kesejahteraan psikologi, tetapi juga memperkukuh ikatan sosial dan membina komuniti yang saling menyokong dan saling menghormati. Kita perlu fahami bahawa kisah yang kita ulang dalam masyarakat bukan sekadar hiburan atau tradisi, tetapi ia membentuk realiti sosial yang sebenar.
Jika kita mahu membina masyarakat yang benar-benar penyayang dan dinamik, kita perlu memberi ruang pelbagai naratif positif untuk wujud dan berkembang. Hanya dengan itu, kita dapat melihat bahawa setiap individu mempunyai hak mengetengahkan ‘kisah’ masing-masing dengan suara dan bentuk yang lebih jelas, jujur, dan tulus. Apa yang kita ‘kejar’ mungkin tidak sama dengan apa yang orang lain ‘kejar,’ akan tetapi di akhirnya masing-masing lebih tahu apakah bekalan sebenar yang perlu dibawa semasa dalam perjalanan ini, agar ia bukan sahaja bermanfaat untuk diri dan semua, tetapi turut boleh membantu kita di hujung jalan.

Profesor Madya Dr. Siti Sarawati Johar
Jabatan Sains Sosial
Pusat Pengajian Umum & Kokurikulum
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)
Rencana ini juga diterbitkan di:
1. Utusan Malaysia (muka surat: 26), 30 Disember 2025: Jangan biarkan orang lain yang tentukan hidup kita

2. Utusan (utusan.com.my), 30 Disember 2025: Jangan biarkan orang lain yang tentukan hidup kita
https://www.utusan.com.my/rencana/forum/2025/12/jangan-biarkan-orang-lain-yang-tentukan-hidup-kita/
