Oleh Dr. Noraishah Daud
BATU PAHAT – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) terus memperkukuh peranannya dalam agenda kesejahteraan mental mahasiswa apabila berjaya menjadi pemangkin kepada penghasilan dua modul penting peringkat kebangsaan sempena Bengkel Pembangunan Modul Latihan Pembimbing Rakan Sebaya Kebangsaan (PRSK) dan Modul Pengendalian Kes Psikososial yang berlangsung pada 10 hingga 11 November 2025 di Pine Tree Hotel, Batu Pahat.
Bengkel selama dua hari yang menghimpunkan 10 Pegawai Pembimbing Rakan Sebaya Kebangsaan (PRSK) dan 20 Felo Majlis Kaunseling Universiti Awam Malaysia (MAKUMA) dari 20 universiti awam (UA) itu melakar kejayaan besar apabila berjaya memuktamadkan kerangka utama bagi kedua-dua modul yang bakal digunakan di peringkat nasional.
Modul Latihan PRSK yang berjaya dibangunkan melalui bengkel itu memberi fokus kepada penyelarasan kompetensi latihan PRSK, merangkumi aspek kepimpinan dan kepengikutan, kompetensi diri, pengurusan serta kesejahteraan kendiri.
Modul itu dijangka menjadi rujukan utama seluruh universiti awam dalam melahirkan PRSK yang lebih profesional, bersedia dan berkeupayaan tinggi untuk memainkan peranan sebagai agen perubahan positif dalam komuniti kampus.
Selain itu, Modul Pengendalian Kes Psikososial yang turut berjaya dirangka secara komprehensif memberi tumpuan kepada kaedah intervensi, penilaian awal serta pengurusan kes psikososial yang lebih sistematik dan tersusun.
Modul itu memperkasa keupayaan kaunselor UA untuk menyediakan sokongan awal yang lebih cepat, tepat dan berkesan dalam menghadapi isu seperti tekanan emosi, tingkah laku berisiko, bencana, kemalangan dan situasi kritikal yang memberi kesan kepada kesejahteraan mental pelajar.
Kejayaan pembinaan modul-modul itu bukan sahaja menjadi penanda aras baharu dalam penyelarasan latihan dan sokongan psikososial di seluruh negara, malah mengukuhkan usaha UA untuk mewujudkan ekosistem kampus yang lebih responsif, berdaya tahan dan prihatin terhadap kebajikan pelajar.
Pengerusi MAKUMA, Profesor Dr. Zamri Radzi, yang juga Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) Universiti Malaya, menyatakan penghargaan atas komitmen tinggi UTHM dalam memastikan fasilitasi bengkel berjalan lancar dan produktif sehingga kedua-dua modul dapat dihasilkan dengan jayanya.
Beliau turut berharap modul-modul itu dapat diterbitkan dan dilancarkan secara rasmi dalam program besar MAKUMA pada tahun hadapan, sekali gus menyeragamkan penggunaan modul ini di semua UA bagi memperkukuh sistem sokongan psikososial pada peringkat nasional.


