Oleh Norazreen Mohamad @ Kasbani
BATU PAHAT – Bagi membantu meningkatkan literasi digital dalam kalangan pelajar dan komuniti setempat, Exco Informasi dan Penerbitan, Kolej Kediaman Dalam Kampus (KKDK), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah melaksanakan Program Digital Empowering (Canva & Joomla) Workshop pada 8 November 2025 lalu.
Bengkel tersebut melibatkan penyertaan seramai 60 peserta, terdiri daripada 30 pelajar UTHM dan bakinya merupakan komuniti Batu Pahat.
Menariknya, peserta bengkel terdiri daripada pelbagai peringkat umur dan latar belakang, sekali gus mewujudkan suasana pembelajaran yang dinamik dan saling melengkapi antara generasi.
Program itu diisi dengan tiga sesi utama yang dikendalikan oleh penceramah berpengalaman dari Pusat Teknologi Maklumat, UTHM.
Sesi pertama bertajuk “Pengenalan Digital Advertising & Platform Digital Percuma” telah disampaikan oleh Ts. Muhamad Rais Abd Halim, yang memberikan pendedahan kepada peserta tentang kepentingan pengiklanan digital serta cara memanfaatkan platform percuma dalam memperluas capaian promosi pada era teknologi masa kini.
Sesi kedua diteruskan dengan bengkel “Asas Canva (Hands-on)” yang dikendalikan oleh Lokman Hakim Jamil, yang mana peserta diberi peluang untuk meneroka fungsi dan ciri utama Canva, sekali gus menghasilkan bahan promosi digital seperti poster dan infografik dengan reka bentuk kreatif.
Manakala sesi ketiga, “Asas Joomla (Hands-on)”, yang disampaikan oleh Saiful Zaree Johar berkaitan asas pembangunan laman web menggunakan Joomla, termasuk langkah-langkah asas dalam membina, menyunting dan mengurus kandungan laman web secara interaktif.
Dalam program itu, pelajar UTHM turut memainkan peranan penting sebagai fasilitator kepada peserta komuniti.
Mereka membantu dalam sesi praktikal serta berkongsi pengetahuan digital kepada masyarakat luar kampus.
Pendekatan itu bukan sahaja memberi ruang kepada pelajar untuk menyumbang kembali kepada komuniti, malah membuka peluang kepada mereka untuk menimba pengalaman baharu dan meningkatkan kemahiran dalam dunia digital masa kini.
Sepanjang program, suasana pembelajaran amat interaktif dengan penglibatan aktif daripada para peserta yang bersemangat untuk meningkatkan kecekapan digital masing-masing.
Program itu bukan sahaja memperkukuh hubungan antara pihak universiti dan komuniti setempat, tetapi turut menyokong inisiatif UTHM dalam memperluas agenda pembangunan komuniti berasaskan ilmu dan teknologi.



