Tahukah semua setiap tahun pada tarikh 19 November merupakan tarikh Hari Tandas Sedunia? Walaupun kedengaran agak lucu bagi sesetengah orang kerana wujudnya tarikh ini, hari ini sebenarnya sangat penting untuk meningkatkan kesedaran tentang sanitasi, kebersihan dan kesihatan awam. Kita sememangnya sangat memerlukan dan menggunakan ruangan ini setiap hari. Statistik menunjukkan bahawa lebih 4.2 bilion orang di seluruh dunia masih hidup tanpa akses kepada tandas yang selamat. Di Malaysia, kita mungkin lebih bernasib baik, tetapi cakna atau tidak bahawa isu tandas kotor, bau, dan penyelenggaraan yang kurang konsisten masih berlaku sama ada di rumah atau di tempat awam.
Tandas awam adalah kemudahan asas yang sering dianggap remeh, tetapi fungsinya sangat penting. Ia memberi keselesaan kepada pengguna, mencerminkan imej tempat, malah turut menunjukkan tahap kesedaran sivik masyarakat. Namun, masih banyak aduan tentang tandas awam yang kotor, kekurangan bekalan air yang bersih, mangkuk tandas tersumbat dan kadang-kadang kerosakan yang tidak diperbaiki dengan segera.
Untuk menangani masalah ini, pihak bertanggungjawab perlu memastikan penyelenggaraan berkala, pemasangan peralatan pintar seperti sensor air dan elektrik dapat menjimatkan bekalan tenaga dan sumber di tandas awam. Selain itu, galakan kempen kesedaran kepada orang ramai supaya lebih menghargai kemudahan awam perlu diperluas agar tanggungjawab tersebut dapat digalas bersama. Bagi pengguna pula, kita boleh mengambil langkah mudah seperti membilas selepas digunakan, membuang sampah di tempat yang betul dan melaporkan kerosakan. Sikap bertanggungjawab ini dapat memastikan tandas awam sentiasa bersih dan selesa digunakan.
Selain tandas awam, kebersihan tandas di rumah juga amat penting. Tandas yang bersih mengurangkan risiko penyakit, memberikan keselesaan kepada penghuni dan tetamu yang bertandang, serta membentuk tabiat kebersihan sejak kecil. Beberapa langkah mudah boleh diterapkan dan dijadikan amalan harian dalam keluarga, antaranya:
- Menyental mangkuk tandas sekurang-kurangnya 2–3 kali seminggu.
- Menggunakan pencuci mesra alam dan pengguna yang berkesan membunuh kuman.
- Memastikan tandas mempunyai ventilasi yang baik untuk mengelakkan bau dan kulat.
- Mendidik anak-anak supaya membilas dan menutup penutup tandas selepas digunakan.
- Menyediakan tong sampah mini untuk tisu tandas yang telah digunakan.
Walaupun nampak mudah, amalan ini memberi impak yang besar terhadap kehidupan seharian keluarga. Tandas bersih di rumah menanam kesedaran bahawa kebersihan adalah tanggungjawab bersama, dan ia seterusnya membentuk budaya positif yang berterusan kepada setiap tandas yang kita gunakan. Tanpa perlu disuruh, kesedaran menjaga kebersihan tandas awam tersebut sudah menjadi amalan seharian kita sejak di rumah lagi.
Hari Tandas Sedunia mengingatkan kita bahawa setiap tindakan kecil memberi impak yang besar. Membilas selepas digunakan, menutup penutup tandas, tidak membuang tisu atau tuala wanita dalam mangkuk tandas, tidak merosakkan kemudahan yang disediakan dan menjaga kebersihan tandas awam adalah langkah mudah tetapi sangat berkesan. Inisiatif seperti kempen #TandasBersihMalaysia atau program komuniti membersih tandas awam secara gotong royong boleh menyatukan masyarakat untuk menjaga kemudahan bersama. Kempen ini perlu melibatkan semua golongan usia. Kanak-kanak perlu belajar menjaga kebersihan sejak kecil, manakala golongan dewasa patut terus menjaga kebersihan tandas awam dan rumah.
Kebersihan tandas bukan sekadar keselesaan fizikal, tetapi juga mencerminkan kesihatan mental dan fizikal masyarakat. Dengan sikap bertanggungjawab dan tabiat sederhana, kita boleh memastikan setiap orang mendapat akses kepada tandas yang bersih dan selamat. ia merupakan satu hak asas yang kadang-kadang kita anggap remeh namun sangat penting dalam kehidupan seharian.
Hari Tandas Sedunia bukan sekadar tarikh lucu atau sambutan biasa, tetapi panggilan untuk bertindak. Mulakan daripada rumah sendiri, sebarkan kesedaran kepada keluarga, dan ambil berat terhadap tandas awam. Dengan setiap tindakan, kita membantu membina masyarakat yang lebih sihat, bersih dan selesa untuk semua.

Nurulisyazila Othaman
Guru Bahasa
Pusat Pengajian Bahasa,
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)
