Ada satu keluhan yang kini menjadi tema perbualan rakyat: “gaji baru masuk, tapi duit dah habis.” Ayat itu bukan gurauan lagi. Ia menjadi realiti sebahagian besar keluarga di bandar dan luar bandar yang bergelut dengan kos kehidupan yang meningkat dalam diam. Isu kos sara hidup bukan lagi sekadar topik dalam rancangan bual bicara ekonomi, tetapi sudah menjadi topik rutin di kedai mamak, di surau selepas solat Isyak, malah dalam kereta ketika pulang dari kerja. Setiap orang merasainya, walaupun dengan cara yang berbeza.
Kos naik, pilihan makin sempit
Menurut data rasmi Jabatan Perangkaan Malaysia, harga makanan meningkat sekitar 17 peratus dalam tempoh lima tahun terakhir. Namun dalam tempoh yang sama, purata kenaikan gaji pekerja hanya sekitar tujuh peratus. Angka ini mendedahkan jurang yang membimbangkan. Harga barang naik hampir dua kali ganda lebih cepat daripada pertambahan pendapatan. Walaupun inflasi negara dilaporkan berada sekitar dua hingga tiga peratus, angka tersebut tidak membawa apa-apa makna apabila realiti di pasar raya menunjukkan RM100 hanya mampu mengisi setengah bakul barang, bukan lagi satu troli kecil seperti dulu.
Di pasar tani, di pasar raya atau di kedai runcit, kita boleh melihat perubahan tingkah laku rakyat. Ramai sudah tidak membeli barang seperti biasa. Ada yang berdiri lama membelek harga tepung, beras atau telur, dan membuat kira-kira ringkas dalam kepala. Ada yang mula bertukar kepada jenama lebih murah walaupun selama bertahun-tahun mereka setia dengan jenama tertentu. Jika dulu makan di restoran selepas waktu kerja menjadi tanda menghargai diri, kini ia dianggap pembaziran. Makan di luar kini menjadi aktiviti “sekali-sekala,” bukan lagi rutin harian.
Hakikatnya, rakyat bukan menjadi kedekut, tetapi mereka menjadi strategik kerana keadaan memaksa.
Kenapa kos hidup naik?
Kenaikan kos hidup ini berlaku bukan kerana rakyat boros atau tidak pandai mengurus kewangan. Ia berlaku kerana sistem ekonomi semasa meletakkan rakyat sebagai penyerap kos. Malaysia masih bergantung kepada import makanan untuk memenuhi permintaan domestik. Apabila nilai ringgit tidak stabil atau kos logistik global meningkat, harga barangan import naik, dan kesannya terus menimpa pengguna. Di dalam negara pula, kos operasi peniaga meningkat seperti sewa premis dan utiliti juga menjadi semakin mahal. Peniaga tiada pilihan selain memindahkan kos itu kepada pelanggan melalui harga jualan yang lebih tinggi.
Dalam keadaan ini, yang paling terkesan ialah golongan berpendapatan rendah dan sederhana. Dua kumpulan ini merangkumi majoriti rakyat Malaysia. Mereka tidak mempunyai ruang kewangan yang besar untuk menyerap kenaikan kos. Apabila harga ayam naik, mereka akan terasa. Apabila harga sayur naik, mereka lebih terasa. Ada keluarga yang terpaksa menukar menu harian, dari ayam kepada telur, dari daging kepada bebola ikan. Ada ibu bapa yang mengurangkan makan di luar untuk memastikan anak-anak tidak makan makanan segera terlalu kerap. Ada juga yang terpaksa mengikat perut supaya anak-anak cukup makan.
Lebih menyedihkan, ramai rakyat Malaysia kini berada dalam keadaan survival mode. Selepas selesai kerja tetap, mereka terus membuat kerja sampingan. Ada yang mengambil tempahan makanan pada hujung minggu. Ada yang menjadi penghantar makanan pada waktu malam. Ada yang membuka bisnes kecil-kecilan untuk menambah pendapatan. Bekerja bukan lagi sekadar memenuhi cita-cita atau meningkatkan taraf hidup. Kini, ramai bekerja untuk kekal bertahan.
Apa penyelesaian jangka panjang?
Namun, bantuan berbentuk subsidi atau bantuan tunai bukanlah penyelesaian jangka panjang. Ia hanya meredakan kesakitan, bukan menyembuhkan punca penyakit. Penyelesaian sebenar perlu bermula dengan memperbaiki struktur pendapatan. Gaji mesti bergerak seiring dengan kos hidup, bukan berdasarkan angka purata nasional. Selain itu, kebergantungan kepada import makanan perlu dikurangkan melalui sokongan yang jelas kepada pengeluaran makanan tempatan. Jika rantaian bekalan terlalu panjang dan dipenuhi orang tengah, harga akan terus melonjak tanpa kawalan. Di samping itu, pendidikan kewangan perlu diterapkan secara serius supaya rakyat boleh merancang, bukan hanya bertindak bila terdesak.
Akhirnya, isu kos sara hidup bukan soal angka ekonomi atau indeks inflasi. Ia soal maruah manusia untuk hidup dengan tenang di negara sendiri. Rakyat tidak meminta kemewahan luar biasa. Mereka cuma mahu kehidupan yang stabil iaitu dapat membeli barang keperluan tanpa rasa bersalah, dapat makan di luar tanpa perlu mengira baki bank, dan dapat merancang masa depan tanpa dibayangi ketakutan.
Kesimpulannya, selagi gaji tidak naik seiring dengan kos kehidupan, selagi harga barang terus mengatasi pendapatan, selagi itu rakyat akan terus menghitung hari sebelum dompet kembali kosong sebelum hujung bulan. Malaysia mempunyai potensi yang besar. Yang tinggal hanyalah keberanian untuk memperbetulkan perkara yang sudah lama dibiarkan.
Kerana akhirnya, rakyat bukan mahu bertahan.
Rakyat mahu hidup.

Dr. Zurina Samsudin
Pensyarah Kanan
Johor Business School/Sekolah Perniagaan Johor
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)
Rencana ini juga diterbitkan di:
1. Malaysia Gazette (malaysiagazette.com), 24 November 2025: Harga naik, gaji kekal sama, sampai bila kita mampu bertahan?
Harga naik, gaji kekal sama, sampai bila kita mampu bertahan?
2. Utusan Malaysia (muka surat:25), 9 Disember 2025: Sampai bila rakyat mampu bertahan?

3. Utusan (utusan.com.my), 9 Disember 2025: Sampai bila rakyat mampu bertahan?
https://www.utusan.com.my/rencana/forum/2025/12/sampai-bila-rakyat-mampu-bertahan/
