Oleh Profesor Madya Dr. Khairunesa Isa
KUALA TERENGGANU, 9 Nov 2025 – Dua pelajar Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) berjaya mengharumkan nama universiti dan negeri Johor apabila pasukan Gerakan Pengguna Siswa (GPS) UTHM meraih tempat kelima dalam Cabaran Intelektual Pengguna (CIP GPS) Peringkat Kebangsaan 2025, yang berlangsung di Raia Hotel & Convention Centre, Kuala Terengganu pada 7 hingga 9 November lalu.
Program anjuran Bahagian Gerakan Kepenggunaan (BGK), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) itu menghimpunkan 10 pasukan GPS dari pelbagai institusi pengajian tinggi seluruh Johor, termasuk Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Teknologi Mara (UiTM) Segamat, Institut Pendidikan Guru (IPG) Temenggong Ibrahim dan Kolej Yayasan Pelajaran Johor.
Program tahunan itu bertujuan memperkasakan GPS di institusi pengajian tinggi seluruh negara bagi melahirkan generasi pengguna bijak, beretika dan bertanggungjawab selaras dengan aspirasi KPDN.
UTHM diwakili oleh Muhammad Hazriq Abd Ghapar, pelajar Sarjana Muda Pengurusan Teknologi dengan Kepujian dari Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan (FPTP), dan Nur Ain Fatiha Mahmus, pelajar Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal dengan Kepujian dari Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FKMP).
Walaupun datang dari universiti teknikal, kedua-dua pelajar tersebut membuktikan bahawa pelajar UTHM bukan sahaja cemerlang dalam bidang kejuruteraan dan teknologi, malah mampu menggalas peranan sebagai pengguna berilmu dan pemimpin masyarakat yang celik kepenggunaan.
Sebagai ahli GPS UTHM, mereka turut berperanan sebagai perantara penting dalam menyampaikan ilmu kepenggunaan kepada komuniti, sekali gus membantu memperkukuh kesedaran masyarakat terhadap hak dan tanggungjawab sebagai pengguna bijak.
Kejayaan pasukan itu turut didorong oleh bimbingan Penasihat GPS UTHM, Prof. Madya Dr. Khairunesa Isa, yang sentiasa komited dalam memperkasa mahasiswa UTHM melalui pendidikan kepenggunaan dan program pembangunan sahsiah pelajar.
Majlis perasmian penutup telah disempurnakan oleh Dato’ Haji Amran Haji Ahmad, Timbalan Ketua Setiausaha (Pendayaupayaan Pengguna dan Pengurusan) KPDN.
Beliau dalam ucapannya menzahirkan penghargaan kepada semua peserta kerana berjaya menampilkan semangat tinggi dalam memperjuangkan hak dan kesedaran pengguna dalam kalangan mahasiswa.
