Mereka sepatutnya menjadi harapan negara. Namun, semakin hari semakin banyak kisah menyedihkan tentang pelajar sekolah yang terjebak dalam gejala sosial. Statistik terkini dari Kementerian Pendidikan Malaysia mendedahkan bahawa lebih 7,600 kes buli direkodkan sepanjang tahun 2024, satu lonjakan berbanding tahun sebelumnya. Lebih mengejutkan, kes rogol yang melibatkan pelajar bawah umur turut mencuri perhatian media dan masyarakat.

Kes seorang pelajar perempuan Tingkatan Tiga yang menjadi mangsa rogol oleh rakan sekelasnya di sebuah sekolah menengah di Selangor misalnya, bukan sahaja menggemparkan negara tetapi turut membuka mata tentang betapa rapuhnya benteng moral generasi muda kita. Di mana silapnya? Gejala sosial dalam kalangan pelajar bukan sekadar angka dalam laporan tahunan, tetapi kisah benar tentang manusia yang memerlukan perhatian, empati dan penyelesaian bersama.

Antara didikan dan kehidupan

Ramai berpendapat bahawa punca utama kepada masalah ini berpunca daripada kelompongan dalam pendidikan agama dan moral. Di sekolah, subjek Pendidikan Islam dan Moral sering kali diajar secara hafalan dan berorientasikan teori semata-mata tanpa penghayatan yang mendalam. Nilai-nilai murni tidak seharusnya hanya disampaikan dalam bentuk kata-kata, tetapi perlu ditunjukkan melalui teladan, dihidupkan dalam aktiviti harian, serta diamalkan dalam setiap aspek kehidupan pelajar.

Guru berperanan sebagai ikon sahsiah yang menjadi contoh kepada pelajar, bukan sekadar penyampai silibus. Pendidikan nilai perlu disampaikan secara lebih kontekstual dengan menyentuh isu-isu semasa serta dilema moral yang dihadapi oleh remaja masa kini. Tanpa pendekatan yang realistik dan menyeluruh, pelajar akan terus mencari panduan di tempat lain termasuklah di media sosial yang sarat dengan pengaruh negatif dan nilai yang sering bertentangan dengan norma Masyarakat.

Dunia maya, realiti kelam

Media sosial kini seolah-olah menjadi ‘guru’ utama bagi ramai pelajar. Platform seperti TikTok, Instagram dan YouTube bukan lagi sekadar medium hiburan, tetapi telah berubah menjadi sumber maklumat, pembentukan identiti serta medan pengaruh yang kuat terhadap cara pelajar berfikir dan bertindak. Kajian oleh CyberSecurity Malaysia menunjukkan bahawa sebahagian besar pelajar sekolah menengah pernah terdedah kepada kandungan tidak sesuai seperti bahan lucah secara tidak sengaja melalui platform digital, mencerminkan betapa rapuhnya benteng kawalan terhadap akses maklumat dalam talian.

Lebih membimbangkan, fenomena cabaran viral yang berbahaya, budaya hedonisme dan gaya hidup bebas semakin menular serta diterima sebagai norma dalam kalangan remaja. Tanpa kawalan dan bimbingan yang berkesan, media sosial boleh menjadi pintu masuk kepada keruntuhan akhlak, menggantikan nilai-nilai murni dengan budaya segera yang menilai hidup berdasarkan ‘likes’ dan tontonan semata-mata.

Oleh itu, pendidikan literasi digital perlu dijadikan sebahagian penting dalam kurikulum sekolah. Ia tidak seharusnya terhad kepada cara menggunakan teknologi, tetapi mesti menekankan aspek pemikiran kritikal, etika digital dan keupayaan menilai kesahihan maklumat. Hanya dengan pendekatan holistik ini, generasi muda dapat belajar untuk mengawal teknologi dan bukan dikawal olehnya.

Rumah yang sepi

Di sebalik senyuman dan keceriaan yang terpancar pada wajah pelajar, ramai sebenarnya menyembunyikan luka dan tekanan yang datang daripada rumah. Keluarga yang berpecah-belah, ibu bapa yang terlalu sibuk mengejar kerjaya, serta suasana rumah yang dipenuhi konflik menjadikan pelajar kehilangan arah dan sokongan emosi yang mereka perlukan. Beberapa kajian menunjukkan bahawa sebahagian besar remaja yang terlibat dalam kes ponteng sekolah dan vandalisme mempunyai latar belakang keluarga yang bermasalah, termasuk isu kawalan ibu bapa dan konflik domestik yang mana ia suatu petunjuk jelas bahawa kestabilan institusi keluarga memberi kesan langsung terhadap tingkah laku anak-anak.

Rumah sepatutnya menjadi tempat perlindungan dan kasih sayang, bukannya medan tekanan yang membebankan emosi anak-anak. Ibu bapa perlu lebih peka dan proaktif dalam memenuhi keperluan emosi serta spiritual anak, bukan sekadar menyediakan keperluan asas seperti makan, minum dan pakaian. Hubungan yang mesra dan komunikasi terbuka antara ibu bapa dan anak merupakan benteng pertama dalam mencegah gejala sosial.

Oleh itu, inisiatif seperti program keibubapaan, bimbingan komuniti dan sokongan psikososial contohnya melalui platform “Parenting Circle” amat wajar diperluaskan di sekolah dan komuniti setempat. Program sebegini bukan sahaja mengukuhkan hubungan keluarga, tetapi juga membina ekosistem sokongan yang mampu melahirkan generasi pelajar yang lebih seimbang dari segi emosi, sosial dan moral.

Sekolah: Lebih dari akademik

Sistem pendidikan kita masih terlalu berorientasikan pencapaian akademik semata-mata. Kejayaan sering diukur melalui keputusan peperiksaan, sedangkan ramai pelajar yang cemerlang dalam akademik sebenarnya sedang bergelut dengan tekanan emosi, kekosongan jiwa, atau masalah sahsiah yang tidak disedari. Program disiplin dan kaunseling pula sering dilaksanakan sekadar memenuhi syarat, tanpa benar-benar menyentuh hati dan memahami keperluan sebenar pelajar.

Oleh itu, sekolah perlu berperanan sebagai ruang selamat yang membolehkan pelajar berkembang secara menyeluruh di samping bukan hanya dari segi intelek, tetapi juga emosi, sosial dan rohani. Program mentor-mentee, aktiviti kokurikulum yang berasaskan nilai, serta kaunseling psikososial perlu diperkasa dan dijadikan budaya sekolah. Pelajar harus dibimbing bukan sekadar untuk lulus peperiksaan, tetapi untuk menjadi insan yang berintegriti, berempati dan mampu menyumbang secara positif kepada masyarakat.

Rakan Sebaya: Pengaruh yang halus

Dalam dunia remaja, rakan sebaya memainkan peranan yang amat besar dalam membentuk sikap, pemikiran dan tingkah laku seseorang. Pada usia ini, keinginan untuk diterima oleh kumpulan sering mengatasi pertimbangan akal dan nilai moral. Demi mendapatkan pengiktirafan dan rasa ‘belonging,’ ramai sanggup mengikut arus walaupun arus itu membawa ke arah yang salah. Kes sekumpulan pelajar lelaki di Johor Bahru yang ditahan kerana mencuri motosikal atas dorongan rakan sebaya menjadi bukti jelas betapa kuatnya pengaruh sosial ini terhadap tindakan remaja.

Pengaruh rakan sebaya bukan semestinya negatif, ia juga boleh menjadi saluran positif jika dibimbing dengan betul. Justeru, pelajar perlu diberi pendedahan tentang cara memilih rakan yang baik serta kemahiran menolak ajakan yang tidak sihat. Program pembangunan sahsiah dan kepimpinan pelajar perlu disusun supaya mereka mampu menjadi contoh kepada rakan sebaya yang lain. Dalam konteks ini, bimbingan moral dan nilai perlu diterapkan melalui pendekatan yang menyeronokkan dan dekat dengan dunia remaja.

Bagi menangani pengaruh negatif rakan sebaya, program intervensi awal seperti kem motivasi, aktiviti komuniti dan bimbingan rakan sebaya perlu diperluaskan serta dilaksanakan secara berterusan. Pelajar yang berisiko harus dikenal pasti lebih awal dan dibantu melalui pendekatan holistik yang melibatkan guru, kaunselor, ibu bapa dan masyarakat setempat. Apabila semua pihak berganding bahu membina jaringan sokongan yang kukuh, barulah remaja dapat dibimbing untuk membuat keputusan yang bijak dan membina jati diri yang positif.

Undang-Undang dan Pemulihan

Walaupun kes jenayah dalam kalangan pelajar semakin meningkat, pelaksanaan dan penguatkuasaan undang-undang masih dilihat tidak konsisten. Banyak kes seperti rogol dan buli fizikal di asrama tidak diselesaikan secara menyeluruh, menyebabkan mangsa tidak mendapat perlindungan yang sewajarnya. Dalam sesetengah keadaan, pelaku pula terlepas daripada hukuman setimpal atau tidak diberikan rawatan pemulihan yang sesuai, sekali gus menimbulkan persepsi bahawa sistem keadilan gagal melindungi golongan muda yang menjadi mangsa mahupun pelaku.

Oleh itu, penguatkuasaan perlu dilaksanakan dengan tegas namun berteraskan unsur pemulihan. Pelajar yang tersasar daripada landasan sewajarnya harus diberi peluang kedua melalui program pemulihan yang menyeluruh, meliputi aspek psikologi, pendidikan, spiritual dan kemahiran hidup. Mahkamah Juvana serta pusat pemulihan remaja wajar diperkasa dengan pendekatan yang lebih manusiawi bukan hanya menghukum, tetapi membimbing dan memulihkan agar mereka dapat kembali menjadi anggota masyarakat yang berguna.

Gejala sosial dalam kalangan pelajar bukan sekadar masalah disiplin di sekolah, tetapi mencerminkan keretakan dalam sistem nilai, kelemahan institusi keluarga, serta kekurangan dalam pendekatan pendidikan yang holistik. Persoalan “di mana silapnya?” tidak boleh dijawab dengan menuding jari kepada mana-mana pihak, kerana ia merupakan isu bersama yang berpunca daripada pelbagai faktor yang saling berkait. Pembentukan sahsiah remaja memerlukan perhatian bukan hanya terhadap aspek akademik, tetapi juga terhadap kesejahteraan emosi, moral dan sosial mereka.

Secara kesimpulannya, ibu bapa, guru, pihak kerajaan dan masyarakat perlu berganding bahu dalam memainkan peranan masing-masing. Pendidikan nilai dan sahsiah perlu diperkukuh, pengawasan terhadap media sosial diperketat, manakala program sokongan keluarga dan intervensi awal harus dipertingkatkan. Dalam masa yang sama, penguatkuasaan undang-undang perlu tegas namun berperikemanusiaan. Hanya melalui usaha kolektif dan berterusan inilah kita dapat melahirkan generasi pelajar yang bukan sahaja unggul dari segi akademik, tetapi juga teguh dari segi akhlak, empati dan jati diri sebagai pewaris masa depan negara._Foto:detik.com

 

 

Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Saifulnizan Jamian

Jabatan Kejuruteraan Mekanikal

Fakulti Kejuruteraan Mekanikal Dan Pembuatan

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

 

Ts. Inv. Mahmod Abd Hakim Mohamad

Pensyarah Kanan

Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Pusat Pengajian Diploma

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)