Dalam masa seminggu, dunia menyaksikan kejatuhan tiga kerajaan Jepun, Nepal dan Perancis. Runtuhnya pentadbiran ini bukan hanya berpunca daripada kelemahan ekonomi atau kegagalan kepimpinan semata-mata, tetapi juga kesan langsung daripada bagaimana maklumat bergerak begitu pantas dalam era digital. Media sosial kini menjadi senjata paling ampuh rakyat untuk meluahkan rasa marah, membina solidariti dan menggerakkan protes, sehingga kerajaan yang kelihatan kukuh boleh tumbang hanya dalam hitungan hari sahaja.

Di Jepun, kekalahan parti yang memerintah dalam pilihan raya parlimen banyak dipengaruhi oleh media sosial yang menjadi medan rakyat muda berdebat, menyebarkan kritikan serta memperbesarkan isu kos sara hidup. Kempen tradisional tidak lagi cukup, kerana naratif rakyat di platform digital lebih kuat daripada mesej rasmi parti atau kerajaan. Di Nepal pula, sekatan kerajaan terhadap media sosial ternyata menjadi pencetus letupan naluri ketidakpuashatian rakyat biasa. Anak muda yang sudah lama kecewa dengan peluang pekerjaan dan korupsi melihat tindakan itu sebagai usaha menutup mulut mereka. Sekatan tersebut bukannya melemahkan protes, malah menjadikannya lebih membara, ibarat cuba memadam api dengan minyak.

Perancis juga tidak terkecuali. Perbahasan tentang bajet penjimatan kerajaan meletus lebih dahulu di platform digital, dengan rakyat berkongsi pengalaman tentang kesusahan hidup, kemarahan terhadap cukai dan rasa terpinggir. Gelombang ini kemudian diterjemahkan di jalanan dan akhirnya di parlimen, apabila kerajaan kehilangan undi percaya. Jelas bahawa dalam dunia hari ini, persepsi awam di media sosial boleh menentukan jatuh bangunnya kerajaan.

Namun di sinilah timbul persoalan penting, sejauh mana kebebasan media sosial perlu diberikan tanpa kawalan? Kita tidak boleh menafikan bahawa media sosial memberi ruang kepada rakyat menyuarakan pendapat, menyebarkan maklumat dan menuntut perubahan. Tetapi ia juga medan yang sarat dengan berita palsu, manipulasi dan hasutan yang boleh mencetuskan kekacauan. Di Nepal, protes yang bermula dengan tuntutan sah akhirnya bertukar ganas apabila mesej dan video yang berlegar di media sosial membakar lagi emosi, mendorong kepada pembakaran bangunan kerajaan dan entiti awam yang amat merugikan negara.

Apa yang membezakan krisis hari ini daripada protes era lalu ialah kelajuan dan ketersambungan peredaran maklumat. Sebagai contoh mesej mentah dan tidak sahih boleh menjadi “bukti” dalam beberapa jam, video yang disunting kemas boleh disebarkan berjuta kali dan warga maya yang marah boleh diarahkan sama ada secara sengaja atau tidak menyebarkan maklumat yang rupa-rupanya palsu tetapi kelihatan benar.

Di sinilah peranan ancaman baru muncul, kandungan palsu yang dihasilkan oleh AI generatif seperti imej atau “deepfake,” rakaman audio yang diubah, teks propaganda yang ditulis untuk meniru suara sebenar telah mencipta versi realiti yang menipu. Apabila sesuatu video atau laporan tampak meyakinkan, ramai tidak mempunyai masa atau kemahiran untuk memeriksa kebenarannya sebelum berkongsi. Kesannya bukan sekadar salah faham, ia boleh menghidupkan keganasan, memecahbelahkan komuniti, atau menumbangkan kepercayaan terhadap institusi yang selama ini menjadi sandaran. Dalam beberapa kes, maklumat palsu yang “seakan benar” memberi justifikasi kepada tindakan ganas secara fizikal atau keganasan media massa.

Bagi Malaysia dan negara-lain, pengajaran besar dapat diambil. Kebebasan digital adalah nadi demokrasi moden, tetapi ia mesti diimbangi dengan tanggungjawab dan batasan yang seimbang dan praktikal. Kerajaan tidak boleh sewenang-wenangnya menyekat platform, kerana tindakan itu hanya menambah kemarahan. Sebaliknya, perlu ada pendekatan lebih bijak seperti memperkukuh literasi media rakyat, mempercepat penafian berita palsu dan memastikan maklumat sahih sampai dahulu kepada orang ramai. Pada masa yang sama, garis undang-undang yang jelas harus wujud untuk mengekang fitnah, hasutan kebencian dan manipulasi yang boleh menggugat kestabilan.

Maka, lahirlah cabaran terbesar demokrasi moden, bagaimana mengekalkan kebebasan bersuara tanpa membiarkan kebebasan itu menjadi senjata yang menikam diri. Tanggungjawab ini bukan hanya di bahu kerajaan untuk menapis atau mengawal, tetapi juga di bahu masyarakat untuk berfikir, memeriksa dan menilai sebelum berkongsi. Literasi media menjadi benteng pertama, sementara dasar awam yang telus dan komunikasi kerajaan yang pantas serta jelas menjadi pelengkap. Hanya dengan keseimbangan antara kebebasan dan disiplin inilah kita dapat memastikan media sosial menjadi jambatan antara rakyat dan kerajaan, bukannya jurang yang meruntuhkan keduanya.

Akhirnya, krisis yang telah mendapat perhatian dunia pada waktu ini membuktikan bahawa politik abad ke-21 tidak boleh dipisahkan daripada media sosial. Rakyat kini mempunyai kuasa suara yang jauh lebih besar dan kerajaan yang gagal membaca sentimen digital berisiko untuk dihukum. Tetapi rakyat juga perlu sedar, kebebasan di alam maya datang dengan tanggungjawab, kerana sekali api emosi wujud kesannya boleh menghancurkan bukan sahaja kerajaan, tetapi juga masa depan negara.

 

 

Dr. Noor Zuraidin Mohd Safar

Pensyarah Kanan, Jabatan Keselamatan Maklumat dan Teknologi Web

Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)