Oleh Suriayati Baharom
BATU PAHAT – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) melalui Metro System Academy (MSA) telah menganjurkan Annual Railway Summit, Conference and Innovation Competition (ARSCIC) 2025 pada 18 hingga 20 November 2025, iaitu sebuah program yang menghimpunkan pihak kerajaan, pemain industri dan penyelidik dalam bidang rel serta pengangkutan negara.
Bertemakan “Shaping the Future of Sustainable Mobility and Connectivity,”ARSCIC 2025 diadakan sebagai platform utama bagi mengetengahkan forum ilmiah, pembentangan penyelidikan dan pertandingan inovasi.
Program itu bertujuan memperkukuh kerjasama strategik antara pelbagai pihak serta meneroka peluang pembangunan ekosistem rel yang lebih mampan dan berdaya saing di Malaysia.
Majlis perasmian pembukaan disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah, manakala majlis penutup pula dirasmikan oleh Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari, .
Sebagai pelengkap kepada ARSCIC 2025, MSA turut menganjurkan Majlis Perasmian Penutupan program School Track Rail Adventure: Selangor – We Are the Champions, yang melibatkan penyertaan sekolah menengah terpilih dari seluruh negeri Selangor.
Inisiatif itu bertujuan memupuk minat pelajar terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), selain memberi pendedahan awal berkaitan teknologi rel dan laluan kerjaya masa depan.
Timbalan Menteri Pengangkutan dalam ucapan perasmiannya berkata industri kereta api bukan sekadar mengenai pengangkutan, ia merupakan penyumbang penting kepada ekonomi negara, inovasi dan kelestarian.
“Kerjasama antara institusi pengajian tinggi, kerajaan dan pemain industri adalah asas kepada kejayaan ini.
“Penganjuran ARSCIC 2025 menjadi bukti bahawa institusi seperti UTHM mampu bekerjasama secara langsung dengan pembuat dasar dan pemimpin industri, satu bentuk kolaborasi yang luar biasa dan wajar diperluaskan lagi,” katanya.
Turut diadakan, sesi pertukaran dokumen perjanjian persefahaman (MoU) dan surat hasrat (LoI) antara UTHM dengan beberapa rakan kerjasama dalam kalangan pemain industri rel dan pengangkutan.
Sementara itu, Menteri Besar Selangor turut menzahirkan penghargaan atas usaha UTHM yang konsisten melahirkan tenaga mahir serta memperkukuh keupayaan negara dalam bidang pengangkutan berasaskan teknologi hijau.
Beliau turut menyeru kepada semua pihak termasuk pelajar, penyelidik dan pemain industri untuk terus menyemarakkan semangat inovasi dan kolaborasi seperti yang dipupuk melalui penganjuran ARSCIC.
“Dunia kini sedang bergerak pantas menuju ekonomi hijau dan digital, dan Malaysia tidak boleh ketinggalan.
“Kita mesti memanfaatkan teknologi, pengetahuan dan kreativiti untuk melahirkan ekosistem mobiliti mampan yang memacu pertumbuhan ekonomi serta meningkatkan kualiti hidup rakyat,” katanya.
Hadir sama, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Dato’ Sri Ibrahim Ahmad; Timbalan Naib Canselor ( Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Ts. Dr. Rabiah Ahmad FASc dan Pendaftar / Ketua Pegawai Operasi UTHM, Naim Maslan.
Program itu turut mendapat sokongan daripada rakan strategik utama seperti Malaysia Rapid Transit Corporation (MRT Corp), Malaysia Rail Industry Corporation (MARIC), Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), YTL Construction dan GAMUDA Engineering, selain pelbagai organisasi lain yang memainkan peranan penting dalam pembangunan sektor rel.
Penganjuran ARSCIC 2025 sekali lagi mengukuhkan peranan UTHM sebagai institusi TVET yang proaktif dalam memperkasakan penyelidikan, inovasi dan pembangunan bakat, seterusnya menyumbang secara signifikan kepada kemajuan industri rel negara.





