Festival of Ideas Putrajaya 2025 (FOI Putrajaya 2025) menjadi mercu tanda baharu dalam memperkasa ekosistem ilmu dan inovasi negara. Di sebalik kemeriahannya, FOI Putrajaya 2025 berjaya mengangkat mesej penting: pendidikan tinggi mesti dipandu oleh adab, berakar kepada nilai. FOI adalah komitmen bersama yang perlu diteruskan dalam merakyatkan ilmu dan pendidikan tinggi, selain memposisikan Malaysia sebagai pusat wacana intelektual dan inovasi di rantau ini.
Sebagai wadah antara sarjana akademik, industri dan masyarakat, naratif ini mesti dihargai kerana terus menyuburkan budaya keilmuan dan membina jati diri masyarakat agar menghargai pengetahuan amat signifikan dalam era pascanormal yang sarat dengan ketidaktentuan.
“MADANI: Melakar Masa Depan, Merealisasikan Idea” pula bukan sekadar tema, tetapi simbol usaha merekayasa pendidikan tinggi yang berpaksikan nilai, berjiwa manusiawi dan kalis masa depan.
Dalam pada itu, syarahan oleh Dato’ Sri Idris Jala, “Transformational Ideas for Higher Learning Institutions” menyeru transformasi menyeluruh kepimpinan dan cara bekerja digerakkan segera. Masa depan pendidikan tinggi memerlukan tindakan konkrit yang strategik, bukan sekadar retorik.
Lebih bermakna, titah KDYMM SPB Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah binti Almarhum Sultan Idris Shah, menegaskan bahawa, “Apa jua bentuk kemajuan yang kita capai, ia mesti dipandu oleh adab,” titah baginda. Persoalannya, bagaimanakah adab dapat diposisikan dalam mengisi kesenjangan nilai hari ini? Sejauh manakah pula adab berperanan sebagai petunjuk kepada ekosistem pendidikan tinggi hari ini dan masa hadapan?
Adab merentasi teras ekosistem pendidikan tinggi
Laporan World Economic Forum (WEF) 2025 mengenal pasti lima risiko global utama iaitu ketidaktentuan geopolitik, ketidakseimbangan ekonomi, kerencaman bakat masa depan, ledakan teknologi tanpa etika dan keperluan keseimbangan planet. Semua risiko ini memberi isyarat jelas bahawa pendidikan tinggi tidak boleh lagi kekal dengan pendekatan purba.
Kecerdasan buatan (AI) kini mempercepat analisis, memperluas capaian maklumat, dan menukar cara kita berfikir. Namun, AI tidak memiliki niat, empatinya juga boleh diragui, serta tanpa tanggungjawab moral. Maka, ekosistem pendidikan tinggi mesti memainkan peranan membina insan beradab, iaitu individu yang bijak menguruskan teknologi untuk maslahat masyarakat, bukan dikuasai olehnya.
Dalam dunia yang sedang bergelut dengan krisis geopolitik, perubahan iklim dan AI yang menggugat pekerjaan, universiti mesti menjauhi polemik “universiti adalah kilang graduan.” Penamat permainan ekosistem pendidikan tinggi bukanlah sekadar modal insan yang hanya mencari pekerjaan, tetapi melahirkan manusia yang beradab, berjiwa besar dan mampu mengimbangi kemajuan teknologi dengan nilai kemanusiaan.
Justeru, adab perlu diinstitusikan dalam keseluruhan ekosistem pendidikan tinggi, meliputi pendidikan dan latihan (edu-train), penyelidikan, pembangunan, inovasi, komersialisasi dan keusahawanan (RDICE), serta tadbir urus (governance). Adab bukan hanya tentang etika dan peraturan, tetapi keupayaan menimbang tindakan dengan hikmah dan nilai kemanusiaan. Bergerak ke hadapan, tiga reformasi berikut wajar dipertimbangkan:
POPBL: Membina pelajar yang menguasai, bukan dikuasai teknologi
- Project Oriented Problem-Based Learning (POPBL) sebagai pendekatan structured learning experience (SLE) perlu menjadi agenda nasional. POPBL yang bersifat autentik, berasaskan pengalaman dan reflektif menjadikan proses pembelajaran bukan lagi hafalan fakta, tetapi proses menjadi manusia yang bermanfaat, inilah benteng terbaik mendepani era AI.
- Melalui POPBL, pelajar menyelesaikan masalah sebenar industri dan komuniti, berfikir secara kritis, dibimbing menjadi pemimpin dan ahli pasukan serta mengintegrasi pelbagai disiplin ilmu. Di sinilah adab terbentuk iaitu menghormati ilmu, manusia dan persekitaran. POPBL mendidik insan yang mampu memimpin teknologi, bukan diperintah olehnya.
- POPBL juga berupaya menanam nilai adab melalui pengalaman sebenar iaitu menghormati pandangan, mengamalkan empati, dan berfikir dengan tanggungjawab sosial. Inilah pendekatan pembelajaran yang mampu melahirkan graduan yang bukan hanya cerdas intelek, tetapi juga berjiwa manusiawi.
RDICE Berorientasi Sosial (RDICE-S)
- Dalam dunia pasca normal, kejayaan penyelidikan bukan hanya tentang paten dan keuntungan mahupun sitasi dan penerbitan, tetapi juga impak sosialnya. Pendekatan RDICE-Social perlu menggabungkan RDICE bersama social innovation (memperkenalkan penyelesaian baharu terhadap isu masyarakat), social entrepreneurship (memacu pelaksanaan idea dengan model mampan), dan social enterprise (menyeimbangkan keuntungan dengan misi sosial).
- Kerangka RDICE-S menjadikan universiti lebih relevan, inklusif dan mesra kesejahteraan Masyarakat, selaras dengan falsafah Malaysia MADANI. Tanpa ketetapan adab yang jitu, inovasi boleh menjadi rakus. Tanpa adab juga, keusahawanan dan perusahaan akan berkiblatkan keuntungan semata-mata. Adab mesti menjadi tunjang moral dalam penerokaan ilmu dan ekonomi.
ESG sebagai kerangka governan berjiwa insan
- Dengan 20 universiti awam, 36 politeknik, 106 kolej komuniti dan lebih 300 IPTS, peranan pendidikan tinggi dalam membentuk bakat masa depan mesti digerakkan oleh warga kerja yang berilmu dan beradab, yang mengajar, mengurus dan menyelidik dengan akal budi.
- Dalam dunia AI yang kian mendominasi, strategi pembangunan bakat perlu berteraskan nilai. Penekanan kerangka nilai Environment (E), Social (S) dan Governance (G) mesti mendasari agenda reformasi institusi. Lantikan dan latihan staf hendaklah berdasarkan nilai ilmu dan kemanusiaan, prestasi diukur bukan hanya melalui angka, tetapi juga tentang makna.
- Sinergi antara adab dan ESG membentuk “Governan Berjiwa Insan.” Adab memberi roh, ESG memberi struktur. Tadbir urus berjiwa insan ini memastikan keseimbangan antara manusia, alam, dan kemajuan teknologi, menjaga alam sebagai amanah (E), membina masyarakat sejahtera (S) dan menegakkan integriti institusi (G).
Kesimpulannya, FOI yang diiktiraf Malaysia Book of Records turut membawa mesej besar iaitu universiti mesti fasih memanusiakan manusia. Adab ialah akar, POPBL ialah alat, RDICE-S ialah arah, dan ESG ialah struktur, semuanya perlu senada seirama.
Adab sebagai kompas reformasi pendidikan tinggi hanya akan dihukum ‘idea lama’ tanpa adanya keberanian dan kesungguhan kepimpinan dan kepengikutan yang boleh bercakap dengan frekuensi dan daya tujah yang sama.
Tanpa kebersamaan, semuanya akan terus menjadi dikotomi dan bukan melengkapi. Akan ada yang berkata, “Mengapa perlu ditambah kerja, bukankah yang sedia ada sudah memadai?” Dengan penuh rendah diri, ingatlah bahawa hari ini dan masa depan bukan hanya tentang diri kita. Bukan juga hanya tentang pentingnya ekonomi yang menguntungkan (profit) semata-mata. Tetapi juga tentang dunia (planet) yang bakal diwariskan untuk anak bangsa generasi akan datang (people). Kita mesti berubah!

Prof. Dr. Afandi Ahmad
Provost UTHM Kampus Cawangan Pagoh
—
Profesor
Jabatan Teknologi Kejuruteraan Elektrik
Fakulti Teknologi Kejuruteraan
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia

Dr. Muhammad Nizam Awang
Timbalan Pengarah (Bahagian Inovasi & Kecemerlangan Penyelidikan)
Pejabat Pengurusan Penyelidikan & Inovasi (PPPI)
Universiti Sains Islam Malaysia
—
Pensyarah Kanan
Fakulti Syariah & Undang-undang USIM
