Oleh Izuan Amin Ishak
PAGOH, 11 Nov 2025 – Seramai 54 pelajar FTK dari program Pembuatan (BNM) dan Automotif (BNG) bersama sembilan staf Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah melaksanakan Program SULAM 2025 bagi membantu meningkatkan fasiliti pembelajaran di Tabika KEMAS Kampung Jawa, Muar.
Program di bawah kursus Manufacturing Process Technology (BNM20104) yang berteraskan konsep Service-Learning Malaysia University for Society (SULAM) itu dirangka bagi mencapai beberapa objektif utama, antaranya meningkatkan fasiliti pembelajaran sedia ada di Tabika KEMAS agar lebih selamat, mesra kanak-kanak dan kondusif.
Pelaksanaan program itu juga bagi memberi peluang kepada para pelajar terlibat untuk mengaplikasikan pembelajaran berasaskan pengalaman sebenar melalui proses lengkap yang merangkumi aktiviti pengukuran tapak, perancangan reka bentuk, pembuatan produk, serta pemasangan fasiliti yang diperlukan oleh pengguna.
Pada masa yang sama, program itu bertujuan memperkukuh hubungan antara universiti dan komuniti setempat dengan memperkenalkan kolaborasi yang bersifat dua hala, serta menyokong aspirasi pembangunan pendidikan awal yang lebih berkualiti bagi masyarakat setempat.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Ketua Jabatan Teknologi Kejuruteraan Mekanikal, Ts. Dr. Syabillah Sulaiman.
Hadir sama, Pengerusi Tabika KEMAS Kampung Jawa, Zakaria Hassan dan Ketua Kampung Kampung Jawa, Amat Arsam.
Turut diadakan, aktiviti ‘Made-to-Measure’ yang merangkumi kerja pengukuran terperinci ruang dan dimensi penggunaan sebenar bagi memastikan setiap produk yang bakal dihasilkan memenuhi keperluan kanak-kanak dan guru.
Pendekatan teknikal itu bukan sahaja memberi nilai ketepatan dari sudut kejuruteraan, malah memastikan keselamatan, keselesaan dan kesesuaian setiap reka bentuk benar-benar terjamin.
Melalui aktiviti tersebut, pelajar memperoleh pendedahan menyeluruh terhadap proses kerja sebenar termasuk pertimbangan aspek ergonomik, pemilihan bahan, dokumentasi teknikal serta keupayaan menyelesaikan masalah secara profesional.
Produk yang sedang dalam proses pembuatan di makmal FTK akan dipasang di Tabika KEMAS Kampung Jawa pada Disember 2025.
“Pelaksanaan program SULAM seumpama itu diharap dapat menjadi pemangkin kepada universiti dan komuniti untuk menjalinkan lebih banyak kolaborasi lain pada masa akan datang, sekali gus memberi manfaat yang berpanjangan kepada penduduk setempat,” kata Dr. Syabillah.


