BATU PAHAT – Seramai 85 murid Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) telah menyertai Program 3E SPARK “Educate, Empower, Excel” anjuran Pusat Pengajian Bahasa, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) yang berlangsung meriah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datin Onn Jaafar pada 24 September 2025 lalu.
Program itu diadakan bagi memberi pendedahan awal kepada murid tentang penggunaan bahasa Inggeris dalam situasi harian serta memupuk minat mereka terhadap bidang berteraskan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) melalui aktiviti praktikal.
Antara aktiviti yang dijalankan termasuklah penghasilan aiskrim tanpa peti sejuk, permainan taman mini, serta bengkel kecil penyediaan kentang putar dan ayam goreng berpandukan arahan dalam Bahasa Inggeris.
Penyelaras PPKI SMK Datin Onn Jaafar, Norizan Omar berkata program itu memberi impak positif kepada peserta terlibat kerana berjaya menggabungkan pembelajaran bahasa dengan pengalaman menyeronokkan.
“Pelajar PPKI lebih berani berkomunikasi, menunjukkan keyakinan diri dan terlibat secara aktif dalam setiap aktiviti yang dianjurkan,” katanya.
Sementara itu, Pengarah program, Profesor Madya Dr. Sazuliana Sanif pula berkata inisiatif itu merupakan salah satu usaha UTHM untuk memperkukuh hubungan dengan komuniti setempat melalui pendidikan inklusif.
“Kami mahu pelajar merasai bahawa pembelajaran bukan hanya berlaku di bilik darjah, tetapi juga boleh digabungkan dengan aktiviti menyeronokkan yang mendekatkan mereka dengan dunia sebenar,” katanya.
Kejayaan program itu turut didorong oleh sokongan pelbagai pihak yang prihatin terhadap pendidikan generasi muda antaranya daripada YB Onn Abu Bakar, Ahli Parlimen Batu Pahat, YB Gan Peck Cheng, ADUN Penggaram, Aida Bakery, Pertubuhan Kebajikan Inspirasi Insani, Syarikat Faiza Sdn. Bhd. dan RNS Maju Trading.
Sumbangan kewangan, barangan serta makanan daripada para penyumbang tersebut banyak membantu menjayakan program agar dapat dijalankan dengan lancar dan penuh meriah.
“Kerjasama berterusan daripada pihak sekolah, ibu bapa dan komuniti tempatan diharapkan dapat menyokong usaha memperkukuh pembangunan pelajar khususnya di daerah Batu Pahat,” tambah Dr. Sazuliana.



