TOKYO – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) terus memperkukuh hubungan antarabangsa dengan menyertai Board of Directors (BOD) Meeting OISCA International 2025 yang diadakan di Tokyo, Jepun pada 15 Oktober 2025 lalu.
UTHM yang diketuai Profesor Dr. Nik Hisyamudin Muhd Nor, Penolong Naib Canselor (Strategik dan Kualiti) hadir mewakili universiti dalam mesyuarat tahunan tersebut bersama pemimpin pendidikan, industri dan organisasi antarabangsa di bawah rangkaian OISCA International.
Menurut Prof. Nik Hisyamudin, mesyuarat itu menjadi platform penting dalam membincangkan hala tuju kerjasama global berkaitan kelestarian alam, pembangunan komuniti dan pendidikan teknikal sejajar dengan agenda Sustainable Development Goals (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
“Penyertaan ini juga merupakan kesinambungan daripada Memorandum Persefahaman (MoU) antara UTHM dan OISCA International yang telah diadakan pada 6 Ogos 2025 lalu di Hotel Pulse Grande, Putrajaya.
“Melalui MoU tersebut, kedua-dua pihak bersetuju untuk melaksanakan pelbagai bentuk kerjasama strategik termasuk program mobiliti dan pembangunan pelajar, projek penyelidikan bersama, penempatan industri staf akademik, perundingan bersama, serta inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) terutamanya dalam projek berteraskan kelestarian alam sekitar,” jelas beliau.
Sepanjang misi lawatan kerja ke Jepun, delegasi UTHM turut melaksanakan beberapa sesi pertemuan rasmi dan lawatan kerja dengan pelbagai agensi, institusi dan industri bagi memperkukuh hubungan dua hala serta meneroka peluang kolaborasi baharu.
Antara agenda utama ialah pertemuan rasmi dengan Presiden OISCA International, yang bertujuan membincangkan pelan tindakan serta hala tuju pelaksanaan kerjasama strategik pasca MoU yang telah dimeterai.
Pertemuan itu memberi tumpuan kepada pembangunan kapasiti pelajar, penyelidikan bersama dan pelaksanaan program komuniti antarabangsa yang selari dengan prinsip pembangunan mampan.
Delegasi turut mengadakan kunjungan hormat ke Kedutaan Besar Malaysia di Tokyo, yang mana pertemuan tersebut membuka ruang kepada UTHM untuk berkongsi potensi kolaborasi dalam bidang pendidikan tinggi antara Malaysia dan Jepun.
Lawatan itu juga memperkukuh hubungan diplomatik serta mendapatkan sokongan strategik daripada pihak kedutaan terhadap inisiatif global UTHM di Jepun.
Selain itu, delegasi turut mengadakan lawatan dan sesi perbincangan bersama CASIO Computer Co. Ltd., yang memberi peluang kepada kedua-dua pihak membincangkan potensi kerjasama dalam bidang teknologi kejuruteraan, inovasi pendidikan serta integrasi sistem pintar dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
Pada masa yang sama, pertemuan bersama Association of Private Universities of Japan (APUJ) turut diadakan bagi meneroka peluang kerjasama dalam pertukaran pelajar dan staf akademik, penyelidikan bersama serta penganjuran program jangka pendek yang berteraskan pembangunan TVET dan keusahawanan.
Delegasi turut mengadakan perbincangan bersama Koyo Daiichi Consulting Co. Ltd., sebuah firma perunding kejuruteraan Jepun, bagi mengenal pasti potensi kolaborasi dalam bidang kejuruteraan struktur, keselamatan bangunan tahan gempa serta pembangunan Halal 1 Stop Centre dan sistem jejak halal (halal traceability system) di Jepun.
Lawatan kerja itu turut disusuli dengan kunjungan ke Mount Fuji OISCA Project, sebuah projek pemuliharaan dan kelestarian alam sekitar di bawah OISCA International yang menjadi model terbaik dalam pembangunan komuniti berasaskan SDG.
Lawatan itu memberi pendedahan kepada UTHM tentang amalan terbaik Jepun dalam memelihara alam sekitar dan meningkatkan kesedaran komuniti terhadap kelestarian.
Pada sesi Mesyuarat BOD OISCA International tersebut, UTHM turut menjemput semua negara ahli dan rakan industri OISCA International untuk menyertai program “OISCA ASEAN Youth Summit Forum on SDG 2025 (OASYS 2025)” yang dianjurkan oleh universiti pada 22 Oktober 2025 secara dalam talian.
Forum antarabangsa itu menghimpunkan pemimpin muda, pendidik dan profesional dari pelbagai negara untuk membincangkan isu-isu global berkaitan SDG serta peranan belia dalam memacu agenda kelestarian sejagat.
“Penganjuran OASYS 2025 menjadi manifestasi komitmen UTHM dalam mendukung pembangunan mampan, memperkukuh jaringan kerjasama antarabangsa dan memperluas impak universiti kepada komuniti global melalui pendidikan, penyelidikan dan inovasi Lestari,” tambah Prof. Nik Hisyamudin.


