SEPANG, 14 Okt 2025 – Selaras dengan aspirasi negara untuk memperkasakan TVET dan melahirkan tenaga mahir yang berkualiti, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Kementerian Sumber Manusia bagi menjalin kerjasama dalam bidang akademik, perundingan, latihan, penyelidikan, pertukaran serta perkongsian maklumat dalam Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Perjanjian kerjasama bagi tempoh lima tahun itu yang diadakan di Hotel Sama-Sama, KLIA Sepang itu diwakili oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UTHM, Prof. Ts. Dr. Rabiah Ahmad, manakala JPK pula diwakili oleh Ketua Pengarah, Ts. Zuleah Darsong.

Hadir sama ke majlis tersebut, Pengarah Institut Penyelidikan Pendidikan dan Latihan Vokasional Malaysia (MyRIVET) UTHM, Prof. Dr. Badaruddin Ibrahim dan Timbalan Pengarah (Jaringan Masyarakat Dan Pemindahan Ilmu), Pusat Hubungan Industri dan Masyarakat, Dr. Raden Mohd Farhan Helmy Raden Ismail.

Perjanjian MoU itu adalah lanjutan daripada perbincangan dua pihak, susulan daripada kunjungan hormat dan lawatan kerja JPK ke MyRIVET pada 6 Mac 2025 lalu.

Pada majlis yang sama, JPK turut mengadakan pertukaran MoU dengan tiga rakan strategik yang lain, iaitu Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Malaysia Aviation Skills Standard Association (MASSA) dan Vistouso Sdn. Bhd.

Untuk rekod, JPK merupakan jabatan penting yang berfungsi untuk menyelaras dan mengawal pelaksanaan sistem latihan kemahiran bagi melahirkan k-Pekerja untuk keperluan pekerjaan dan pengiktirafan di peringkat nasional dan antarabangsa.

JPK juga melaksanakan penyelidikan dan membangun Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (SKPK) bagi meningkatkan kualiti sumber manusia mahir berterusan ke arah menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Atas sebab itu, JPK menjadi rakan strategik yang penting bagi UTHM sebagai universiti teknikal peneraju TVET di Malaysia.