Oleh Ir. Dr. Mohammad Soffi Md Noh
BATU PAHAT – Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina (FKAAB), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) bersama Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB Malaysia) telah menganjurkan Program Perantisan Building Information Modelling (BIM) 2025 yang menghimpunkan seramai 20 peserta terdiri daripada graduan UTHM.
Program yang berlangsung selama lima bulan bermula pada 2 September 2025 hingga 30 Januari 2026 itu bertujuan melahirkan tenaga muda profesional dalam bidang permodelan bangunan berinformasi (BIM) selaras dengan kehendak industri pembinaan digital negara.
Pelaksanaan program itu turut menerima peruntukan dana daripada pihak CIDB Malaysia, sekali gus membuktikan komitmen badan tersebut dalam memperkukuh kolaborasi strategik antara institusi akademik dan industri pembinaan bagi menyokong aspirasi Construction 4.0 Strategic Plan.
Sepanjang bulan pertama, peserta mengikuti Program Pensijilan BIM Proficiency Accreditation di FKAAB UTHM yang dikendalikan oleh tenaga pengajar bertauliah myBIM Centre CIDB Malaysia diketuai oleh Ir. Dr. Mohammad Soffi Md Noh, merangkap penyelaras program.
Modul latihan merangkumi tiga bidang utama iaitu Modelling of Architecture, Modelling of Structure dan Modelling of Infrastructure (Road and Highway).
Para peserta turut didedahkan dengan BIM Concept and Theory serta BIM Project Implementation sebagai asas penting sebelum penempatan industri dijalankan.
Para peserta turut menjalani latihan perantisan industri selama empat bulan di pelbagai organisasi perunding BIM terpilih di seluruh negara.
Latihan itu memberi peluang kepada peserta untuk mengaplikasikan kemahiran BIM dalam persekitaran sebenar serta membina jaringan profesional dengan pemain utama sektor pembinaan.
Menurut Dekan FKAAB, Profesor Ir. Ts. Dr. Mohd Haziman Wan Ibrahim, penganjuran itu bukan sahaja memperkukuh hubungan strategik antara universiti dan industri, malah membuka peluang kepada graduan muda untuk menguasai kemahiran teknologi pembinaan digital yang semakin mendapat perhatian global.
“BIM bukan lagi pilihan, tetapi satu keperluan penting dalam memastikan transformasi digital sektor pembinaan berjalan seiring dengan dasar kerajaan dan aspirasi National Construction Policy 2030.
Melalui sokongan dana CIDB Malaysia, program ini menjadi platform terbaik bagi melahirkan graduan yang bukan sahaja mahir dari segi teknikal, malah bersedia menghadapi cabaran industri sebenar,” katanya.
Program itu dijangka menjadi pemangkin kepada pembangunan modal insan berkemahiran tinggi dalam bidang BIM, sekali gus menyokong usaha CIDB Malaysia dalam memperkasa agenda digitalisasi dan inovasi sektor pembinaan negara.



