Oleh Dr. Tasiransurini Ab Rahman, Suriayati Baharom

BATU PAHAT – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) terus menunjukkan komitmen dalam memperkasa sahsiah mahasiswa dan menangani gejala sosial melalui penganjuran Program Skuad WAJA Siswa Negeri Johor 2025 (SWS 2025) yang berlangsung di Dewan Kuliah A, kampus induk pada 23 Oktober 2025 lalu.

Program anjuran bersama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) serta Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) itu dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad.

SWS 2025 bertujuan menyantuni mahasiswa dan meningkatkan kesedaran terhadap isu sosial dan jenayah di institusi pengajian tinggi (IPT).

Antara slot ceramah yang diadakan termasuk “Bicara Sahabat: Mahasiswa Prihatin”, “Pengenalan Skuad WAJA dan E.A.R.S (Empati, Atensi, Respon, Sokongan)” serta “Reproduktif Seksualiti: Menjana Generasi Bijak”.

Program turut diserikan dengan pameran agensi kerajaan, kaunter perkhidmatan MEKAR, Jabatan Pendaftaran Negara dan jualan produk usahawan.

Program ini menghimpunkan lebih 315 peserta dari UTHM, Institut Perguruan Guru Tun Hussein Onn (IPGTHO), Kolej Komuniti Batu Pahat, Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) Sri Gading dan Sekolah Menengah Tun Ismail, Parit Raja.

Sebelum ini, SWS 2025 telah dilaksanakan di Universiti Teknologi Malaysia Kuala Lumpur (UTMKL) dan Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

Dalam majlis yang sama, Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FKEE) turut melancarkan Skuad WAJA Subur Sahsiah Mulia (SUSILA), kesinambungan kempen sahsiah yang bermula sejak 2023.

Menurut Dekan FKEE, Profesor Ts. Dr. Asmarashid Ponniran, SUSILA memberi fokus kepada pembentukan akhlak mahasiswa melalui pelbagai kempen seperti anti dadah, anti buli, adab cerminan diri, perangi rasuah, jauhi zina dan kesihatan mental.

“Inisiatif ini mencerminkan sinergi erat antara UTHM dan agensi kerajaan dalam membentuk generasi pelapis yang berakhlak mulia serta bebas daripada gejala sosial,” katanya.

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UTHM, Profesor Ts. Dr. Abdul Rasid Abdul Razzaq; Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UTHM, Profesor Ts. Dr. Rabiah Ahmad; Timbalan Ketua Pengarah JPW, Dr. Faridah Awang; Ketua Pengarah LPPKN, Dato’ Abdul Shukur Abdullah dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Kebajikan Negara, Nordina Haron.