Oleh Prof. Ts. Dr. Mohd Fadzelly Abu Bakar

BATU PAHAT – Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) melakar satu lagi kejayaan antarabangsa apabila tiga pelajarnya berjaya terpilih menyertai Program Mobiliti Antarabangsa 2025 di University of Westminster (UoW), London, United Kingdom.

Program yang berlangsung dari 28 September hingga 4 Oktober 2025 itu merupakan antara inisiatif penting dalam memperkukuh jaringan akademik dan penyelidikan antara UTHM dan institusi pendidikan antarabangsa.

Tiga pelajar tersebut iaitu Nur Antasya Balkis Badrolhisham, Tan Wen Xin dan Noor Aliah Ahmad Razi merupakan pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains (Teknologi Makanan) dengan Kepujian.

Sepanjang program, para pelajar telah mengikuti sesi pembelajaran intensif dan aktiviti penyelidikan di Centre for Nutraceutical, University of Westminster, yang terkenal dengan kepakaran dalam bidang makanan berfungsi dan suplemen kesihatan, pemakanan dan kesihatan awam, fisiologi dan metabolisma, formulasi produk kesihatan inovatif serta aplikasi nanoteknologi dalam nutraseutikal.

 Melalui pengalaman itu, para pelajar berpeluang memahami dengan lebih mendalam penyelidikan dan pembangunan produk nutraseutikal yang kini menjadi tumpuan utama industri makanan dan kesihatan global.

Pendedahan di University of Westminster bukan sahaja memperkaya pengalaman akademik para pelajar, malah membuka ruang kepada jaringan profesional bersama penyelidik dan ahli akademik antarabangsa.

Ia turut membantu membentuk kemahiran insaniah, kepimpinan dan pemikiran kritikal yang penting untuk melahirkan graduan berkualiti dan berdaya saing di peringkat antarabangsa.

Menurut Dekan FAST, Prof. Madya Ts. Dr. Noor Azura Awang, kejayaan itu membuktikan kemampuan pelajar UTHM untuk menonjol di arena antarabangsa serta menggambarkan komitmen fakulti dalam menyediakan platform pembelajaran holistik.

Beliau berharap pengalaman berharga ini dapat menyemarakkan semangat kepimpinan, meningkatkan kebolehpasaran graduan dan menjadi inspirasi kepada pelajar lain untuk terus mencapai kecemerlangan.

“Terima kasih kepada Pejabat Antarabangsa UTHM atas sokongan dan bantuan dalam menjayakan pelaksanaan program mobiliti ini.

“Kerjasama erat antara FAST dan Pejabat Antarabangsa diyakini menjadi pemangkin kepada lebih banyak inisiatif pengantarabangsaan pada masa hadapan, seterusnya mengukuhkan kedudukan UTHM sebagai universiti teknikal yang berdaya saing di peringkat global,” katanya.

Kejayaan tiga pelajar FAST itu diharap menjadi dorongan kepada lebih ramai pelajar UTHM untuk merebut peluang menyertai program mobiliti dan pertukaran antarabangsa, sejajar dengan agenda universiti dalam memperkukuh pengantarabangsaan, penyelidikan dan inovasi.