LAHAD DATU, 7 Sept. 2025 – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) meneruskan usaha murni membantu masyarakat luar bandar menaikkan taraf hidup mereka dengan menubuhkan Koperasi Penduduk Kampung Tanjung Labian, Lahad Datu, Sabah.
Usaha itu telah dilaksanakan melalui Syarikat Terbitan Universiti (STU) iaitu Ittihad Maju Jaya Sdn Bhd (IMJ) yang diketuai oleh Dr. Mohd Zainizan Sahdan.
Terdahulu, IMJ telah berjaya membina lima telaga tiub berhampiran tangki air di kampung itu yang dianggarkan mempunyai kapasiti keseluruhan air sebanyak dua juta liter sehari.
Manakala pembinaan loji rawatan air pula dijangka siap pada pertengahan tahun 2026.
Menurut Dr. Zainizan, penubuhan koperasi itu bertujuan untuk menguruskan penjualan air kepada Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) yang dianggarkan berjumlah melebihi RM90 ribu setahun.
Kebanyakan masyarakat di sana bekerja sebagai nelayan dan pemetik buah kelapa sawit dengan purata pendapatan antara RM1000 hingga RM1500 sebulan.
“Pendapatan bulanan itu tidak dapat menampung keperluan mereka terutama yang mempunyai ramai anak.
“Penubuhan Koperasi ini diharap dapat mengubah nasib mereka yang memerlukan bimbingan terutama dalam pengurusan kewangan dan pentadbiran koperasi,” katanya.
Pihak UTHM telah membantu dalam mendaftarkan koperasi tersebut dan akan bertindak sebagai pemantau supaya penduduknya dapat dibimbing dengan sewajarnya terutama dalam hal pengurusan koperasi.
“Selain mengharapkan hasil jualan air kepada JANS, perancangan masa depan koperasi itu adalah untuk menjadi pembekal hasil laut yang akan dieksport ke Semenanjung dan Singapura,” tambah beliau.

