Oleh Prof. Madya Dr. Siti Sarah Omar
BATU PAHAT, 22 Oktober 2025 – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) melalui Johor Business School (JBS) dengan kerjasama SME Bank Malaysia Berhad, anak syarikat Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) telah menganjurkan program “Let’s Engage: Jaringan, Ilmu & Peluang” bertempat di Perpustakaan Tunku Tun Aminah, kampus induk.
Program itu menghimpunkan 30 usahawan yang terdiri daripada usahawan pelajar, alumni, syarikat terbitan universiti serta usahawan komuniti setempat di sekitar Batu Pahat, dengan objektif memperkukuh jaringan strategik antara universiti, agensi kerajaan dan sektor perbankan dalam memperkasakan daya saing perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan.
Program Let’s Engage bukan sekadar sesi perkongsian ilmu, tetapi merupakan platform kolaboratif yang memberi ruang kepada usahawan muda untuk memahami peluang pembiayaan, strategi pertumbuhan serta aplikasi teknologi dalam operasi perniagaan.
Menurut Profesor Madya Dr. Shafie Mohamed Zabri, Dekan JBS, inisiatif seperti itu membuktikan komitmen UTHM dalam memperkukuh ekosistem keusahawanan universiti dan komuniti.
“Usahawan tidak boleh bergerak sendirian, kerana mereka memerlukan sokongan teknikal, kewangan dan jaringan strategik.
“Melalui program seumpama ini, kita menyatukan kekuatan universiti dan rakan industri untuk membina jambatan peluang bagi usahawan yang sedang berkembang,” katanya.
Tambah beliau, JBS melihat usaha itu sebagai sebahagian daripada agenda universiti untuk memperkasa keusahawanan lestari, selaras dengan Pelan Pembangunan Keusahawanan Nasional (DKN2030) dan aspirasi Maju Johor 2030, yang menekankan transformasi ekonomi melalui inovasi dan pembangunan modal insan.
Turut hadir, wakil pengurusan SME Bank Malaysia, Rohaida Aris sebagai tanda sokongan dan komited dalam memperkasakan usahawan PKS melalui pembiayaan inklusif, pembangunan kapasiti dan adaptasi teknologi digital.
Statistik menunjukkan lebih 97 peratus daripada perniagaan berdaftar di Malaysia terdiri daripada PKS, yang menyumbang sekitar 38.4 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan menyediakan lebih 7.6 juta peluang pekerjaan.
Namun, menurut laporan SME Corp Malaysia (2024), hanya 15 hingga 20 peratus PKS yang benar-benar bersedia menghadapi transformasi digital dan cabaran pasaran global.
Sehubungan itu, program seperti Let’s Engage menjadi penting untuk meningkatkan literasi perniagaan dan kesediaan digital dalam kalangan usahawan pelajar dan komuniti universiti.
Sepanjang program tersebut, peserta diberi pendedahan melalui sesi “pocket talk” oleh pakar industri daripada SME Bank.
Antara topik yang dikongsikan termasuk: “Growing Together”, Adoption of Technology and AI for Micro Business dan ELSA Platform.
Para peserta turut berpeluang berkonsultasi secara individu dengan pegawai SME Bank, CEDAR, Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) dan Bank Simpanan Nasional (BSN) bagi membincangkan keperluan pembiayaan serta strategi perniagaan mereka.
Turut diadakan, sesi jaringan yang mempertemukan usahawan pelajar, alumni dan pihak industri dalam suasana santai dan terbuka.
“Program ini bukan sekadar simbol kerjasama antara UTHM dan SME Bank, tetapi juga menjadi bukti bahawa apabila universiti, agensi kerajaan dan sektor kewangan berganding bahu, usahawan kecil mampu digerakkan menjadi pemain besar dalam ekonomi masa depan Malaysia,” tambah Dr. Shafie.
