Dalam landskap pendidikan tinggi yang kian dinamik, institusi pengajian di Malaysia berhadapan dengan keperluan untuk menilai semula kesesuaian struktur dan program akademik sedia ada. Cadangan penstrukturan semula program akademik ini dilihat sebagai satu langkah strategik bagi menyelaras hala tuju universiti dengan keperluan pasaran kerja semasa serta agenda nasional, khususnya dalam memperkukuh Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET). Langkah ini bukan sekadar penyusunan semula organisasi, tetapi suatu usaha menyeluruh untuk memastikan universiti terus relevan, mampan dan berimpak dalam melahirkan graduan berkualiti tinggi.
Usaha penstrukturan semula ini juga seiring dengan aspirasi Kementerian Pendidikan Tinggi untuk memperkukuh penyelarasan antara universiti, industri dan komuniti. Bukan sahaja Rangkaian Universiti-universiti Teknikal Malaysia (MTUN), malahan banyak universiti di seluruh dunia turut melaksanakan proses penyusunan semula bagi menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi dan keperluan tenaga kerja baharu yang berasaskan ekonomi digital dan kemampanan. Ini termasuklah Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT). Justeru, langkah yang diambil oleh Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) boleh dilihat sebagai refleksi kepada keperluan semasa untuk menyesuaikan struktur akademik dengan arah pembangunan negara serta meningkatkan kecekapan institusi dalam menghadapi cabaran masa depan pendidikan tinggi.
Di UTHM, terdapat beberapa faktor yang mendorong ke arah penstrukturan semula. Cadangan ini timbul hasil pengamatan terhadap beberapa isu seperti pertindihan program antara fakulti, ketidakseimbangan bilangan pelajar mengikut bidang, serta keperluan mengoptimumkan sumber manusia dan kewangan. Pada masa yang sama, perubahan pesat dalam teknologi, automasi dan keperluan industri menuntut graduan yang bukan sahaja berkemahiran, malah lebih fleksibel dan mampu menyesuaikan diri dengan teknologi baharu. Justeru, usaha penyusunan semula program akademik dijangka dapat membantu UTHM memperkukuh sinergi antara akademia dan industri, sekali gus memperkasa pelaksanaan pendekatan TVET dan pembelajaran berasaskan pengalaman sebenar di tempat kerja.
Penstrukturan semula program akademik berpotensi memberi manfaat besar kepada universiti. Dengan penyusunan semula program dan jabatan, pentadbiran dapat menjadi lebih cekap, kos operasi dapat dikurangkan, dan pengajaran boleh diselaraskan dengan lebih sistematik. Kurikulum yang digabung atau diperkemas juga mungkin menjadi lebih relevan kepada keperluan industri, sekali gus meningkatkan kebolehpasaran graduan. Selain itu, struktur baharu berpeluang menarik lebih banyak kerjasama luar serta meningkatkan fokus universiti terhadap bidang teras seperti sains, kejuruteraan, teknologi dan TVET.
Dari perspektif penyelidikan, penstrukturan semula turut membuka ruang kepada pembentukan kluster penyelidikan yang lebih berfokus dan berimpak tinggi. Ia berpotensi besar untuk menggalakkan kolaborasi rentas disiplin yang sebelum ini mungkin dihadkan oleh sempadan fakulti atau jabatan. Kebarangkalian adalah tinggi bagi struktur sedia ada untuk beroperasi secara silo yang sering menjadi halangan kepada perkongsian sumber, idea dan kepakaran antara bidang. Melalui penyusunan semula yang lebih holistik, bidang-bidang yang saling melengkapi dapat digabungkan di bawah satu kluster akademik atau pusat penyelidikan, sekali gus memudahkan integrasi pengetahuan dan pembangunan penyelidikan bersama.
Walau bagaimanapun, sebarang proses penstrukturan turut mendatangkan implikasi dan risiko tersendiri terhadap aspek sumber manusia dan logistik, yang harus diberi perhatian sewajarnya. Perubahan organisasi lazimnya memberi kesan langsung kepada staf akademik dan pentadbiran yang perlu menyesuaikan diri dengan peranan baharu atau struktur pelaporan yang berbeza. Pelajar yang terlibat dalam program terkesan mungkin menghadapi kekeliruan dari segi penawaran kursus atau proses pengiktirafan. Selain itu, penyelarasan semula dokumen akreditasi serta penstrukturan sistem tadbir urus menuntut perancangan teliti, peruntukan kos yang mencukupi dan tempoh pelaksanaan yang realistik. Tanpa saluran komunikasi untuk mendapatkan maklumat yang tepat, proses penstrukturan boleh mewujudkan rasa khuatir dan kegusaran dalam kalangan warga universiti.
Dalam memastikan kejayaan pelaksanaan penstrukturan semula, komunikasi strategik dan kepimpinan berkesan memainkan peranan yang amat penting. Warga universiti perlu diberikan ruang untuk memahami justifikasi di sebalik perubahan yang dicadangkan serta saluran untuk menyuarakan pandangan. Pendekatan dua hala antara pengurusan dan staf bukan sahaja dapat mengurangkan kekeliruan, tetapi juga mencetuskan rasa kebersamaan terhadap agenda transformasi ini. Keterlibatan aktif warga universiti akan memastikan setiap keputusan yang dibuat lebih inklusif dan mencerminkan semangat bersama untuk membawa universiti ke tahap yang lebih tinggi.
Secara keseluruhannya, walaupun ia bukanlah satu jawapan akhir dan mutlak, namun cadangan penstrukturan semula program akademik di UTHM perlu dilihat sebagai sebahagian daripada usaha transformasi ke arah universiti yang lebih berdaya tahan, responsif dan berpaksikan keperluan negara. Bukan sekadar langkah pembaharuan, penstrukturan semula program akademik sewajarnya menjadi satu strategi jangka panjang untuk memperkukuh peranan UTHM sebagai institusi yang menyumbang secara signifikan kepada pembangunan modal insan berkemahiran tinggi. Insiatif ini adalah sejajar dengan aspirasi Malaysia sebagai negara maju yang berteraskan ilmu dan kemahiran. Sememangnya dengan perancangan yang berhikmah dan sistematik, diiringi dengan komunikasi yang bersifat inklusif, proses ini berpotensi membawa UTHM ke arah sistem pendidikan tinggi yang lebih lestari dan berorientasikan masa hadapan.

Prof. Ir. Ts. Dr. Mohd Irwan Juki
Penolong Naib Canselor (Digital dan Infrastruktur)
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

Dr. Syahira Mansur
Pensyarah Kanan
Fakulti Sains Gunaan Dan Teknologi
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)
