Penggunaan dron atau pesawat udara tanpa pemandu semakin berkembang pesat di seluruh dunia. Teknologi ini telah memberi nilai tambah di pelbagai sektor seperti sektor pembinaan, pertanian, keselamatan dan logistik. Selain itu, dron juga telah mula digunakan secara meluas dalam aktiviti pemantauan perimeter, penghantaran makanan dan penghantaran dokumen kerana sifatnya yang efisien dan pantas. Sektor pembinaan di Malaysia telah mula mengaplikasikan dron untuk tinjauan tapak, pengurusan projek dan pemantauan keselamatan. Malah, sektor pertanian juga telah menunjukkan peningkatan penggunaan dron dalam aktiviti penyemburan baja dan racun, pemetaan ladang, serta pemantauan kesihatan tanaman.
Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam pembentangan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) pada 30 Julai 2025 lalu ada menyatakan terdapat empat tonggak utama sebagai tiang seri RMK-13 iaitu Meningkatkan Kerencaman Ekonomi, Meningkatkan Mobiliti Sosial, Mempercepat Pelaksanaan Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam serta Mempertingkatkan Kesejahteraan Rakyat dan Kelestarian Alam Sekitar. Meningkatkan Kerencaman Ekonomi berhasrat membolehkan peralihan kepada ekonomi berasaskan penciptaan nilai dengan memupuk budaya mencipta, seiring dengan hasrat menjadikan Malaysia sebagai consumption powerhouse yang mengeluarkan produk dan perkhidmatan Made by Malaysia. Keutamaan pertama dari tonggak ini telah meletakkan sasaran Pelonjakan Pertumbuhan Industri HGHV dan Sektor Strategik Berimpak Tinggi. Sebanyak 18 strategi telah disusun bagi mencapai keutamaan tersebut dan strategi kesembilan mengariskan strategi mengembangkan industri pengangkutan udara. Strategi ini meletakkan antara fokusnya ialah pengembangan sektor mobiliti udara di Malaysia. Hasrat kerajaan ini sangat bertepatan dengan kehendak terkini dan pembinaan pelan hala tuju mobiliti udara akan merangsang dan melicinkan lagi pertumbuhan sektor ini. Strategi ini juga akan turut memperkasa dasar dan strategi sedia seperti Malaysia Aerospace Industry Blueprint 2030, Pelan Tindakan Teknologi Dron Malaysia 2022-2030 (MDTAP30) dan Pelan Induk Perindustrian Baru 2030.
Namun begitu, perkembangan pesat ini menuntut keperluan kepada satu ekosistem pengurusan trafik kapal udara tanpa pemandu yang berkesan. Antara peranan ekosistem ini ialah membantu melaksanakan proses kawal selia dan menguruskan proses terbang dron khususnya melibatkan beberapa jumlah dron secara serentak. Kejayaan pelaksanaan ekosistem ini sangat bergantung kepada wujudnya kerjasama pintar banyak pihak seperti komuniti masyarakat, penyelidik, pengguna dron, agensi kerajaan dan agensi swasta. Tanpa ekosistem yang berkesan, pelbagai isu boleh timbul seperti isu keselamatan awam, pencerobohan ruang udara persendirian, privasi masyarakat, risiko kemalangan di udara serta penyalahgunaan teknologi untuk tujuan yang tidak sah.
Bagi menangani isu-isu ini, beberapa cadangan penyelesaian perlu dirancang dan dilaksanakan dengan sistematik. Pertama, kesedaran awam mengenai penggunaan dron secara bertanggungjawab perlu dipertingkatkan. Ini boleh dicapai melalui kempen kesedaran teknologi kepada masyarakat, promosi pendidikan di sekolah dan latihan kepada pengendali dron. Kedua, penggubalan undang-undang dan garis panduan yang jelas perlu diwujudkan bagi mengawal selia operasi dron, termasuk pendaftaran dron, pendaftaran lesen pengendali dron. Selain itu, peraturan yang akan digubal juga perlu bersifat lebih mesra perekacipta dengan memberi beberapa nilai fleksibiliti pada aspek ruang udara, kos kelulusan terbang, kaedah operasi dron, pihak yang terlibat dengan proses kelulusan dan penguatkuasaan undang-undang. Ketiga, pembangunan sistem teknologi pengurusan trafik kapal udara tanpa pemandu yang menyeluruh dan bersepadu. Sistem ini bertujuan memantau pergerakan dron dan menguruskan laluan penerbangan dron bagi mengelakkan sebarang perkara yang tidak diingini. Teknologi ini perlu dibangunkan dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk Pihak Berkuasa Penerbangan Malaysia (CAAM), pasukan-pasukan penyelidik, pengendali dron dan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM).
Sebagai percubaan awal, pelaksanaan atau aplikasi mobilasi udara ini boleh dimulakan di sektor pertanian dan keselamatan sempadan. Dron telah terbukti meningkatkan produktiviti melalui precision agriculture dan pengurusan ladang yang lebih efisien. Sektor pertanian menyediakan ruang potensi yang sangat luas bahkan mempunyai penilaian risiko yang rendah dalam aspek privasi dan juga keselamatan masyarakat. Di samping itu, dalam sektor keselamatan, dron boleh digunakan untuk pemantauan perimeter di kawasan sempadan negara, membantu pasukan keselamatan dalam mengesan pencerobohan dan aktiviti jenayah rentas sempadan. Perkara ini perlu menjadi keutamaan yang besar oleh pihak kerajaan kerana melibatkan keselamatan dan kedaulatan negara.
Strategi pengembangan industri pengangkutan udara ini dijangka akan memberi impak yang positif khususnya kepada sektor pembinaan, logistik, pertanian dan keselamatan negara. Penggunaan dron akan membuka peluang pekerjaan baharu dalam pelbagai bidang seperti pengendali dron, mekanik dron dan pengurus trafik dron. Tambahan pula, rantaian pekerjaan yang berkaitan teknologi dron akan berkembang seterusnya menyumbang kepada pembangunan ekonomi digital dan inovasi teknologi negara. Kesimpulannya, penggunaan dron yang semakin meluas perlu disokong dengan ekosistem pengurusan trafik udara yang berkesan serta dasar kawal selia yang mantap. Dengan pendekatan yang strategik dan inklusif, Malaysia mampu menjadi peneraju dalam teknologi dron di rantau Asia Tenggara.

Ir. Dr. Ahmad Hamdan bin Ariffin
Ketua
Research Centre for Unmanned Vehicle (ReCUV)
Faculti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

Gs. Dr. Mohd Yazid bin Abu Sari
Penyelidik bersekutu
Research Centre for Unmanned Vehicle (ReCUV)
Faculti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)
