Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) terus unggul sebagai institusi yang bukan sahaja memacu kecemerlangan akademik khususnya dalam bidang Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET), malah turut membentuk pelajar yang seimbang, dinamik dan menyerlah dalam bidang kokurikulum serta sukan. Di sebalik pencapaian akademik yang membanggakan, wujud juga kisah kejayaan dalam arena sukan yang membentuk pelajar UTHM sebagai insan holistik dan seimbang. Antara pasukan yang menjadi lambang kecemerlangan ini ialah pasukan mendayung UTHM Barracuda, sebuah pasukan yang telah menempatkan nama universiti di persada sukan air tempatan dan antarabangsa.
Pasukan mendayung UTHM Barracuda mula ditubuhkan pada tahun 2008 dan sehingga kini berjaya mengekalkan momentum kecemerlangan mereka. Pasukan mendayung UTHM Barracuda bukan sahaja berfungsi sebagai pasukan sukan tetapi juga sebagai wadah untuk melatih pelajar dari segi disiplin, semangat kerja berpasukan, kepimpinan, serta pengurusan masa. Latihan intensif yang dijalankan melibatkan bukan sahaja aspek fizikal dan teknikal mendayung, tetapi turut merangkumi aspek mental, pemakanan dan kekuatan psikologi. Hal ini menjadikan Pasukan mendayung UTHM Barracuda lebih daripada sekadar pasukan sukan; ia adalah sebuah keluarga yang bersatu demi mencapai kejayaan bersama.
Sejak penubuhannya, Barracuda telah mengumpul deretan pencapaian yang mengharumkan nama UTHM. Pasukan ini pernah menjuarai pelbagai kejohanan tempatan seperti Karnival Sukan Air MASUM, Varsity Boat Race, Regatta Kebangsaan, serta Kejohanan Mendayung Indoor di peringkat kebangsaan. Manakala, di pentas antarabangsa, pasukan ini membuktikan kemampuan dengan penyertaan di Southeast Asean Rowing Championships, Asian Rowing Championships, Asian Rowing Virtual Indoor Championships, dan World Rowing Indoor Championships (WRICH), yang mana atlet UTHM berjaya mencatat ranking teratas Asia. Kejayaan ini bukan sahaja menunjukkan kemampuan fizikal atlet pasukan mendayung UTHM Barracuda, tetapi juga membuktikan keupayaan mereka bersaing di pentas dunia.
Tahun 2025 pula menjadi saksi kepada pencapaian baharu pasukan ini yang terus mendapat perhatian luas apabila menunjukkan prestasi yang memberangsangkan di Shenyang International Open Regatta dengan berjaya memperoleh satu pingat emas dan dua pingat perak dalam kategori Mixed Eight (Mix8+). Sementara itu, penyertaan mereka dalam Nanjing International Universities Rowing Open 2025 pada September turut dikongsikan secara aktif di media sosial dengan mesej penuh semangat: “Another proud moment for UTHM Barracuda as we row among the best universities in Asia!.” Pasukan mendayung UTHM Barracuda berjaya menempatkan tempat di ranking ke-4 daripada 16 pasukan mendayung universiti yang dijemput daripada seluruh dunia.
Kejayaan demi kejayaan yang diraih ini turut memberi impak besar kepada komuniti kampus dan universiti secara keseluruhan serta menjadi inspirasi kepada pelajar lain untuk menceburi bidang sukan sambil mengekalkan prestasi akademik yang baik. Pencapaian pasukan mendayung UTHM Barracuda turut meningkatkan imej UTHM di mata masyarakat dan dunia luar, menjadikan universiti ini bukan sahaja dikenali kerana pencapaian akademik tetapi juga kerana bakat sukan yang luar biasa. Bagi para atlet sendiri, penglibatan dalam pasukan ini telah membentuk mereka menjadi individu yang lebih berdaya tahan, berdisiplin dan mampu bekerja dalam kumpulan. Ciri-ciri ini merupakan suatu nilai tambah yang amat berguna apabila mereka melangkah ke alam kerjaya.
Namun begitu, perjalanan ke arah kecemerlangan ini bukanlah tanpa cabaran. Antara halangan yang dihadapi termasuklah kekangan sumber, keperluan fasiliti moden, serta keperluan menyeimbangkan masa antara akademik dan latihan. Walau bagaimanapun, cabaran ini hanya menguatkan tekad pasukan untuk terus mara ke hadapan. Dengan sokongan berterusan daripada Kementerikan Pengajian Tinggi (KPT) menerusi Pasukan Sukan Tumpuan (PST), pihak universiti menerusi Pusat Sukan dan Kebudayaan Universiti (PSKU), komuniti dan juga penaja. Pasukan mendayung UTHM Barracuda optimis bahawa mereka mampu melangkah lebih jauh, sama ada di pentas serantau mahupun global.
Secara keseluruhannya, kisah pasukan mendayung UTHM Barracuda adalah cerminan sebenar misi universiti dalam melahirkan graduan yang seimbang antara akademik dan kokurikulum. Mereka adalah bukti bahawa kecemerlangan akademik tidak pernah menjadi halangan untuk pelajar terus mengasah bakat dalam bidang lain. Dengan kejayaan yang berterusan, pasukan mendayung UTHM Barracuda telah meletakkan UTHM di peta dunia dalam sukan mendayung, sambil menjadi inspirasi kepada seluruh warga kampus untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan dalam setiap bidang yang diceburi. Pasukan mendayung UTHM Barracuda bukan sahaja sekadar sebuah pasukan sukan, tetapi simbol aspirasi, semangat dan kecemerlangan UTHM berusaha menyatukan akademik dan bakat mahasiswa dari semasa ke semasa.

Dr. Mohd Zulfadli Rozali
Pensyarah Kanan
Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)
