Oleh Dr. Siti Hidayah Abu Talib

ISKANDAR PUTERI – Bagi meneruskan usaha mengukuhkan jaringan penyelidikan di peringkat antarabangsa, Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina (FKAAB), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) sekali lagi menganjurkan Persidangan Antarabangsa Kejuruteraan Awam dan Alam Sekitar untuk Kelestarian (IConCEES 2025) kali ke-8 pada 29 dan 30 September lalu di Hotel Sunway Big Box, Iskandar Puteri, Johor.

Persidangan dwi-tahunan itu berlangsung secara hibrid, menggabungkan penyertaan fizikal dan maya, dengan jumlah keseluruhan 98 peserta dan pembentang dari dalam dan luar negara termasuk Jepun dan Indonesia.

Acara itu turut disokong oleh rakan strategik antarabangsa iaitu National Institute of Technology (KOSEN), Jepun dan University of Nottingham Malaysia.

Bertemakan Advancing Sustainability: Innovating an Eco-Centric Future With Engineering Excellence,” IConCEES 2025 menjadi pentas penting dalam menghimpunkan sarjana, penyelidik dan pengamal industri bagi membincangkan hala tuju inovasi kejuruteraan untuk masa depan yang lebih lestari.

Antara tokoh yang tampil dalam sesi ucaptama, Dato’ Ir. Dr. Mohd Asbi Othman, Profesor Adjung bagi Program Sarjana Muda Kejuruteraan Awam, FKAAB yang mengupas topik kelestarian dalam amalan kejuruteraan awam di Malaysia, Profesor Ts. Dr. Norzila Othman dari UTHM yang memperkenalkan potensi sisa pertanian sebagai bahan binaan mesra alam dan Prof. Ir. Dr. Sugiman dari Universitas Mataram yang menekankan cabaran ketahanan struktur dalam persekitaran jangka panjang.

Sesi Plenary Panel bertajuk Advancing Sustainability: Innovating an Eco-Centric Future With Engineering Excellence pula berjaya mencetuskan perbincangan bernas dengan penglibatan alumni UTHM, Datuk Ts. Dr. Sivakumar Chinnasamy bersama Dato’ Mohd Asbi dan Arkitek dan Pensyarah, Ar. Adrianta Aziz, yang berkongsi pandangan tentang peranan inovasi dalam membentuk dunia yang lebih mampan.

Kira-kira 100 kertas kerja penyelidikan telah dibentangkan, merangkumi bidang sumber asli dan pemuliharaan alam sekitar, pengurusan sisa dan pencemaran, infrastruktur lestari dan pengangkutan, serta inovasi bahan binaan dan teknologi hijau.

Setiap pembentangan membuka peluang kepada peserta untuk bertukar pandangan dan membina kolaborasi baharu dalam ekosistem penyelidikan global.

Semua kertas kerja yang dibentangkan akan diterbitkan dalam IOP Conference Series: Earth and Environmental Science, yang diindeks oleh Scopus, Web of Science (CPCI-S) dan Ei Compendex.

Ini membuktikan IConCEES terus mengekalkan reputasinya sebagai platform akademik bertaraf dunia.

Menurut Pengerusi Persidangan, Profesor Madya Dr. Nor Hazurina Othman, persediaan rapi bersama ahli jawatankuasa telah dilakukan hampir setahun untuk memastikan kelancaran penganjuran.

“Maklum balas positif yang diterima membuktikan IConCEES 2025 diterima baik oleh penyelidik dunia.

“Ia bukan sahaja medan ilmiah, malah jambatan kolaborasi yang memperkukuh peranan UTHM di persada antarabangsa,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Dekan (Penyelidikan, Pembangunan dan Penerbitan) FKAAB, Profesor Madya Dr. Rafidah Hamdan pula berkata, penganjuran persidangan ini adalah sebahagian daripada strategi universiti untuk menonjol di pentas global.

“UTHM mahu terus menjadi peneraju dalam bidang kejuruteraan awam dan alam sekitar, dan IConCEES adalah bukti bahawa penyelidik kita berani bersaing di gelanggang antarabangsa,” katanya.

Dengan penyertaan merentasi sempadan, perbincangan bernas serta hasil kajian inovatif yang dikongsi, IConCEES 2025 sekali lagi membuktikan UTHM sebagai pusat kecemerlangan akademik yang komited dalam memperjuangkan kelestarian untuk generasi akan datang.