Perkhidmatan Electric Train Service (ETS) merupakan antara inisiatif pengangkutan rel negara yang telah merevolusikan sistem mobiliti rakyat Malaysia, khususnya di Semenanjung. Diperkenalkan sebagai alternatif moden dan efisien kepada pengangkutan darat sedia ada, ETS menawarkan perkhidmatan kereta api laju yang selesa, pantas dan mesra alam. Seiring dengan aspirasi negara ke arah pembangunan mampan dan pengurangan pelepasan karbon, ETS dilihat sebagai pemacu utama dalam usaha memperkasakan pengangkutan awam berasaskan rel, sekali gus menyokong pertumbuhan ekonomi serta kesejahteraan rakyat.

ETS terus menjadi pilihan ramai penumpang kerana menawarkan perjalanan yang selesa, selamat dan bebas daripada kesesakan jalan raya. Namun, aspek ketepatan masa dan pengurusan operasi masih boleh dipertingkat agar perkhidmatan ini benar-benar setanding dengan sistem rel moden di negara maju.

Bagi merasai sendiri pengalaman menaiki ETS, penulis cuba menaiki ETS dari Stesen Kluang ke Kuala Lumpur, berlepas pada jam 9.33 pagi dengan jangkaan tiba sekitar 1.00 petang dengan kelajuan maksimum 140Km/j. Sepanjang perjalanan, tren melalui beberapa pekan utama termasuk Paloh, Bekok, Labis, Segamat, Gemas, Batang Melaka, Pulau Sebang, Seremban, Kajang, Bandar Tasik Selatan dan berakhir di KL Sentral.

Pemandangan yang menenangkan sepanjang perjalanan

Perjalanan empat jam itu menawarkan pemandangan indah dan mempesonakan, dari kehijauan ladang kelapa sawit dan kampung tradisional Johor, ke kawasan pertanian di Segamat dan Gemas, sehinggalah kepada bandar pesat di Negeri Sembilan dan Selangor. Bagi penumpang yang mencari ketenangan, pemandangan sawah, hutan kecil dan rumah desa di sepanjang rel memberikan pengalaman visual yang sukar didapati di lebuh raya.

ETS turut menyediakan pelbagai kemudahan untuk keselesaan pengguna termasuk tempat duduk khas untuk orang kurang upaya (OKU), kantin mini, surau, tandas OKU dan soket pengecas peranti serta skrin LED. Suasana kabin yang bersih serta penumpang yang berdisiplin menjadikan perjalanan terasa selamat dan menyenangkan.

Kelewatan kecil beri kesan besar kepada perancangan pengguna

Namun, ketika menghampiri Bandar Kajang, tren berhenti hampir 30 minit, diikuti satu lagi perhentian tidak dijadualkan selama 10 minit sebelum tiba di Bandar Tasik Selatan. Akibatnya, ETS tiba di KL Sentral lewat kira-kira 45 minit daripada jadual asal. Kelewatan kecil sebegini mungkin kelihatan tidak signifikan, tetapi boleh memberi kesan besar kepada penumpang yang mempunyai urusan rasmi di sekitar Bandaraya Kuala Lumpur, sambungan tren ke utara, atau jadual penerbangan yang ketat.

Ke arah perkhidmatan ETS yang lebih efisien

Sebagai sistem rel nasional yang menjadi kebanggaan negara, KTMB disaran memperkukuh kecekapan pengurusan operasi dan komunikasi masa nyata kepada penumpang. Satu langkah wajar ialah menambah baik aplikasi ETS dengan fungsi notifikasi kelewatan dan jangka masa ketibaan yang dikemas kini secara automatik.

Selain itu, penambahbaikan teknikal seperti penyelarasan jadual berasaskan analisis data prestasi, pelaksanaan sistem isyarat digital moden serta penyelenggaraan berkala rel dan tren amat penting bagi memastikan kelancaran operasi.

Pendekatan ‘predictive maintenance’ berasaskan kecerdasan buatan (AI) juga boleh diguna pakai untuk mengesan risiko kelewatan lebih awal. Dalam jangka panjang, pembangunan laluan berkembar dan peningkatan kapasiti tren perlu disegerakan bagi menampung pertambahan pengguna dan memastikan ETS kekal sebagai mod pengangkutan awam premium yang menepati standard antarabangsa.

Perjalanan ETS dari Kluang ke Kuala Lumpur tetap menjadi pengalaman yang menyenangkan dan membanggakan. Namun, dengan sedikit penambahbaikan dari aspek pengurusan masa dan teknologi, perkhidmatan ini mampu mencerminkan imej sistem rel Malaysia yang moden, efisien dan mesra pengguna.

 

 

Profesor Dr. Seow Ta Wee

Ketua, Pusat Infrastruktur dan Pengurusan Alam Sekitar Mampan,

Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

 

Rencana ini juga diterbitkan di:

1. Malaysia Gazette (malaysiagazette.com), 22 Oktober 2025: Ketepatan masa ETS Kluang–KL perlu ditambah baik 

Ketepatan masa ETS Kluang–KL perlu ditambah baik