Oleh Dr. Siti Hidayah Abu Talib, Ir. Dr. Muhammad Salleh Abustan, Ir. Dr. Mohd Ariff Ahmad Nazri

ISKANDAR PUTERI – Bagi melahirkan generasi muda yang berdaya saing, berwawasan serta prihatin terhadap kelestarian alam sekitar, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menganjurkan program Eco Leaders @ Iskandar Puteri 2025 pada 12 September lalu melibatkan penyertaan enam sekolah sekitar Iskandar Puteri.

Menurut pengarah program merangkap ketua geran, Dr. Siti Hidayah Abu Talib, kepimpinan hijau perlu dipupuk sejak di bangku sekolah agar generasi muda bukan sahaja celik sains dan inovasi, tetapi juga berani memimpin perubahan ke arah kelestarian.

“Inisiatif ini seiring dengan visi UTHM dalam melahirkan graduan holistik yang menjadi agen perubahan untuk masa depan lebih mampan serta aspirasi Majlis Bandaraya Iskandar Puteri iaitu menuju bandar rendah karbon,” katanya.

Seramai 60 pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mutiara Rini, SMK Taman Universiti, SMK Dato’ Usman Awang, SMK Taman Desa Skudai, SMK Damai Jaya dan SMK Taman Bukit Indah telah menyertai program tersebut.

Pemilihan peserta dibuat berdasarkan kriteria kepimpinan sejajar dengan hasrat Kementerian Pendidikan Malaysia untuk melahirkan pelajar seimbang dari aspek ilmu, sahsiah dan kepimpinan.

Sepanjang program, peserta mengikuti tiga modul utama yang dirangka khusus untuk memberi pendedahan holistik terhadap isu alam sekitar.

Modul pertama iaitu ‘Air Larian Permukaan’ dikendalikan oleh Ir. Dr. Muhammad Salleh Abustan melalui demonstrasi perbezaan aliran air pada permukaan dengan dan tanpa litupan tumbuhan.

Modul kedua iaitu ‘Penapis Air’ dibimbing oleh Ir. Ts. Dr. Mohd Ariff Ahmad Nazri, yang memberi peluang kepada peserta membina sistem penapisan air asas menggunakan bahan asas batu dan pasir serta ditambah dengan bahan-bahan mapan yang difikirkan bersesuaian oleh peserta.

Modul ketiga pula iaitu ‘Herbarium’ dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Landskap MBIP, yang mendedahkan peserta kepada kaedah pencerapaan dan pendokumentasian spesimen tumbuhan serta konsep ‘Sponge City’ sebagai pendekatan kelestarian bandar.

Program turut diserikan dengan sesi ‘Walkabout Presentation,’ yang mana peserta membentangkan hasil kreativiti dan refleksi daripada ketiga-tiga modul.

Sesi itu diadili oleh panel jemputan khas termasuk pengetua sekolah yang menilai kecerdikan, keyakinan serta kepimpinan para peserta.

Setiap kumpulan peserta turut dibimbing oleh fasilitator terlatih dalam kalangan pelajar pascasiswazah Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (FKAAB), UTHM bagi memastikan keberkesanan proses pembelajaran serta penyampaian modul secara lebih interaktif dan berkesan.

“Secara keseluruhannya, Eco Leaders @ Iskandar Puteri 2025 bukan sahaja memperkukuh ilmu teknikal dalam kalangan pelajar, malah menanam nilai kepimpinan, kerja berpasukan dan kepedulian terhadap alam sekitar.

“Usaha ini diyakini akan menjadi pemangkin kepada lahirnya generasi pemimpin hijau yang berwawasan dan mampu memacu masa depan kelestarian negara,” tambah Dr. Siti Hidayah.