BATU PAHAT, 30 Okt 2025 – Pertandingan Usahawan Inovasi Teknousahawan Electric Mobile Vehicle (E-MOVE) 2025 melabuhkan tirai di The Katerina Hotel dengan kejayaan melahirkan 30 syarikat pemula berasaskan teknologi pengangkutan elektrik.

Majlis penutup dirasmikan oleh Setiausaha Bahagian, Bahagian Perancangan Strategik, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Fazidah Mustafa.

Beliau dalam ucapannya menegaskan penganjuran E-MOVE adalah selari dengan Pelan Tindakan Keusahawanan IPT 2021–2025 dalam melahirkan graduan inovatif dan berdaya saing.

Program anjuran Pusat Teknousahawan Universiti (PTU) dengan kerjasama Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FKEE), Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTK) dan Pusat Pengajian Diploma (PPD), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) itu menghimpunkan penyertaan pelajar dari institut pengajian tinggi awam (IPTA), politeknik, kolej komuniti dan ADTEC.

Sebanyak 19 kumpulan dari universiti awam, enam dari Politeknik, dan masing-masing satu dari Kolej Komuniti dan ADTEC berjaya menonjolkan idea dalam bidang kenderaan elektrik (EV) dan teknologi hijau.

Penajaan industri turut memperkukuh ekosistem teknousahawan, antaranya HPN & Techdata System Sdn. Bhd. menaja wang tunai berjumlah RM3,000 dan Cytron Technologies Sdn. Bhd. menaja baucar hadiah utama dan anugerah khas.

Kumpulan Ez Proter dari Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) muncul juara, diikuti Fastlane Ventures dari Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dan Palma dari Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Manakala TuneX dan Compactra dari UTHM menerima Anugerah Khas (Emas).

Hadir sama memeriahkan majlis, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Ts. Dr. Abdul Rasid Abdul Razzaq, yang juga Menjalankan Fungsi Naib Canselor UTHM; Timbalan Setiausaha Bahagian, Bahagian Perancangan Strategik, KPT; Hazlan Abdul Hamid, Ketua Juri, Dr. Norazmi Alias merangkap Pengasas Bersama Katapult Asia Sdn. Bhd.; serta Pengarah PTU, Profesor Madya Sr. Dr. Nazirah Mohamad Abdullah.

“UTHM merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan program dan berharap kejayaan ini menjadi inspirasi kepada pelajar untuk meneroka bidang teknousahawan elektrik demi masa depan negara yang lebih hijau dan berinovasi,” kata Dr. Nazirah.