Oleh Dr. Mohd Hafizal Hanipah, Suriayati Baharom

KUALA LUMPUR – Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Dato’ Seri Azman Ibrahim telah dilantik sebagai ICON (Industry CEO@University) oleh Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) bagi memperkukuhkan lagi hubungan strategik universiti-industri.

Pelantikan itu juga bagi menyokong inisiatif Kementerian Pendidikan Tinggi yang ingin melahirkan graduan yang berdaya saing dan memenuhi keperluan industri.

Menurut Dekan Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina (FKAAB), Profesor Ir. Dr. Mohd Haziman Wan Ibrahim, pelantikan Dato’ Seri Azman bakal membuka ruang kerjasama UTHM dengan syarikat-syarikat berprestij, sekali gus memperkasakan lagi hubungan universiti–industri selaras dengan misi universiti dalam menghasilkan graduan yang relevan dengan keperluan industri.

“Sebagai ICON, beliau akan memberi input dan panduan strategik melalui syarahan, seminar dan bengkel kepakaran, serta menyokong penambahbaikan kurikulum, pembangunan graduan dan program pembangunan bakat, supaya mahasiswa bersedia menghadapi keperluan pasaran kerja dan inovasi semasa.

“Pelantikan ini juga dijangka memperluas jaringan kerjasama universiti dengan industri dan menyokong pelaksanaan program UTHM Prihatin, yang menekankan kebajikan serta kesejahteraan masyarakat,” katanya.

Aktiviti bersama ICON juga turut melibatkan perkongsian ilmu dan kepakaran melalui penganjuran kursus, program pemindahan ilmu, jemputan sebagai keynote speaker serta bengkel teknikal bersama warga fakulti.

Rentetan itu, satu kunjungan hormat delegasi UTHM ke pejabat beliau telah diadakan pada 8 Oktober 2025 lalu.

Kunjungan yang diketuai Dekan FKAAB itu turut disertai Prof. Madya Ts. Dr. Rafidah Hamdan, Timbalan Dekan Penyelidikan, Pembangunan dan Penerbitan; Ts. Dr. Syed Burhanuddin Hilmi Syed Mohamad, Ketua Jabatan Kejuruteraan Awam dan Norfaizah Ismail, Timbalan Pendaftar.

“Pelantikan ini diharap dapat memperluas jaringan strategik dalam pelbagai bidang penyelidikan, inovasi serta keusahawanan yang mampu memberi impak positif kepada kemajuan ekonomi negara dan daya saing global institusi pengajian tinggi,” tambah Prof. Haziman.