Impian belajar di menara gading bukanlah sesuatu perkara mudah untuk dicapai oleh semua pihak. Terutamanya bagi mereka yang tinggal di kawasan luar bandar. Jelas sekali, pendidikan tinggi merupakan nadi pembangunan bangsa dan penentu kemajuan sosioekonomi sesebuah negara. Dalam konteks Malaysia, usaha memperluas akses pendidikan tinggi kepada masyarakat luar bandar telah menjadi agenda nasional sejak sekian lama. Walaupun pelbagai dasar dan inisiatif telah dilaksanakan, persoalan tentang sejauh mana peluang anak luar bandar untuk menjejak kaki ke universiti masih menjadi isu yang perlu diberi perhatian serius. Kajian dan pemerhatian menunjukkan bahawa jurang antara pelajar bandar dan luar bandar masih wujud, bukan sahaja dari segi pencapaian akademik, tetapi juga dari aspek pendedahan, kesedaran dan keyakinan terhadap potensi diri.
Dua dekad lalu, impian untuk ke universiti bagi pelajar luar bandar dianggap terlalu tinggi. Kemudahan infrastruktur pendidikan, capaian internet dan sumber maklumat amat terhad. Namun, perubahan ketara telah berlaku dengan penubuhan universiti awam di luar kawasan metropolitan, antaranya Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) di Batu Pahat. Kewujudan institusi ini bukan sekadar memperluas peluang melanjutkan pelajaran, tetapi menjadi simbol transformasi pendidikan luar bandar. UTHM kini berperanan bukan hanya sebagai pusat pengajian tinggi, tetapi juga sebagai institusi yang menjalin hubungan rapat dengan komuniti setempat melalui pelbagai program pembangunan insan dan bimbingan akademik.
Pelbagai dasar kerajaan seperti Dasar Pendidikan Tinggi Negara dan Dasar TVET Negara 2030 turut membuka laluan alternatif kepada pelajar luar bandar untuk ke universiti melalui laluan teknikal dan vokasional. Namun, walaupun peluang semakin luas, cabaran sebenar yang dihadapi oleh pelajar luar bandar masih berkisar kepada isu sosioekonomi dan kurangnya pendedahan maklumat. Ramai pelajar luar bandar, khususnya dari beberapa kawasan seperti Felda Kahang Barat, Paloh, Parit Sulong dan Rengit, masih berhadapan dengan dilema antara minat untuk belajar dan tanggungjawab membantu keluarga. Kekangan kewangan sering menjadi penghalang utama untuk mereka menyambung pengajian walaupun memiliki kelayakan yang mencukupi.
Selain faktor kewangan, kekurangan maklumat dan bimbingan awal mengenai laluan pendidikan tinggi turut menyebabkan ramai pelajar berbakat terlepas peluang ke universiti. Di bandar, pelajar mudah mendapat akses kepada seminar kerjaya, bimbingan akademik, dan program universiti. Namun di beberapa kawasan seperti Bekok, Sri Medan atau Pontian Selatan, kebanyakan pelajar hanya mengetahui tentang universiti melalui media sosial atau cerita rakan-rakan. Hal ini menunjukkan bahawa jurang maklumat antara bandar dan luar bandar masih ketara dan perlu ditangani secara berstruktur.
Dalam konteks ini, UTHM muncul sebagai model universiti yang mengamalkan pendekatan mesra komuniti. Program seperti “Anak Desa ke Menara Gading (ADMG)” dilaksanakan bagi memberi peluang kepada pelajar sekolah luar bandar untuk merasai sendiri suasana universiti. Melalui program ini, pelajar dari sekolah seperti SMK Paloh, SMK Seri Gading dan SMK Rengit diberi peluang mengikuti bengkel sains, lawatan makmal kejuruteraan, serta sesi motivasi bersama alumni luar bandar yang kini berjaya sebagai jurutera, akauntan dan pendidik. Program ini memberi inspirasi dan keyakinan bahawa pelajar luar bandar juga berpotensi untuk cemerlang di universiti.
Selain itu, UTHM juga melaksanakan Program Mentor Desa, yang mana mahasiswa universiti bertindak sebagai mentor kepada pelajar sekolah luar bandar melalui sesi bimbingan akademik dan motivasi dalam talian. Pendekatan ini bukan sahaja memperkukuh jaringan hubungan antara universiti dan sekolah, malah membina semangat solidariti dan empati dalam kalangan mahasiswa. Dalam masa yang sama, Program STEM on Wheels atau makmal bergerak turut diperkenalkan untuk membawa teknologi ke kampung. Van yang dilengkapi dengan peralatan dron, percetakan 3D dan robotik digunakan untuk memberi pendedahan langsung kepada pelajar luar bandar di kawasan seperti Kahang, Parit Raja, dan Pontian Besar. Pendekatan ini membuktikan bahawa teknologi tidak harus hanya dinikmati oleh pelajar bandar, tetapi boleh dibawa terus ke desa untuk membuka minda anak muda luar bandar terhadap bidang sains dan kejuruteraan.
UTHM juga memperkenalkan Program Komuniti@Uni Madani yang menggalakkan pelajar luar bandar membangunkan idea inovatif bagi menyelesaikan masalah di kampung mereka sendiri. Misalnya, pelajar sekolah di Pontian telah berjaya menghasilkan penanaman Roselle menggunakan teknologi terkini dengan bimbingan pensyarah universiti dan wakil komuniti. Program sebegini bukan sahaja melatih kemahiran berfikir aras tinggi, tetapi juga menanam semangat keusahawanan dan tanggungjawab sosial. Sementara itu, inisiatif Alumni Desa Balik Akar turut mendapat sambutan apabila bekas pelajar luar bandar yang kini berjaya kembali ke sekolah asal mereka untuk berkongsi pengalaman dan memberi inspirasi kepada pelajar baharu.
Kesemua program ini menunjukkan bahawa pendekatan universiti perlu bergerak lebih jauh daripada sekadar mengajar dalam bilik kuliah. Universiti moden perlu menjadi jambatan yang menghubungkan ilmu dengan masyarakat, terutama di kawasan luar bandar yang masih kurang mendapat peluang. Untuk memastikan kejayaan jangka panjang, beberapa cadangan strategik boleh dipertimbangkan. Pertama, mewujudkan Pusat Informasi Pendidikan Tinggi Luar Bandar di setiap daerah bagi membantu pelajar mendapatkan khidmat nasihat akademik dan biasiswa. Kedua, memperkukuh Biasiswa Anak Johor (BAJ) dengan memberi keutamaan kepada pelajar dari keluarga berpendapatan rendah di luar bandar. Ketiga, memperluas kerjasama antara universiti, agensi kerajaan dan industri bagi membina laluan kerjaya yang lebih jelas kepada graduan luar bandar.
Kesimpulannya, peluang anak luar bandar untuk bergelar mahasiswa kini semakin terbuka, tetapi cabarannya masih banyak dan memerlukan komitmen berterusan daripada semua pihak. Sebagai anak luar bandar, jangan berdiam diri memeluk tubuh, namun usaha “memecahkan ruyung untuk mendapatkan sagunya” perlu dilakukan segera, UTHM telah membuktikan bahawa apabila universiti turun ke kawasan luar bandar, semangat dan impian anak kampung, estet dan felda untuk melanjutkan pelajaran kian meningkat. Pendidikan bukan hanya jalan keluar daripada kemiskinan, tetapi jalan pulang untuk membangunkan semula komuniti asal. Inilah simbol harapan baharu yang mana masa depan Malaysia akan lebih seimbang bukan hanya di kota, tetapi juga di setiap pelosok kawasan luar bandar yang kini mula bersinar dengan cahaya ilmu.

Profesor Madya Dr. Md. Asrul Nasid Masrom
Dekan Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

Prof. Dr. Shahruddin Mahzan @ Mohd Zin
Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa)
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)
Rencana ini juga diterbitkan di:
1. Malaysia Gazette (malaysiagazette.com), 30 Oktober 2025: Peluang anak luar bandar bergelar mahasiswa makin terbuka
