Pada 14 Oktober 2025, seorang pelajar tingkatan empat di sekolah di Bandar Utama, Petaling Jaya dilaporkan maut akibat ditikam oleh seorang remaja lain di dalam tandas sekolah. Insiden ini mencetuskan kebimbangan terhadap keselamatan sekolah di seluruh negara. Manakala kes buli dan keganasan pelajar pula dilaporkan meningkat. Pada tahun lalu sebanyak 7,681 kes dicatat bagi sekolah rendah dan menengah di seluruh negara.
Susulan insiden tersebut, perhatian kini tertumpu kepada Bajet Penyelenggaraan Sekolah 2026 yang baru dibentangkan pada 10 Oktober 2025 lalu oleh Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Memandangkan pelbagai kes yang terjadi kebelakangan ini melibatkan keselamatan pelajar di sekolah, Bajet 2026 harus memberi penekanan khusus terhadap aspek fasiliti keselamatan sekolah.
Menurut sumber Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), cadangan peruntukan sebanyak RM500 juta telah dikemukakan bagi menaik taraf fasiliti keselamatan dan penyelenggaraan sekolah seluruh negara. Langkah ini dilihat sebagai tindak balas segera terhadap insiden yang melibatkan pelajar lelaki tingkatan dua yang dipercayai membawa senjata tajam ke sekolah sebelum menikam mangsa di dalam kawasan sekolah.
Menurut data KPM, lebih 60% sekolah di Malaysia masih belum dilengkapi sistem keselamatan asas seperti CCTV dan pagar automatik. Justeru,RM200 juta diperuntukkan khusus untuk menaik taraf sistem keselamatan fizikal seperti pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) berdefinisi tinggi, sistem pintu keselamatan automatik dan kad akses pelajar. RM150 juta lagi akan digunakan untuk penyelenggaraan bangunan dan infrastruktur asas yang turut menyumbang kepada persekitaran pembelajaran yang selamat.
Selain itu, RM100 juta dicadangkan untuk memperkukuh sokongan psikologi dan emosi pelajar melalui penambahan kaunselor bertauliah di sekolah serta pelaksanaan program kesedaran kesihatan mental. RM50 juta pula diperuntukkan bagi latihan keselamatan kepada guru dan kakitangan sekolah agar mereka lebih bersedia menghadapi situasi kecemasan.
Para pendidik dan keselamatan sekolah menyambut baik cadangan tersebut, namun menegaskan bahawa pelaksanaan dan pemantauan yang telus adalah kunci kejayaan. Oleh itu, Belanjawan Penyelenggaraan Sekolah 2026 ini bukan sekadar angka dalam dokumen rasmi. Ia mesti diterjemahkan kepada tindakan konkrit di lapangan dan menjadikan sekolah bukan sahaja tempat untuk mendidik tetapi selamat untuk anak-anak kita.
Tragedi ini telah membuka mata banyak pihak bahawa sekolah bukan sahaja perlu selamat dari segi fizikal, tetapi juga menjadi ruang yang menyokong perkembangan emosi dan sosial pelajar. Belanjawan Madani 2026 perlu perkukuh aspek keselamatan demi sekolah yang lebih selamat. Ia dilihat sebagai peluang penting untuk membina semula kepercayaan masyarakat terhadap sistem pendidikan dan memastikan insiden seumpama ini tidak berulang.

Profesor Sr. Dr. Rozilah Kasim
Head of Project, Property & Facilities Management Services (PRoFMs)
Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)
