Perkembangan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan digitalisasi global semakin pesat dan memberi kesan langsung terhadap kehidupan manusia. Dunia digital berkembang dengan begitu pantas. Kehidupan seharian kini tidak dapat dipisahkan daripada telefon pintar, komputer riba, media sosial, permainan dalam talian dan pelbagai aplikasi berasaskan kecerdasan buatan (AI). Walaupun teknologi membawa banyak manfaat dari segi pendidikan, komunikasi dan hiburan, ia juga mencetuskan risiko yang semakin kompleks, terutamanya kepada generasi muda yang masih dalam proses pembentukan kognitif dan emosi. Bagi generasi muda, terutama kanak-kanak dan remaja, persekitaran digital bukan sahaja menjadi sumber hiburan dan pendidikan, malah turut mempengaruhi cara mereka berfikir, berinteraksi dan membentuk identiti diri. Namun, kemajuan ini juga datang dengan pelbagai risiko tersembunyi yang berpotensi menjejaskan perkembangan kognitif, emosi, dan sosial mereka.
Risiko ini bukan sahaja berbentuk fizikal seperti kerosakan mata atau gangguan tidur, malah turut menyentuh aspek psikologi, sosial, serta kemampuan berfikir secara kritis. Oleh itu, keperluan untuk mewujudkan satu piawaian bagi melindungi minda muda menjadi semakin mendesak.
Kategori bahaya digital dan kognitif
Bahaya digital boleh dikategorikan kepada beberapa aspek utama:
- Patofisiologi
Bahaya digital memberi kesan kepada tubuh dan minda. Fenomena seperti “technostress” (tekanan akibat teknologi), ketagihan media sosial dan gangguan tidur sering berlaku apabila remaja terlalu lama terdedah kepada skrin. Kajian tempatan menunjukkan ramai pelajar sekolah di Malaysia menghabiskan lebih enam jam sehari di hadapan telefon pintar, sekali gus meningkatkan risiko masalah tumpuan, kegelisahan dan keletihan mental. - Sumber teknikal
Bahaya bergantung kepada jenis peranti atau aplikasi yang digunakan. Telefon pintar, komputer riba atau konsol permainan misalnya, mempunyai kesan berbeza terhadap pengguna. Di Malaysia, isu keselamatan data juga menjadi perhatian kerana aplikasi tanpa kawalan yang sah boleh mendedahkan pengguna muda kepada risiko privasi atau penipuan siber. - Antara muka dan teknologi pengguna
Teknologi baharu seperti realiti maya (virtual reality – VR), realiti terimbuh(augmented reality – AR) dan robotik semakin digunakan dalam pendidikan serta hiburan. Walaupun berpotensi positif, ia juga boleh mengganggu persepsi deria, menyebabkan ketagihan atau menimbulkan kesukaran untuk membezakan realiti dengan simulasi maya. - Kandungan digital
Kandungan yang bersifat ganas, seksual atau ekstrem boleh memberi kesan mendalam terhadap emosi dan nilai moral anak muda. Tambahan pula, fenomena “misinformation” (maklumat palsu) dan “hyperinformation” (maklumat berlebihan) memperlihatkan bagaimana generasi kini mudah terdedah kepada maklumat yang tidak sahih. Di Malaysia, isu penularan berita palsu di media sosial telah terbukti mencetuskan kekeliruan masyarakat, terutamanya ketika kes pandemik Covid-19 dahulu. - Algoritma
Algoritma AI digunakan untuk mengawal pengalaman pengguna dalam talian, daripada video yang dicadangkan di YouTube hingga berita yang muncul di media sosial. Walau bagaimanapun, algoritma ini juga boleh memperkukuh gelembung maklumat atau dikenali sebagai “filter bubble”, menyebabkan remaja hanya terdedah kepada satu sudut pandangan dan menjejaskan kemampuan berfikir secara kritis. - Faktor pengubah suai
Risiko digital berbeza bergantung pada umur, jantina, budaya, status sosioekonomi dan tempoh pendedahan. Sebagai contoh, kanak-kanak sekolah rendah mungkin lebih mudah dipengaruhi kandungan animasi atau permainan, manakala remaja lebih terdedah kepada media sosial yang membentuk imej diri dan tekanan rakan sebaya.
Usaha mitigasi
Untuk menangani cabaran ini, dicadangkan supaya wujud gabungan antara langkah teknikal dan bukan teknikal. Dari sudut teknikal, pembangunan aplikasi kawalan masa skrin dan privasi perlu diberi keutamaan agar pengguna, khususnya kanak-kanak dan remaja, tidak terdedah secara berlebihan kepada peranti digital. Selain itu, penggunaan sistem AI adaptif boleh membantu mengurangkan beban kognitif dengan memberikan peringatan atau cadangan yang sesuai mengikut corak penggunaan. Penetapan piawaian keselamatan digital secara automatik juga penting bagi memastikan kanak-kanak dilindungi daripada kandungan yang berbahaya tanpa perlu kawalan manual yang rumit.
Sementara itu, langkah bukan teknikal turut memainkan peranan penting. Pendidikan literasi digital di sekolah wajar dilaksanakan secara menyeluruh supaya generasi muda lebih bijak menilai dan menggunakan maklumat dalam talian. Kempen kesedaran untuk ibu bapa dan masyarakat juga perlu diperhebat agar semua pihak memahami risiko yang wujud dalam dunia digital.
Selain itu, polisi kerajaan harus menekankan aspek perlindungan kanak-kanak, termasuk kawalan terhadap kandungan digital dan garis panduan yang lebih ketat bagi syarikat teknologi. Di Malaysia, usaha seperti program ‘Klik Dengan Bijak’ oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) merupakan contoh langkah proaktif, namun masih perlu diperkukuh dengan kerjasama industri teknologi dan pihak berkuasa pendidikan.
Cadangan sistem skor AI
Pembangunan sistem skor risiko berasaskan AI amat diperlukan dalam mendepani isu ini. Sistem ini berfungsi menilai tahap pendedahan individu terhadap bahaya digital berdasarkan corak penggunaan, umur dan latar belakang.
Sebagai contoh, jika seorang pelajar berusia 13 tahun didapati menghabiskan lebih lapan jam sehari dengan permainan video dan kerap melayari kandungan yang tidak sesuai, sistem akan memberi skor risiko tinggi. Hasilnya, cadangan khusus boleh diberikan seperti mengehadkan akses, memberi nasihat “digital detox” atau menyekat kandungan berbahaya.
Bagi Malaysia, sistem sebegini boleh diintegrasikan dalam aplikasi pembelajaran atau platform pendidikan nasional untuk membantu ibu bapa serta guru memantau kesihatan digital anak-anak.
Kekangan dan cabaran
Antara cabaran utama yang dihadapi ialah isu etika, kerana pemantauan data peribadi boleh menimbulkan kebimbangan besar terhadap privasi individu. Dari segi dasar, wujud jurang yang ketara apabila perkembangan teknologi bergerak jauh lebih pantas berbanding undang-undang serta garis panduan sedia ada, menjadikan penguatkuasaan sukar dilakukan. Tambahan pula, perbezaan budaya juga menjadi faktor penting kerana piawaian global tidak semestinya sesuai digunakan sepenuhnya di setiap negara memandangkan nilai, agama dan norma masyarakat adalah berbeza-beza. Satu lagi cabaran besar ialah kekurangan data berkaitan. Kajian longitudinal yang menyeluruh masih tidak mencukupi untuk benar-benar memahami kesan jangka panjang pendedahan digital terhadap perkembangan kognitif remaja.
Kesimpulannya, bahaya digital dan kognitif AI merupakan isu yang semakin mendesak. Generasi muda adalah kumpulan paling terdedah kerana minda mereka masih dalam proses perkembangan dan pembentukan. Oleh itu, usaha melindungi mereka tidak boleh ditangguhkan. Klasifikasi yang disarankan seiring dengan usaha mitigasi akan memberi asas penting untuk memahami risiko, namun pelaksanaan praktikal memerlukan kolaborasi erat antara kerajaan, pendidik, ibu bapa dan industri teknologi.
Di Malaysia, langkah seperti pendidikan literasi digital, penguatkuasaan undang-undang siber, dan kerjasama dengan penyedia teknologi antarabangsa perlu ditingkatkan. Pada masa yang sama, sistem skor risiko AI boleh dijadikan alat inovatif untuk pemantauan dan mitigasi.
Akhirnya, kemajuan teknologi seharusnya berjalan seiring dengan perlindungan nilai kemanusiaan dan kesejahteraan mental. Piawaian yang selamat perlu diwujudkan agar teknologi menjadi alat pembebasan, bukannya beban yang merencatkan potensi generasi akan datang.

Dr. Noor Zuraidin Mohd Safar
Pensyarah Kanan
Jabatan Keselamatan Maklumat dan Teknologi Web
Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)
