BATU PAHAT – Pusat Kaunseling Universiti (PCU), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) mengambil inisiatif dengan menubuhkan Ambassador PCU@Faculty (AC@F) bagi memperkukuh jaringan sokongan psikologi dan kebajikan pelajar di peringkat fakulti, sekali gus menyokong hasrat universiti untuk melahirkan mahasiswa yang prihatin dan berdaya empati tinggi.

AC@F diluncurkan secara rasmi ketika berlangsungnya Majlis Perasmian Bulan Kaunseling Kebangsaan Peringkat UTHM 2025 yang diadakan pada 8 Oktober lalu.

Peranan mereka adalah untuk mendekati mahasiswa, mendengar isu dan menjadi pendengar yang baik, selain bertindak sebagai penghubung antara pelajar dan pihak PCU dalam menyampaikan maklumat kepada mahasiswa.

PCU juga menyediakan beberapa siri ‘Meet and Greet’ bersama AC@F bagi memberi peluang kepada mereka untuk berkongsi isu-isu mahasiswa dan mendapatkan pandangan.

Menurut Pengarah Pusat Kaunseling Universiti, Dr. Noraishah Daud, pelaksanaan inisiatif itu merupakan langkah penting dalam memperkukuh kesejahteraan komuniti kampus secara inklusif.

“PCU percaya bahawa sokongan rakan sebaya mampu menjadi jambatan pertama yang membantu mahasiswa keluar daripada kesunyian, keresahan atau tekanan yang dihadapi.

“Ambassador PCU@Faculty bukan sahaja dilatih untuk mendengar tetapi juga untuk memahami dan membimbing dengan empati,” katanya.

Pelajar yang terpilih juga akan mendapat bimbingan berterusan daripada Pegawai Psikologi PCU agar mereka dapat melaksanakan tanggungjawab secara profesional dan beretika.

Penubuhan AC@F bukan sekadar simbolik tetapi menandakan kesungguhan universiti dalam memperkasa kesejahteraan mental dan sosial mahasiswa.