Oleh Prof. Madya Dr. Khairul Anuar Mohamad
BATU PAHAT – Seramai 16 bakal graduan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) mencipta sejarah apabila diterima bekerja di Syarikat Altek Medical Sdn. Bhd., Iskandar Puteri, Johor sekali gus membuktikan kemampuan universiti ini melahirkan graduan yang memenuhi tuntutan industri.
Daripada jumlah tersebut,13 orang telah berangkat ke China pada 19 Oktober lalu bagi mengikuti program latihan intensif di Altek Medical (Kunshan) Limited, China.
Kumpulan pertama itu terdiri daripada tujuh pelajar Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FKEE), bersama empat rakan mereka dari Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan (FPTP) dan dua dari Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FKMP).
Selepas melapor diri di Altek Medical, kesemua mereka dikehendaki menjalani kursus intensif selama sebulan di Kunshan, China, bagi meningkatkan kemahiran teknikal dan kefahaman terhadap budaya kerja antarabangsa.
Latihan itu berperanan mempersiapkan mereka untuk melaksanakan tugas secara efektif di Altek Medical, selain menjadi sebahagian daripada inisiatif syarikat dalam melatih tenaga kerja muda tempatan ke arah standard industri bertaraf global.
Kejayaan mereka bermula apabila menghadiri sesi temu duga bersama Altek Medical pada 19 Jun dan 10 Julai 2025 lalu di FKEE.
Temu duga tersebut diadakan sempena FKEE FEST 2025, yang merupakan sebuah program tahunan fakulti dan berperanan sebagai jambatan strategik menghubungkan pelajar dengan industri.
Sesi temu duga yang diketuai Profesor Madya Dr. Khairul Anuar Mohamad dan dibantu oleh Jawatankuasa Kebolehpasaran Graduan dan Alumni FKEE itu turut mendapat kerjasama daripada Dr. Mohamad Nazib Adon, FKEE; Ts. Dr. Hanani Abd Wahab, FKMP; Dr. Nor Kamariah Kamaruddin dan Dr. Rumaizah Ruslan, FPTP.
Menurut Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, FKEE, Prof. Madya Ir. Dr Nur Hanis Mohammad Radzi, inisiatif itu membuka ruang kepada pelajar tahun akhir untuk meneroka peluang kerjaya lebih awal melalui sesi temu duga secara terus bersama industri, sekali gus memperkukuh kebolehpasaran graduan UTHM.
Sementara itu, Dekan FKEE, Profesor Ts. Dr. Asmarashid Ponniran pula berkata, pencapaian itu mencerminkan keberkesanan program universiti yang berfokus kepada kolaborasi strategik bersama industri.
“Kejayaan ini bukan sahaja membanggakan universiti, malah membuktikan graduan FKEE UTHM memiliki keupayaan bersaing di peringkat antarabangsa,” katanya.


