Oleh Dr. Jamilia Mohd Marsin, Mohamad Adli Faezal Rosnan, Ahmad Istifaq Mohamed
BANGI – Pelajar Senibina Universiti Tun Husein Onn Malaysia (UTHM) mengukir nama di peringkat nasional apabila mendapat tempat bagi setiap kategori pertandingan yang dianjurkan semasa berlangsungnya Bengkel Pelajar Senibina PAM (Pertubuhan Arkitek Malaysia) ke-36 di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 23 hingga 28 Ogos 2025 lalu.
Kumpulan peserta dari UTHM yang diberi nama THOARWA telah disertai oleh 36 pelajar senibina, diketuai oleh pelajar tahun dua, Ahmad Istifaq Mohamed.
Waaupun bersaingan agak sengit, THOARWA telah menunjukkan persembahan luar biasa sekali gus berjaya meraih kedudukan dalam setiap kategori pertandingan.
Mereka meraih anugerah ‘Penghargaan Khas’ dalam acara Kain Rentang & Arca, Filem Watan, Tandu dan Persembahan, tempat ke-8 dalam Binaan Arca (Istallation) dan tempat ke-4 dalam Fesyen.
Turut memenangi kategori pensyarah, Dr.Jamilia dari Jabatan Senibina FKAAB yang dinobatkan sebagai MVP dalam pertandingan Lecturer’s Sketch.
Bengkel saban tahun itu dihadiri oleh pelajar senibina dari 17 institusi pengajian tinggi awam dan swasta dari seluruh Malaysia dengan membawa tema neo-MARTABAT.
Bengkel tahunan itu diadakan bertujuan mengasah bakat pelajar senibina, selain mengetengahkan identiti dan tradisi bangsa Malaysia melalui aktiviti seni dan seni bina.
Bengkel itu turut mengekalkan aspek kelestarian, yang mana para peserta digalakkan untuk menggunakan bahan guna semula dan boleh dikitar semula dalam setiap projek.
Pelbagai aktiviti yang mengasah bakat pelajar telah disusun seperti pertandingan, aktiviti latihan dalam kumpulan serta ceramah industri.
Kejayaan itu mampu menjadi pemangkin semangat kepada pelajar UTHM dan institusi pengajian tinggi lain untuk terus berkarya dan menyumbang kepada pembangunan seni bina negara.





