JOHOR BAHRU – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) terus mencipta sejarah apabila dua pasukan pelajarnya berjaya meraih anugerah utama dalam Pertandingan Akhir Digital Innovation Creativepreneur (DICE) 3.0 yang berlangsung di Persada Johor International Convention Centre, Johor Bahru pada 3 September 2025.

Kejayaan itu membuktikan keupayaan, kreativiti serta daya inovasi warga UTHM dalam bidang pembangunan digital, sekali gus mengharumkan lagi nama universiti di peringkat kebangsaan.

Pasukan Belacak di bawah bimbingan mentor Mohamad Fazirul Rafiq Afandi, muncul juara bagi kategori ‘Animasi Pendek.’

Kumpulan tersebut dianggotai oleh Amni Mad Islahii, Nur Aqilah Mohd Shafiee, Muhammad Denish Mat Selan dan Wan Salma Nasreen Husswan Hadi.

Menariknya, kemenangan itu berjaya mengekalkan rekod UTHM dalam mempertahankan gelaran juara bagi kategori sama untuk dua tahun berturut-turut.

Sementara itu, pasukan DreamVenture pula membuktikan kemampuan mereka dalam bidang teknologi baharu apabila diumumkan pemenang bagi kategori ‘Interaktif Media AR/VR.’

Dibimbing oleh Dr. Che Samihah Che Dalim, pasukan ini dianggotai oleh Nabil Nur Hakimi Abdul Rasid, Najim Lim Anas Lim, Zulhaffif Zulkifle dan Nur Alya Batrisyia Baharoddin.

Menurut Pengarah Pusat Teknousahawan Universiti (PTU), Profesor Madya Sr. Dr. Nazirah Mohamad Abdullah kejayaan itu turut didorong oleh inisiatif saringan awal dan sesi bimbingan intensif yang dilaksanakan bagi mempersiapkan pasukan bertanding dengan lebih berstrategi serta berdaya saing.

“UTHM amat berbangga dengan pencapaian dua pasukan ini kerana ia mencerminkan budaya kecemerlangan universiti dalam melahirkan graduan yang berdaya saing serta berfikiran inovatif,” katanya.