Oleh Prof. Madya Dr. Haryati Shafii, Prof. Madya Dr. Roshartini Omar

BATU PAHAT – Bagi menjalinkan kerjasama strategik dalam pelbagai bidang, Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan (FPTP), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Universitas Labuhanbatu (ULB), Indonesia pada 27 Ogos 2025 lalu bertempat di Perpustakaan Tunku Tun Aminah (PTTA), kampus induk.

Perjanjian kerjasama di bawah penyelarasan Pusat Kecemerlangan Infrastruktur Mampan dan Pengurusan Alam Sekitar (CSIEM) itu menjadi titik permulaan kepada kerjasama strategik antara kedua-dua institusi dalam pelbagai bidang, termasuk program mobiliti pelajar dan pensyarah, penerbitan ilmiah, penyelidikan bersama serta pembangunan komuniti dan alam sekitar.

UTHM diwakili oleh Dekan FPTP, Profesor Madya Dr. Md Asrul Nasid Masrom dan disaksikan oleh Timbalan Dekan Penyelidikan dan Pembangunan, Profesor Madya Ts. Dr. Narimah Kasim.

Manakala ULB pula diwakili oleh Rektor ULB, Profesor Madya Dr. Ade Parlaungan Nasution dan disaksikan oleh Dr. Marlina Siregar, Wakil Rektor 3 ULB.

Untuk rekod, ULB merupakan institusi pendidikan tinggi yang ditubuhkan hasil gabungan beberapa sekolah tinggi dan akademi di bawah naungan Yayasan Universitas Labuhan Batu (YULB) sejak tahun 1998.

ULB kini memiliki empat fakulti utama iaitu Fakulti Ekonomi dan Bisnis, Fakulti Sains dan Teknologi, Fakulti Ilmu Keguruan dan Ilmu Pendidikan, serta Fakulti Hukum selain satu program pascasiswazah.

Dengan pengalaman lebih 27 tahun, ULB terus komited dalam memperkasakan pendidikan tinggi di rantau tersebut.

Dr. Asrul dalam ucapannya berkata perjanjian kerjasama selama dua tahun itu dijangka memberi impak yang signifikan kepada UTHM, khususnya dalam aspek pembangunan pelajar, projek penyelidikan, penempatan industri bagi staf akademik, perundingan bersama serta pelaksanaan tanggungjawab sosial korporat (CSR) berkaitan projek alam sekitar.

“Kesemua inisiatif ini selari dengan aspirasi Global Technopreneur University 2030 yang telah digariskan oleh UTHM,” katanya.

Pada tarikh yang sama, buat julung kalinya CSIEM dengan kerjasama Institut Harta Tanah Malaysia (MyREI), UTHM dan ULB telah menganjurkan Seminar Antarabangsa Rantau Melayu (SARM25).

Seminar itu merupakan inisiatif perintis hasil daripada pemeteraian MoU antara kedua-dua institusi.

SARM25 telah mengangkat martabat Bahasa Melayu melalui tema “Kelestarian Rantau Melayu dalam Era Globalisasi,” dengan menzahirkan semangat serumpun antara Malaysia dan Indonesia.

Seminar itu berjaya menghimpunkan para penyelidik dari kedua-dua negara untuk membentangkan 18 kajian ilmiah yang merangkumi pelbagai bidang seperti kemampanan alam sekitar, pembinaan, harta tanah, pendidikan, undang-undang, budaya dan teknologi.

Menurut Pengarah SARM25, Profesor Ts. Dr. Seow Ta Wee, seminar itu menjadi platform penting bagi pensyarah dari FPTP, UTHM dan ULB untuk berdiskusi secara langsung, bertukar pandangan serta menjalin kerjasama dalam bidang penyelidikan, penerbitan dan program mobiliti akademik.

“Oleh itu, FPTP turut merancang untuk melaksanakan program mobiliti pelajar ke ULB pada Disember 2025 akan datang sebagai kesinambungan kepada kerjasama ini.

“SARM25 juga dirancang untuk diteruskan sebagai acara tahunan dan pada tahun hadapan, ULB akan menjadi tuan rumah bagi SARM26,” tambah beliau.