Ketika negara bersiap menyambut Hari Kebangsaan ke-68, isu buli di sekolah terus menjadi ancaman senyap yang menjejaskan kesejahteraan pelajar. Sudah sampai masanya rakyat bersatu untuk membebaskan sekolah daripada budaya penindasan yang menekan jiwa generasi muda.

Kemerdekaan bukan sekadar bebas daripada penjajahan fizikal, tetapi juga bebas daripada ketakutan, penindasan dan ketidakadilan yang masih wujud dalam sistem pendidikan. Sudah tiba masanya kita merdekakan sekolah daripada menjadi medan trauma dan ketakutan kepada pelajar. Semangat jiwa merdeka perlu diterjemahkan dalam tindakan yang berani dan bermakna.

Statistik Kementerian Pendidikan Malaysia menunjukkan sebanyak 8,820 kes buli dilaporkan di sekolah menengah sepanjang tahun 2023. Sehingga Oktober 2024, sebanyak 5,703 kes melibatkan 11,594 pelajar telah direkodkan. Jenis buli yang berlaku merangkumi fizikal, lisan, sosial dan siber.

Kajian turut mendedahkan bahawa 40 peratus pelajar mengaku pernah membuli, manakala 30 peratus pernah menjadi mangsa. Satu daripada tiga pelajar pernah dibuli secara dalam talian, namun lebih separuh memilih untuk berdiam diri.

Justeru itu, pengurusan fasiliti sekolah perlu dilihat sebagai barisan hadapan dalam membanteras budaya buli. Reka bentuk bangunan yang selamat, ruang sokongan emosi, sistem aduan mesra pelajar dan latihan berkala adalah antara pendekatan yang boleh diambil oleh pihak sekolah.

Antara cadangan yang dikemukakan termasuk:

  • Reka bentuk fizikal selamat: Kurangkan kawasan ‘blind spot’, pasang CCTV berdefinisi tinggi dan pastikan pencahayaan mencukupi.
  • Ruang sokongan emosi: Wujudkan bilik kaunseling mesra pelajar dan ruang ‘safe zone’ untuk perlindungan sementara.
  • Sistem aduan selamat: Sediakan kotak aduan rahsia, aplikasi digital dan sesi kaunseling terbuka.
  • Latihan dan kesedaran: Laksanakan bengkel anti-buli, latihan staf dan kempen visual yang memupuk empati.
  • Jawatankuasa anti-buli: Tubuhkan jawatankuasa khas melibatkan guru, pelajar, ibu bapa dan komuniti serta lantik pelajar sebagai duta anti-buli.

Fasiliti bukan sekadar bangunan, ia adalah perisai yang melindungi jiwa anak-anak kita. Sekolah yang dibina dengan semangat empati dan keberanian bukan sahaja menjadi tempat belajar, tetapi juga tempat berlindung dan dihormati.

Moga semangat kemerdekaan yang disambut pada 31 Ogos ini dijadikan pemangkin kepada transformasi sekolah sebagai institusi yang membina maruah dan keberanian pelajar. Sekolah bebas buli bukan lagi impian, ia adalah perjuangan yang mesti dimenangi.

 

 

Profesor Sr. Dr. Rozilah Kasim

Jabatan Pengurusan Harta Tanah

Fakulti Pengurusan Teknologi Dan Perniagaan

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

 

Rencana ini juga diterbitkan di:

1. Utusan Malaysia (muka surat: 18), 18 Oktober 2025: Tingkat fasiliti sekolah bantu cegah kes buli 

 

2. Utusan (utusan.com.my), 18 Oktober 2025; Tingkat fasiliti sekolah bantu cegah kes buli 

Tingkat fasiliti sekolah bantu cegah kes buli