Oleh Suriayati Baharom
BATU PAHAT, 25 September 2025 – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) terus mengukir nama di persada antarabangsa apabila tiga pensyarahnya berjaya tersenarai dalam kelompok 2% saintis terbaik dunia berdasarkan pangkalan data bibliometrik terkini.
Tiga pensyarah tersebut adalah Profesor Dr. Erween Abd Rahim dan Profesor Madya Dr. Ong Pauline dari Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FKMP) serta Profesor Madya Ts. Dr. Lee Te Chuan dari Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan (FPTP).
Senarai berprestij itu menilai lebih sejuta penyelidik dari seluruh dunia berdasarkan impak penerbitan, sitasi dan sumbangan kepada komuniti akademik global.
Pencapaian itu menjadi bukti keunggulan UTHM dalam bidang penyelidikan dan inovasi, sejajar dengan aspirasinya menjadi peneraju teknikal bertaraf dunia.
Naib Canselor UTHM, Profesor Dr. Mas Fawzi Mohd Ali turut menzahirkan penghargaan dan tahniah beliau kepada semua penyelidik yang diiktiraf dan menyifatkan pencapaian itu sebagai cerminan komitmen universiti dalam memperkukuh budaya penyelidikan berimpak tinggi.
“Ini bukti bahawa warga penyelidik UTHM bukan sahaja aktif dalam menghasilkan penemuan baharu, malah diiktiraf pada peringkat global atas sumbangan mereka,” katanya.
Tambah beliau, UTHM akan terus menyokong pembangunan penyelidikan melalui penyediaan fasiliti, geran penyelidikan, jaringan kolaborasi dan program pembangunan bakat.
Sementara itu, Prof. Erween, salah seorang pensyarah tersebut berkata beliau amat bersyukur kerana sekali lagi diiktiraf sebagai antara saintis terbaik dunia berdasarkan senarai “Stanford University Top 2% Scientists” bagi tahun 2025.
“Pengiktirafan yang disahkan oleh Elsevier dan Stanford University ini memberi peluang kepada saya untuk mengekalkan kedudukan selama lima tahun berturut-turut sejak 2021,” katanya.
Kejayaan itu juga selaras dengan aspirasi UTHM untuk menjadi antara universiti teknikal terunggul, yang menyumbang secara signifikan kepada agenda pembangunan negara melalui inovasi dan penyelidikan bertaraf dunia.
Berita ini juga diterbitkan di:
1. Utusan (utusan,com.my), 27 September 2025: Penyelidik UTHM raih pengiktirafan global, masuk senarai 2 peratus saintis
Penyelidik UTHM raih pengiktirafan global, masuk senarai 2 peratus saintis
2. Malaysia Gazette (malaysiagazette.com), 27 September 2025: Pensyarah UTHM tersenarai dalam kelompok dua peratus saintis terbaik dunia
Pensyarah UTHM tersenarai dalam kelompok dua peratus saintis terbaik dunia
