Oleh Nadia Nur Afiqah Ismail
BATU PAHAT – Pusat Pengajian Bahasa (PPB), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah melaksanakan satu program khidmat masyarakat “Misi Madani: Kelangsungan dan Cinta Negara” pada 28 Ogos 2025 lalu bagi memupuk semangat kemerdekaan dalam kalangan murid sekolah.
Program dengan kerjasama komuniti Sekolah Kebangsaan Sejagong (SKS) yang diketuai Guru Besar, Mohd Alias Bachok itu melibatkan penyertaan seramai 128 murid tahun satu hingga enam.
Mereka dibantu oleh enam fasilitator terdiri daripada staf PPB yang diketuai oleh Guru Bahasa, Affah Mohd Apandi.
Selaras dengan peranan Jabatan Bahasa Inggeris dan Linguistik, PPB, program itu menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar dalam melaksanakan aktiviti sepanjang program berlangsung.
Menurut Affah, pendekatan itu bertujuan untuk memberi pendedahan semula jadi kepada murid untuk menggunakan bahasa Inggeris dalam kehidupan seharian, sekali gus menyokong kemahiran bahasa mereka dalam konteks yang menyeronokkan.
Tambah beliau, pelbagai pengisian menarik telah dijalankan mengikut kesesuaian tahap murid termasuk ceramah interaktif, program reka cipta menggunakan bahan kitar semula, deklamasi puisi, lukisan puisi merdeka dan kuiz “Negaraku Madani.”
Pada yang sama, Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, Pusat Pengajian Bahasa, Profesor Madya Dr. Sarala @ Thulasi a/p Palpanadan turut menyampaikan ceramah interaktif bertajuk “Saya Sayang Bumi, Saya Cinta Negara.”
Sesi ceramah itu bertujuan memberi pendedahan awal kepada konsep kelestarian alam sekitar melalui aktiviti kitar semula.
Selain itu, pelajar juga dapat menyuntik semangat patriotisme dan jati diri melalui aktiviti bertemakan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia.
Setiap aktiviti yang dijalankan secara berkumpulan berupaya memupuk semangat kerjasama antara satu sama lain, selain dapat menerapkan konsep bertolak ansur dalam melakukan perbincangan dan membuat keputusan.
PPB berharap program kerjasama seumpama itu dapat diteruskan lagi pada masa akan datang dengan mengunakan pelbagai pendekatan menarik dalam setiap aktiviti, sekali gus menarik minat pelajar untuk bertutur dan meningkatkan keyakinan diri menggunakan bahasa Inggeris.



