“Jangan tahniah kepada saya, tahniah kepada penjawat awam kerana mereka telah berjasa kepada kita. Tapi tentunya ia datang dengan harapan, negara ini mesti terus dengan agenda reform.” – Anwar

 

Ungkapan Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Ke-20 (MAPPA XX) pada 15 Ogos 2025 bukan sekadar penghargaan, tetapi seruan untuk memikul tanggungjawab besar. Agenda reformasi sektor awam harus dilihat sebagai keperluan mendesak demi kelangsungan negara.

Penghargaan dan harapan

Perdana Menteri menzahirkan terima kasih serta mengangkat martabat penjawat awam yang diakui sebagai tulang belakang pentadbiran negara. Mereka memastikan dasar dilaksanakan dan kesejahteraan rakyat terjamin. Namun, penghargaan itu hadir bersama penegasan bahawa perkhidmatan awam mesti berubah dalam menyesuaikan diri dengan cabaran baharu dan meninggalkan cara kerja lama yang tidak lagi relevan.

Sinergi baharu perlu diwujudkan, merangkumi kumpulan Pelaksana, Pengurusan dan Profesional (P&P) serta Pengurusan Tertinggi (JUSA/Turus). Budaya negatif seperti pemisahan melampau antara gred sehingga mewujudkan perasaan “orang suruhan” dan “pemikir dasar” mesti dihapuskan. Penjawat awam perlu bergerak sebagai satu ekosistem, yang mana setiap gred mempunyai peranan penting dalam memastikan dasar kerajaan benar-benar memberi impak kepada rakyat. Inilah makna sebenar penghargaan yang disulam harapan. Penjawat awam bukan sekadar pewaris tradisi pentadbiran, tetapi agen perubahan yang memacu negara dalam era penuh ketidaktentuan.

Tuntutan agenda reformasi

Reformasi menuntut keberanian keluar daripada zon selesa, mengubah cara kerja konvensional dan berani mencuba kaedah baharu. Penjawat awam tidak lagi boleh berlindung di sebalik birokrasi. Mereka akan dipersoal, dipantau dan dipertanggungjawabkan. Rakyat semakin celik, dan sebarang kelemahan penyampaian akan segera dikesan.

Kenaikan pangkat secara time-based yang tidak mengambil kira prestasi sebenar boleh menjadi “duri dalam daging.” Ia melemahkan budaya prestasi, tidak menghargai kecemerlangan, mewujudkan jurang kompetensi serta melahirkan budaya selesa. Sistem ini akhirnya merosakkan mekanisme penilaian prestasi dan menyukarkan reformasi kerana hierarki senioriti mengatasi merit. Sistem time-based diperkenalkan untuk mengelakkan penjawat awam “tersangkut” terlalu lama dalam satu gred. Namun, dalam era reformasi, ia perlu diperkukuh dengan sistem kenaikan pangkat yang lebih dinamik, menggabungkan tempoh perkhidmatan dan prestasi sebenar.

Cabaran teknologi dan AI

Perdana Menteri turut menegaskan bahawa dunia kini dipacu teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI). Landskap global sedang berubah pantas dan sistem pentadbiran berasaskan kaedah lama tidak lagi memadai.

Pada 2023, Malaysia menduduki tangga ke-15 dunia dan ketiga ASEAN dalam ICT Development Index (IDI), melonjak daripada kedudukan ke-64 pada 2015. Kejayaan ini perlu diterjemahkan dengan meningkatkan kemahiran digital dalam kalangan penjawat awam.

Mereka mesti celik teknologi, berani belajar kemahiran baharu dan pantas menyesuaikan diri dengan transformasi digital. AI, data raya, automasi dan analitik digital kini menjadi instrumen penting dalam membuat keputusan dasar. Tanpa keberanian menguasai teknologi ini, reformasi perkhidmatan awam akan terbantut.

Reformasi digital bukan lagi pilihan, tetapi kewajipan. Penjawat awam mesti berani beradaptasi, menyingkirkan rasa takut mencuba, dan mendahului perubahan dalam penyediaan infrastruktur, pengawalseliaan serta pemudah cara untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang benar-benar terhubung.

Akauntabiliti dan kepercayaan rakyat

Era “government knows best” sudah berakhir. Segala keputusan kerajaan akan terus dipersoal dan dinilai. Justeru, setiap dasar perlu dibentangkan dengan jelas, dilaksanakan secara telus, dan keberkesanannya diukur secara berterusan.

Ini menuntut penjawat awam mahir berkomunikasi, bersedia memberi penjelasan serta berani menerima kritikan. Pendekatan ‘whole-of-nation’ yang berteraskan ‘data-driven & evidence-based policy’ mesti dijadikan pegangan.

Membina budaya kerja baharu

Seruan Perdana Menteri agar penjawat awam menukar cara kerja menyentuh soal budaya kerja itu sendiri. Budaya hierarki yang statik mesti diganti dengan budaya kolaborasi dan meraikan percambahan idea.

Budaya menunggu arahan perlu diganti dengan budaya proaktif. Budaya menolak kerja mesti diganti dengan budaya tanggungjawab, kesungguhan, kerja berpasukan dan integriti. Hanya dengan pembaharuan budaya ini, penjawat awam akan kekal relevan, berdaya saing dan dihormati. Reformasi sebenar hanya berlaku apabila perubahan menjadi nilai bersama, bukan sekadar arahan daripada atas.

Kesimpulannya ucapan Perdana Menteri adalah peringatan bahawa reformasi perkhidmatan awam mesti digerakkan segera. Ia bukan sekadar khabar gembira, tetapi mesej jelas bahawa Malaysia sedang menuju masa depan lebih mencabar dengan landskap global yang tidak menentu, teknologi yang mengubah gaya hidup, dan rakyat yang semakin menuntut ketelusan. Dalam keadaan ini, penjawat awam mesti tampil sebagai peneraju reformasi, memacu pembaharuan dan memastikan setiap dasar kerajaan benar-benar sampai kepada rakyat.

 

 

Dr. Lutfan Jaes

Dekan

Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)