Oleh Ts. Dr. Kamarul Aini Mohd.Sari
PAGOH – Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTK), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) sekali lagi mencatat sejarah apabila meraih empat daripada enam kemenangan bagi kategori Anugerah Kajian BIM (Akademik) ketika berlangsungnya Anugerah BIM JKR 2025 pada 11 September lalu.
Daripada 103 penyertaan seluruh Malaysia, empat pelajar FTK yang diselia Profesor Madya Ts. Dr. Peniel Ang Soon Ern berjaya menyerlahkan diri melalui usaha, keyakinan dan kesungguhan mereka di hadapan panel penilai yang terdiri daripada wakil Jabatan Kerja Raya (JKR), industri serta pensyarah institut pengajian tinggi.
Lebih membanggakan, semua tempat bagi kategori Pra-siswazah Anugerah Kajian BIM (Akademik) berjaya dibolot oleh pelajar FTK, manakala seorang pelajar Sarjana Teknologi Kejuruteraan turut meraih kejayaan bagi kategori Siswazah.
Kejayaan itu sekali gus mengulangi kecemerlangan FTK dalam bidang Building Information Modelling (BIM) yang telah dibuktikan sejak dua tahun lalu.
Majlis penyampaian anugerah yang berlangsung di Menara Kerja Raya, Ibu Pejabat JKR Malaysia telah disempurnakan oleh Ketua Pengarah Kerja Raya Malaysia, Datuk Wira Ir. Roslan Ismail.
Anugerah yang dianjurkan bersama Pertubuhan BIM Malaysia dengan kerjasama rakan-rakan strategik itu merupakan salah satu inisiatif JKR bagi mengiktiraf kepakaran, pengetahuan, kemahiran, kerja berpasukan serta komitmen pegawai JKR, pemain industri dan warga akademik dalam menjayakan pelaksanaan BIM dalam projek pembinaan.
Menurut Dekan FTK, Prof. Madya Ts. Dr. Jumadi Abdul Sukor, kejayaan itu membuktikan keupayaan pelajar FTK untuk bersaing di peringkat lebih tinggi melalui penguasaan aplikasi teknologi pembinaan terkini yang relevan dengan keperluan industri masa kini.
Pencapaian itu juga mencerminkan dedikasi serta bimbingan berterusan daripada pensyarah dan warga fakulti, khususnya Professional Industry Training Center (PiTC), FTK yang berperanan besar dalam memperkukuh kompetensi pelajar dalam bidang BIM.
“Kekuatan FTK ini juga mendapat sokongan padu daripada dua industri besar di Malaysia iaitu Bina Initiatives Sdn. Bhd. dan Hertford System Sdn. Bhd.
“Semoga jalinan kerjasama dan kejayaan ini menjadi pemangkin kepada kecemerlangan BIM UTHM pada masa hadapan,” katanya.
Senarai penerima Anugerah Kajian BIM (Akademik):
| Kategori Pra-Siswazah: | |
| Tempat Pertama: | Pui Shi Ying
(ECONBIMAR: Economic Feasibility Model For Bim-Ar Integration In The Construction Industry Of Malaysia) |
| Tempat Kedua:
|
Chelsea Inez Aran Kong
(SPACE-FLEX: Advancing Customizable Spatial Design Through Bim-Vr Digital Twin Platform) |
| Tempat Ketiga:
|
Muhammad Daniel Hafiz bin Abu Amrin
(VRDEMO: A Virtual Reality Game For Demolition Safety Training) |
| Kategori Siswazah: | |
| Tempat Kedua: | Nur Izzah binti Mohd Noh
(A Study On The Synergy Between 4d & 5d Bim-Lean Towards Lean Construction Practice In Malaysia) |



