BINTULU – Pasukan Tari Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) yang terdiri daripada 15 pelajar berjaya meraih pingat perak  ketika menyertai Pertandingan Citra Tari Nusantara 2025 (CTN2025) yang berlangsung di Universiti Putra Malaysia (UPM) Kampus Bintulu, Sarawak pada 20 hingga 28 September lalu.

Program anjuran bersama Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif & Seni Persembahan Sarawak, UPM Kampus Bintulu Sarawak, Majlis Kebudayaan Universiti-Universiti Malaysia (MAKUM) serta Konsortium Universiti Universitas Borneo (KUUB) itu disertai oleh 20 universiti awam seluruh Malaysia.

Menurut penasihat persembahan, Rosdi Abdullah penganjuran CTN2025 itu menjadi platform penting dalam membangunkan bakat pelajar, sekali gus memperkasa penglibatan mereka dalam bidang seni, budaya dan kreativiti di peringkat universiti.

“Kejayaan ini membuktikan pelajar bidang kejuruteraan dan teknikal di UTHM juga mampu bersaing dalam bidang seni dan kebudayaan, selain membantu mereka mengasah kemahiran insaniah masing-masing,” katanya.

Pasukan tari itu mempersembahkan tarian kreatif etnik bertajuk ‘Pae Bajamba’ dan tarian ‘Zapin Dayung’ yang dilatih oleh Rosdi dan Muhammad Azamuddin Hajijul.

Sementara itu, Pengarah Pusat Sukan dan Kebudayaan UTHM, Sr. Dr. Anuar Mohd Salleh, yang juga wakil MAKUM turut hadir pada hari pertandingan berlangsung bagi memberi sokongan kepada peserta UTHM yang bertanding.