Oleh Dr. Mohd Zulfadli Rozali, Suriayati Baharom
BATU PAHAT – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) terus memperkukuh reputasinya sebagai institusi pendidikan tinggi yang bukan sahaja unggul dalam bidang akademik, khususnya Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET), malah cemerlang dalam melahirkan mahasiswa holistik melalui penglibatan aktif dalam sukan dan kokurikulum.
Antara pasukan yang menjadi lambang kecemerlangan tersebut ialah Pasukan Mendayung UTHM Barracuda, yang sejak penubuhannya pada tahun 2008 telah mencipta pelbagai kejayaan di peringkat tempatan dan antarabangsa.
Pasukan itu bukan sahaja berfungsi sebagai entiti sukan, malah menjadi platform pembangunan sahsiah pelajar melalui latihan intensif yang merangkumi aspek fizikal, mental, pemakanan dan psikologi.
Naib Canselor UTHM, Profesor Dr. Mas Fawzi Mohd Ali menyifatkan kejayaan pasukan Barracuda sebagai manifestasi komitmen universiti dalam membentuk pelajar yang seimbang dan berdaya saing.
“Pasukan Barracuda bukan sekadar pasukan mendayung, ia adalah simbol kekuatan, disiplin dan semangat kerja berpasukan yang menjadi teras kepada pembentukan mahasiswa holistik yang diterapkan melalui Modul Jati Diri GRITT.
“Kejayaan mereka di pentas dunia membuktikan bahawa pelajar UTHM mampu bersaing bukan sahaja dalam akademik tetapi juga dalam bidang sukan bertaraf antarabangsa,” katanya.
Pasukan Barracuda telah menjuarai pelbagai kejohanan seperti Karnival Sukan Air MASUM, Varsity Boat Race dan Regatta Kebangsaan.
Di peringkat antarabangsa, mereka telah menyertai Southeast Asean Rowing Championships, Asian Rowing Championships serta World Rowing Indoor Championships (WRICH), dengan pencapaian membanggakan termasuk ranking teratas Asia.
Terkini, pasukan itu terus mendapat perhatian meluas apabila berjaya memperoleh satu pingat emas dan dua perak dalam kategori Mixed Eight (Mix8+) di Shenyang International Open Regatta sekali gus menempatkan diri di ranking keempat daripada 16 pasukan mendayung universiti dari seluruh dunia semasa Nanjing Invitational International Regatta 2025, China.
Kejayaan itu turut memberi impak besar kepada komuniti kampus dan menjadi inspirasi kepada pelajar lain untuk aktif dalam sukan sambil mengekalkan kecemerlangan akademik.
Tambah Prof. Mas Fawzi, pencapaian Barracuda sebelum ini membantu meningkatkan imej UTHM di mata masyarakat dan dunia luar.
“Pecapaian pasukan ini cerminan sebenar misi universiti dalam melahirkan graduan yang seimbang antara akademik dan kokurikulum.
“Mereka adalah bukti bahawa kecemerlangan akademik tidak pernah menjadi halangan untuk pelajar terus mengasah bakat dalam bidang lain, begitu juga sebaliknya,” tambah beliau.
Dengan semangat juang yang tinggi dan sokongan padu daripada pihak universiti, Pasukan Mendayung UTHM Barracuda akan terus berusaha mengharumkan nama negara di persada dunia dan menjadi inspirasi kepada generasi pelajar akan datang.




