Buli bukan sekadar masalah disiplin, buli lebih daripada nakal di sekolah. Ia mencederakan emosi, melemahkan keyakinan, dan menjejaskan perkembangan anak hingga dewasa. Isu buli bukan sekadar soal disiplin sekolah. Ia menyentuh aspek pendidikan, undang-undang dan kesihatan mental. Puluhan tahun kajian membuktikan buli merosakkan emosi, keyakinan, dan perkembangan sosial kanak-kanak. Buli berlaku apabila ada ketidakseimbangan kuasa — seorang mendominasi, seorang lagi tertekan. Menurut perspektif psikologi, ia berpunca daripada faktor luaran seperti pengaruh rakan sebaya atau desakan sosial, serta faktor dalaman seperti rasa rendah diri atau konflik emosi yang tidak terluah. Kajian Dan Olweus (1993; 2003), tokoh penting dalam penyelidikan buli, menunjukkan kesannya terhadap mangsa sangat serius, ini termasuklah trauma emosi mendalam yang boleh berlarutan sepanjang hayat.
Pengalaman awal membentuk otak dan emosi anak
Kesan buli paling besar apabila dialami pada usia awal, khususnya sebelum kanak-kanak mencapai usia lima tahun. Kajian neurosains dan psikologi perkembangan terkini menegaskan bahawa pengalaman awal, sama ada positif atau negatif meninggalkan kesan langsung terhadap struktur otak dan perkembangan emosi kanak-kanak.
Pada tahap ini, seni bina otak berada pada fasa perkembangan optimum. Otak terdiri daripada berbilion sambungan antara neuron di pelbagai bahagian, yang membolehkan komunikasi berlaku dengan sangat pantas antara neuron yang mempunyai fungsi khusus. Walaupun proses membina sambungan baharu dan menyingkirkan sambungan yang tidak digunakan berterusan sepanjang hayat, sambungan yang terbentuk pada peringkat awal menjadi asas, sama ada kukuh atau rapuh kepada sambungan yang terbentuk pada peringkat seterusnya.
Selain itu, kanak-kanak membina asas moral bukan hanya melalui arahan, tetapi juga melalui pemerhatian. Mereka meniru bahasa, tingkah laku, nilai dan norma daripada ibu bapa, guru serta masyarakat sekeliling.
Bila anak bersuara tanpa kata
Kita sering terlepas pandang bahawa kanak-kanak juga berdepan tekanan. Bezanya, mereka jarang mampu menzahirkan dengan kata-kata. Sebaliknya, mereka meluahkan melalui lukisan, contengan di dinding, nota ringkas atau kata-kata spontan seperti “mama tak sayang abang” “asyik adik saja” “semua orang jahat” atau “benci.” Ada juga yang menunjukkan tanda lain seperti tiba-tiba tidak mahu ke sekolah tanpa sebab jelas, sering menangis, atau melukis imej-imej agresif yang mencerminkan konflik batin mereka.
Menurut teori psikososial Erik Erikson, pengalaman awal sangat penting untuk membina kepercayaan, keyakinan dan inisiatif. Jika pengalaman positif, anak akan lebih yakin dan berdaya saing. Namun, pengalaman negatif seperti pengabaian, kawalan keterlaluan atau buli boleh merencatkan keyakinan mereka hingga ke alam dewasa.
Teladan lebih kuat daripada nasihat
William Damon (1988) dalam karya klasik beliau The Moral Child : Nurturing Children’s Natural Moral Growth memberikan penekanan bahawa anak-anak lebih banyak belajar daripada apa yang mereka lihat berbanding apa yang mereka dengar. Dengan kata lain, teladan lebih berkesan daripada seribu nasihat.
Seorang anak yang membesar dalam suasana penuh kasih sayang akan menyerap bahasa baik, tingkah laku empati dan nilai moral yang kukuh. Sebaliknya, anak yang sering terdedah kepada kata-kata negatif atau pengalaman kasar mungkin membawa luka emosi berpanjangan yang menjejaskan keyakinannya.
Cegah atau rawat? Peranan kita semua
Marilah kita menilai isu buli yang semakin hangat diperkatakan ini daripada dua sudut penting: intervensi, iaitu langkah rawatan selepas kejadian berlaku, dan pencegahan, iaitu usaha awal sebelum kejadian sempat berlaku.
Bagi intervensi, Kementerian Pendidikan Malaysia telah menyediakan beberapa saluran aduan seperti Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA), talian hotline buli KPM (03-88849325), WhatsApp 014-800 9325 dan email adubuli@moe.gov.my, manakala bagi kanak-kanak tadika dan pra-sekolah, boleh hubungi TalianKasih JKM 15999 atau WhatsApp 019-261 5999. Kempen anti-buli dan disiplin pemulihan turut digiatkan bagi menangani kes-kes sedia ada.
Namun begitu pencegahan awal jauh lebih penting. Ia bermula dengan kesedaran bahawa setiap pengalaman kecil dalam hidup anak adalah benih yang membentuk watak mereka. Guru dan ibu bapa perlu peka terhadap perkembangan fizikal, emosi, sosial, moral dan kognitif anak-anak.
Setiap perubahan kecil seperti contengan di buku, perubahan bahasa tubuh, atau ungkapan ringkas ini mungkin isyarat kepada konflik batin yang tidak terluah. Kajian menunjukkan pendekatan pembelajran dan aktiviti seperti membaca cerita bertema buli, menulis surat kepada watak, atau perbincangan kelas dapat membantu kanak-kanak memahami isu ini dan membina empati.
Membina generasi berani menolak buli
Mencegah buli bukanlah tugas guru atau sekolah semata-mata. Ia bermula sejak kecil di rumah, didokong oleh masyarakat, dan disokong oleh dasar pendidikan yang tegas.Anak-anak kita belajar lebih banyak daripada apa yang mereka lihat berbanding apa yang mereka dengar. Jika mereka disemai dengan kasih sayang, empati dan nilai moral, mereka akan membesar sebagai generasi yang yakin, berdaya tahan, dan berani menolak buli.
Setiap pelukan, kata-kata baik, dan teladan kecil yang kita tunjukkan hari ini bukan sahaja mengisi hati mereka, tetapi juga membina benteng yang melindungi mereka daripada luka emosi pada masa depan. Dari sinilah lahir generasi berani yang mampu menolak budaya buli dan menegakkan budaya hormat serta kemanusiaan!

Dr. Siti Noor Fauziah Abd Rahim
Jabatan Pendidikan Ikhtisas Pendidikan dan Siswazah
Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)
