Sambutan kemerdekaan yang gilang-gemilang telah berlalu dengan penuh warna-warni semangat patriotik di segenap pelosok tanah air. Jalur Gemilang yang berkibar megah menjadi saksi cinta mendalam rakyat terhadap negara. Perarakan kemerdekaan yang tersusun rapi menambahkan lagi aura kebanggaan dan perpaduan. Kini, rakyat Malaysia sedang menanti saat tiba sambutan hari Malaysia yang bakal menjelang pada 16 September tidak lama lagi. Hakikatnya, kita telah melihat bahawa semangat cintakan tanah air perlu dipupuk sejak di bangku tadika, diperkukuh di sekolah rendah dan terus disemai hingga ke peringkat menengah. Semarak sambutan yang kian rancak dalam kalangan kanak-kanak dan belia membuktikan bahawa generasi muda semakin memahami erti kemerdekaan dan peranan mereka sebagai pewaris negara.

Bagi kanak-kanak tadika, aktiviti yang ceria dan interaktif sangat penting dan sinonim buat si cilik. Pertandingan mewarna Jalur Gemilang memperkenalkan mereka kepada simbol negara dengan cara yang menyeronokkan. Selain itu, nyanyian lagu patriotik seperti ‘Tanggal 31’ dan ‘Saya Anak Malaysia’  juga memupuk rasa cinta tanah air sejak kecil. Muzik dan nyanyian tersebut dilihat mampu menghiburkan mereka secara tidak langsung memahat ingatan mereka tentang tarikh sambutan kemerdekaan yang telah berlalu. Aktiviti kraf seperti membuat arca kemerdekaan bertemakan warna bendera juga membantu mereka mengasah kreativiti dan memahami makna kemerdekaan selain mengenal bangunan-bangunan mercu kebanggaan negara. Sememangnya jika dilihat para ibu bapa paling bersemangat untuk menyiapkannya, namun dengan usaha tersebut secara tidak langsung sebenarnya memberikan impak positif kepada kanak-kanak. Mereka dilihat teruja untuk membantu, omelan kecil bertanya tentang arca yang dibina sekali gus menambah pengetahuan mereka dan seisi keluarga.

Jika di tadika anak-anak diraikan dengan keceriaan, berbeza pula di sekolah rendah. Mereka dapat menimba ilmu dengan lebih mendalam melalui kuiz kemerdekaan, pertandingan sajak, dan juga aktiviti melukis poster bertemakan “Malaysia Tercinta.” Ini bukan sahaja menambah pengetahuan, tetapi juga mengukuhkan semangat perpaduan. Gotong-royong di sekolah juga menyemai nilai kerjasama dan disiplin, yang merupakan aspek penting dalam membina jati diri bangsa. Kita bukan hanya memperkenalkan tentang erti kemerdekaan dan kenegaraan kepada mereka, bahkan mereka turut didedahkan dengan nilai-nilai murni dan tanggungjawab aktiviti seharian di rumah. Pertandingan pakaian kemerdekaan turut diperagakan. Bermacam-macam seni kreatif yang menggunakan warna bertemakan kemerdekaan muncul ketika itu. Ada yang dilihat turut meletakkan 13 bendera negeri-negeri di Malaysia sebagai hiasan sanggul lintang di kepala secara tidak langsung menambah pengetahuan rakan-rakan tentang bendera-bendera tersebut. Namun, pelajar-pelajar perlu sentiasa diingatkan untuk sentiasa menghormati kesemua bendera tersebut supaya ia tidak dihias melanggar tatacara yang telah ditetapkan. Penghormatan yang tinggi terhadap Jalur Gemilang dan bendera negeri-negeri di Malaysia mesti dikekalkan dalam semangat patriotisme yang dipupuk dalam diri mereka.

Apabila meningkat ke sekolah menengah, aktiviti yang lebih mencabar diperkenalkan. Antara aktiviti yang dilihat mendapat sambutan golongan belia seperti mencipta poster dan kandungan interaktif bertemakan kemerdekaan melalui media sosial, debat, pidato dan forum remaja dapat melatih mereka berfikir secara kritis mengenai isu-isu negara. Pementasan teater sejarah pula membawa mereka menelusuri perjuangan tokoh kemerdekaan dengan lebih dekat. Karnival kemerdekaan yang melibatkan pelbagai kaum juga memupuk perpaduan, manakala pertandingan inovasi bertemakan patriotik menggalakkan kreativiti dan pemikiran kritis. Tayangan filem kemerdekaan dan berkaitan perjuangan negara turut dilihat mendapat sambutan bukan sahaja pelajar, juga ahli keluarga. Seisi keluarga meluangkan masa membentang tikar duduk bersama-sama di tengah padang sekolah untuk menonton tayangan filem kemerdekaan merupakan detik yang sangat bermakna buat mereka.

Aktiviti kemerdekaan dan patriotisme ini bukan hanya untuk anak-anak, malah ibu bapa juga wajar turut serta. Kehadiran dan galakan anda akan memberi kekuatan moral yang besar kepada mereka dalam menjiwai erti cinta akan tanah air. Namun, janganlah terlalu memaksa diri hingga menjadi beban, sebaliknya lakukanlah sekadar yang termampu. Apa yang lebih penting ialah keikhlasan dan kesungguhan. Kenangan kecil inilah yang akan terus segar dalam ingatan anak-anak apabila mereka dewasa kelak. Ia menjadi bukti bahawa semangat merdeka bukan hanya diwarisi, tetapi juga dihidupkan melalui pengalaman bersama keluarga dan sekolah. Selain itu, melalui langkah sederhana ini, anak-anak akan merasakan bahawa semangat patriotisme itu wujud dalam keluarga, dan bersama-sama kita menjadikan sambutan kemerdekaan pada masa akan datang lebih hidup serta bermakna buat semua.

 

Puan Nurulisyazila Othaman

Guru Bahasa

Jabatan Bahasa Antarabangsa

Pusat Pengajian Bahasa

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

 

Rencana ini juga diterbitkan di:

1. Malaysia Gazette (malaysiagazette.com), 9 September 2025: Memori semarak patriotik 

Memori semarak patriotik