Generasi Z hari ini sering digambarkan sebagai generasi yang celik teknologi, lantang bersuara, dan berani mencabar norma. Mereka membesar dalam dunia yang serba pantas, diwarnai kemajuan digital, tekanan ekonomi, persaingan global dan perubahan sosial yang mendalam. Namun dalam keterujaan kita terhadap potensi besar generasi ini, jarang sekali kita menilai secara kritikal arah sebenar kepimpinan yang sedang terbentuk dalam diri mereka. Adakah Gen Z benar-benar bersedia menggalas peranan sebagai pemimpin masa hadapan, atau mereka sedang terperangkap dalam dunia ‘pengaruh segera’ yang secara halus merapuhkan nilai kepimpinan sebenar? Persoalannya kini, apakah kesimpulan jujur yang boleh kita tarik daripada naratif remaja sebagai pemimpin masa depan negara?
Di Malaysia, Gen Z sering dilihat sebagai pelapis harapan negara. Mereka beraspirasi untuk berjaya awal, menjadi usahawan, mendahului inovasi, memimpin gerakan sosial dan mencipta perubahan bermakna. Namun begitu, tidak dinafikan wujud keluhan yang mengatakan generasi ini mudah melatah, sukar ditegur, mahu kerja ringan tetapi gaji tinggi, dan terlalu taksub dengan budaya viral. Ia bukanlah label kosong, kerana pemerhatian di ruang kerja dan pendidikan menunjukkan bahawa sebahagian anak muda memang cepat kecewa bila berdepan tekanan atau kegagalan, dan cenderung mengukur kejayaan berdasarkan pengaruh, bukan usaha dan proses.
Tinjauan Randstad Malaysia (2022 & 2025) mengesahkan realiti sebanyak 29% Gen Z mengaku telah menukar pekerjaan demi keseimbangan hidup, dan 35.2% merancang untuk bertukar kerja dalam tempoh enam bulan. Kajian Deloitte (2023) pula mendapati lebih 60% Gen Z di Malaysia hidup dari gaji ke gaji, manakala ramai antara mereka terpaksa mengambil pekerjaan sampingan untuk menampung kos sara hidup. Tekanan sebegini turut menyumbang kepada tahap kesihatan mental yang membimbangkan yang mana 42% melaporkan tekanan harian dan lebih 60% mengalami burnout. Dalam situasi ini, jelas bahawa generasi ini bukan tidak mahu bekerja, tetapi mereka berdepan dunia yang menuntut terlalu banyak dalam masa yang terlalu singkat.
Fenomena ini bukan hanya tempatan. Di Thailand, Indonesia, dan Filipina, Gen Z semakin berani menyuarakan keadilan, reformasi dan hak asasi manusia. Namun, aspirasi yang tinggi ini sering tidak disertai dengan kematangan struktur, kefahaman nilai, atau visi jangka panjang. Laporan Pew Research (2023) menunjukkan bahawa Gen Z di Amerika Syarikat lebih banyak menjadikan selebriti dan tokoh digital sebagai idola, berbanding negarawan atau intelektual. Corak ini turut menular di rantau ASEAN, termasuk Malaysia, dan menimbulkan persoalan besar, siapa yang sedang membentuk nilai kepimpinan dalam diri mereka?
Jika ruang awam kita terus dikuasai oleh tokoh-tokoh yang lebih mementingkan kuasa daripada amanah, pengaruh daripada integriti, maka tidak hairanlah generasi muda lebih tertarik kepada bentuk kejayaan yang tampak luarannya sahaja. Kita tidak boleh menyalahkan mereka sepenuhnya kerana dunia hari ini adalah dunia yang kita iaitu generasi sebelumnya, ciptakan. Kepimpinan hari ini, sama ada dalam politik, pendidikan, organisasi sosial mahupun korporat, tidak boleh sekadar mengarah dan mengurus. Mereka perlu tampil sebagai pembimbing nilai, individu yang hidup dengan prinsip, bukan hanya menyampaikannya.
Anak muda hari ini lebih menghargai pemimpin yang menunjukkan jalan, bukan sekadar menyuruh. Bagi mereka, pemimpin yang sanggup turun padang, menyelami cabaran sebenar, dan berjuang bersama lebih dipercayai daripada pemimpin yang sekadar mempamerkan kehebatan di media. Inilah semangat “walk the talk” yang menjadi teras kepada kepimpinan sejati. Bayangkan seorang pemimpin yang bukan sahaja merangka strategi dari bilik mesyuarat, tetapi juga turun ke lapangan bersama staf, menyapa pelanggan, memahami tekanan kerja dan merasai cabaran sebenar. Itulah kepimpinan yang berakar pada realiti.
Dalam era di mana persepsi sering mengatasi realiti, nilai seperti integriti, tanggungjawab, empati dan kejujuran perlu ditegakkan semula sebagai asas kepimpinan sebenar. Gen Z sangat responsif terhadap pemimpin yang jujur, tegas dalam nilai, dan konsisten dalam tindakan. Mereka menyambut kejujuran, walau pahit, lebih daripada kepura-puraan yang dibalut dengan gaya. Justeru, kita perlu menanam semula nilai ini dalam budaya kerja, sistem pendidikan, dan ruang sosial yang membentuk mereka. Kepimpinan sejati bukan hanya memimpin orang lain tetapi bermula dengan kemampuan memimpin diri sendiri.
Memetik sedikit intipati dalam Teori Kepimpinan Transformasi menekankan bahawa pemimpin sejati ialah mereka yang mampu membakar semangat dan membina nilai dalam kalangan pengikutnya, bukan sekadar menghasilkan keputusan. Sementara pendekatan Kepimpinan Berkhidmat (servant leadership) mengajak pemimpin untuk meletakkan orang lain sebagai keutamaan yang mana mereka memimpin dengan empati, mendengar dengan ikhlas, dan bertindak dengan nilai. Nilai-nilai inilah yang perlu dihidupkan kembali untuk mempersiapkan Gen Z menjadi pemimpin masa hadapan yang bukan sahaja cemerlang dari segi gaya, tetapi juga kukuh dari segi jiwa.
Untuk itu, kita perlu membina ekosistem kepimpinan yang lebih telus dan membina. Ruang penglibatan dalam keputusan harus dibuka, bukan sekadar simbolik. Program latihan dan pementoran perlu membawa mereka mendekati tokoh sebenar iaitu negarawan, pemikir, dan pejuang nilai dan bukan hanya ikon media sosial. Dalam pendidikan pula, kejayaan tidak boleh lagi diukur sekadar dengan pencapaian akademik, tetapi perlu ditanamkan juga nilai luhur, pemikiran kritikal dan semangat dan jati diri untuk berkhidmat.
Masa depan negara terletak pada tangan anak muda hari ini, dan masa depan mereka terletak pada jenis kepimpinan yang ditunjukkan hari ini. Sekiranya pemimpin hari ini membiarkan mereka hanyut mencari arah dalam dunia yang bising dan tidak konsisten, kita sedang mempertaruhkan masa depan kepada kepimpinan yang mungkin bersinar di luar, tetapi rapuh di dalam. Kepimpinan bukan sekadar naik ke atas, tetapi membawa nilai bersama ke atas.
Anak muda Malaysia bukan tidak mampu memimpin. Mereka hanya perlu dibimbing untuk mengenal makna sebenar kepimpinan iaitu tanggungjawab, bukan keistimewaan; amanah, bukan kemegahan. Dan tugas kita hari ini ialah menjadi role model sebenar, bukan sekadar pengkritik dari jauh. Kerana pemimpin masa depan hanya dapat dilahirkan daripada teladan yang hidup hari ini.

Profesor Madya Dr. Khairunesa Isa
Jabatan Sains Sosial
Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)
Rencana ini juga diterbitkan di:
1. Utusan Malaysia (muka surat: 31), 6 September 2025: Gen Z: Jangan jadi mangsa budaya segera

2. Utusan (utusan.com.my), 6 September 2025: Gen Z: Jangan jadi mangsa budaya segera
