Oleh Dr. Siti Samahani Suradi

KUALA LUMPUR – Seramai 30 pelajar baharu Pusat Pengajian Diploma, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menyertai laungan penuh semangat “GAZA BANGKIT” melalui program ‘Malaysiaku Bersama Gaza’ bersempena pelancaran ‘SUMUD Nusantara’ yang berlangsung pada 24 Ogos 2025 lalu bertempat di Dataran Merdeka.

Kumpulan pelajar yang diselaraskan oleh Pensyarah, Dr. Siti Samahani Suradi dan disokong Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) itu mewakili UTHM bagi menzahirkan sokongan dan peranan mahasiswa sebagai generasi muda yang senantiasa peka terhadap isu kemanusiaan global.

Program anjuran Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) itu berjaya menghimpunkan ribuan peserta yang melibatkan mahasiswa, wakil institusi pengajian tinggi, pertubuhan bukan kerajaan dan masyarakat umum.

Kehadiran ribuan peserta dari seluruh pelosok negara menjadi bukti nyata bahawa perjuangan Palestin bukan perjuangan yang asing, tetapi perjuangan bersama seluruh rakyat Malaysia dan Asia khususnya.

Antara pengisian yang menyemarakkan semangat solidariti termasuk solat hajat, konvoi ‘SUMUD Nusantara,’ ceramah dan qasidah, bacaan qunut nazilah, serta syarahan khas oleh Perdana Menteri Malaysia.

Setiap pengisian sarat dengan mesej kebersamaan, doa penuh pengharapan dan laungan solidariti yang menyatukan hati semua yang hadir dalam menzahirkan harapan, serta iltizam untuk bersama membela nasib rakyat Palestin.

Sementara itu, pelancaran ‘SUMUD Nusantara’ turut memperkenalkan tujuh tekad utama sebagai garis panduan gerakan solidariti Malaysia.

Antara tekad itu termasuk mengutuk jenayah kemanusiaan, menolak penormalan dengan rejim Zionis, menyeru masyarakat antarabangsa untuk bertindak, perlu adanya advokasi yang berterusan bukan sekadar simbol serta menegaskan pendirian Malaysia sebagai suara konsisten di pentas global.

Menurut Dr. Siti Samahani, laungan penuh semangat “GAZA BANGKIT” yang bergema daripada pelajar UTHM dan ribuan hadirin mencerminkan keprihatinan mereka terhadap penderitaan rakyat Palestin.

“Pengalaman ini mampu memupuk empati, nilai kepedulian sejagat, serta menanam tekad mahasiswa untuk terus menyuarakan keadilan.

“Manakala bagi mahasiswa UTHM, penglibatan ini menjadi medan pembelajaran luar bilik kuliah yang memperkasa jiwa solidariti yang makin kuat dan kekal bersama Gaza hingga ke pentas dunia,” katanya.

Mereka hadir bukan hanya sebagai peserta, tetapi sebagai wakil suara universiti yang membawa mesej bahawa perjuangan menuntut keadilan Palestin adalah perjuangan sejagat yang mesti didukung bersama.